Sunday, March 17, 2013
NILAI-NILAI MURNI SEJAGAT
Nilai-Nilai Murni Sejagat mementingkan pendidikan tentang perhubungan yang baik antara manusia, dan antara manusia dengan alam sekitar.
Nilai-nilai ini menekankan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa.
Nilai-nilai ini mendidik kita menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi adik-beradik.
Seterusnya, Nilai-Nilai Murni Sejagat mengajar kita supaya berhati-hati dalam amalan seharian terutamanya apabila berinteraksi dengan pihak yang lain dalam menguruskan sesuatu perkara.
Nilai-nilai murni ini mendidik kita menjadi seorang yang amanah.
Tambahan pula, Nilai-Nilai Murni Sejagat mengajar kita supaya menyayangi semua insan.
Nilai-nilai ini menggalakkan kita supaya mencontohi para budiman supaya menjadi orang mulia.
Selepas kita mengamalkan nilai-nilai di atas, barulah kita dapat menambahkan pengetahuan dalam bidang lain seperti sains, teknologi, kesusasteraan, kesenian dan kesukanan untuk meningkatkan kualiti budaya dan spiritual.
Sunday, March 3, 2013
PENGENALAN
Adakah anda bahagia?
Mengapakah keluarga dan masyarakat tidak harmoni?
Cabaran Hidup Yang Membimbangkan
Tatacara mencapai kebahagiaan dan keharmonian hidup ini dinyatakan dengan jelas dalam semua kitab agama dan penulisan para budiman yang menjadi panduan.
Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi ini, masyarakat menghadapi pelbagai cabaran yang menjejaskan kebahagiaan hidup.
Berbanding generasi dahulu, generasi kini sama ada golongan tua, muda atau kanak-kanak, lebih mementingkan diri sendiri, kebendaan, persaingan, hak asasi dan kebebasan.
Tanpa disedari, kebanyakan penduduk dunia kini sedang menuju ke arah perjalanan hidup yang boleh membawa kepada krisis yang mampu mengancam kebahagiaan keluarga dan kebudayaan bangsa. Kestabilan negara juga turut tergugat sekiranya rakyat dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif ini. Konflik antarabangsa juga akan berterusan.
Tumpuan pendidikan (formal dan tidak formal) yang sebenar adalah untuk mendidik kita menjadi insan yang baik dan berguna. Namun perkara itu sering diabaikan kerana masyarakat lebih menekankan pencapaian akademik dan kebendaan yang berasaskan persaingan. Hakikatnya, persaingan akan membawa pergaduhan yang akan berakhir dengan peperangan.
Pada era moden ini, ibu bapa menghadapi pelbagai masalah dan berhadapan dengan isu-isu pembelajaran anak-anak seperti:
• Anak yang mengingkari kata-kata ibu bapa
• Anak yang bertelingkah sesama adik-beradik
• Anak yang tidak menghormati mereka yang lebih tua dan orang atasan (guru, pegawai)
• Anak yang menghisap rokok atau dadah
• Anak yang malas dan tidak mahu bekerja atau bekerja secara tidak sepenuh hati
• Anak yang tidak mahu membuat kerja rumah
• Anak yang tidak berbudi bahasa
• Anak yang asyik menonton TV/Video/DVD
• Anak yang asyik bermain permainan komputer dan telefon bimbit
• Anak yang lebih menyayangi teman-temannya berbanding dengan ibu bapa dan saudara-mara
• Anak yang suka melepak
• Anak yang sanggup mencederakan ibu bapa dan adik- beradik
• Anak yang tidak menghargai alam sekitar
• Anak yang tidak menganggap masa itu emas
• Anak yang tidak berfikir tentang masa depan
• Anak yang kahwin lari
• Anak yang hilang haluan hidup
• Anak yang tidak menjaga ibu bapa yang telah tua
• Anak yang lebih mementingkan kebendaan
• Anak yang terlibat dengan jenayah
• Anak yang tidak bertanggungjawab
• Berlaku sumbang mahram
Malahan, kebanyakan golongan dewasa menghadapi pelbagai masalah dalam interaksi harian seperti:
• Suami yang ingin berkahwin lagi
• Suami yang tidak bertanggungjawab
• Suami yang mengabaikan nafkah isteri
• Isteri yang bekerja mengabaikan urusan rumah tangga seperti tidak memasak untuk keluarganya lalu menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang.
• Isteri yang mementingkan kebendaan
• Suami/Isteri yang mempunyai skandal
• Suami/isteri yang berhutang
• Suami/isteri yang mendera anak terutamanya yang masih kecil
• Suami/Isteri yang berkerjaya yang terlalu mengejar kenaikan pangkat sehingga mengabaikan pendidikan (termasuk pendidikan moral) dan kebajikan anak-anak
• Mentua yang tidak bertimbang rasa
• Menantu yang bersikap sombong
• Ramai wanita dan lelaki yang memilih untuk tidak berkahwin
• Wanita yang banyak melakukan pengguguran anak
• Ibu bapa dan anak-anak yang bersikap panas baran akibat tekanan mental dan fizikal. Lebih teruk lagi, yang akan membawa kepada pembunuhan
• Ibu bapa yang terpaksa menjadi pembantu rumah
• Anak buah yang tidak mengikuti arahan ketua
• Anak buah yang tidak menghormati pemimpin dan ketua
• Anak buah yang mencuri tulang atau berbohong
Kebanyakan ibu bapa kini kehilangan idea untuk mendidik anak-anak mereka manakala ramai orang menghadapi masalah komunikasi. Untuk mengatasinya, pakar sains dari barat telah dirujuk dan pelbagai program motivasi juga telah disertai. Walau bagaimanapun, kesannya juga amat terhad. Justeru itu, bagaimanakah kita dapat mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup? Maka antara cara bagi mencapai kebahagiaan keluarga adalah melalui amalan nilai-nilai murni sejagat.
Buku kecil ini disediakan bertujuan untuk mengingatkan kita bahawa pendidikan nilai-nilai murni para budiman dahulu boleh dijadikan rujukan untuk diamalkan. Melalui pembelajaran dan pengamalan nilai-nilai ini, hubungan baik dapat diwujudkan.
Kesan-Kesan Amalan Nilai-Nilai Murni
Adakah nilai-nilai murni sejagat ini berkesan dalam menangani pelbagai masalah masyarakat moden?
Kini telah dibukti bahawa pengamalan nilai-nilai murni dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pendidikan nilai-nilai murni sejagat yang boleh membawa kepada kebahagiaan. Antara kesan ketara daripada pengamalan nilai-nilai murni ini dalam masyarakat termasuklah
• Suami isteri yang ingin bercerai berbaik semula
• Suami isteri yang bercerai berkahwin semula
• Suami/isteri yang mempunyai hubungan sulit telah mengakhiri hubungan itu
• Anak yang nakal dan jahat telah menjadi anak yang baik
• Anak yang menyertai kongsi gelap kembali ke pangkal jalan/pangkuan keluarga
• Anak yang menghisap dadah meninggalkan tabiat itu
• Pergaduhan antara ibu bapa dan anak berhenti
• Anak lebih menghormati dan menjaga kebajikan ibu bapa
• Anak menantu yang biadap berbudi bahasa terhadap ibu bapa mentua
• Orang yang ingin membunuh membatalkan niatnya
• Orang yang mengelakkan cukai pendapatan, mencuri bekalan elektrik dan air membayar ganti rugi akibat daripada perbuatan mereka
• Kaki judi berhenti berjudi
• Kaki botol berhenti mengambil minuman keras
• Pesakit kanser berjaya untuk terus hidup
• Pesakit kencing manis sembuh
• Pegawai kerajaan berhenti menerima rasuah
• Orang yang terlibat dalam perniagaan haram telah memberhentikan aktiviti itu
• Orang yang menjalankan aktiviti yang merosakkan akhlak dan moral telah memberhentikan perniagaan
• Orang yang menyimpan dengki selama berpuluh-puluh tahun telah memaafkan ‘musuhnya’
• Orang yang berniaga secara ikhlas dan amanah telah menerima keuntungan berkali ganda
Syurga di Tapak Kaki Ibu
Bagaimanakah kesan positif ini dicapai dalam kehidupan sempurna?
Pertamanya, pengalaman dahulu menunjukkan bahawa orang yang mementingkan diri sendiri dan mengabaikan kepentingan orang lain, masyarakat, negara atau alam sekitar tidak akan mengecapi kebahagiaan hidup. Malahan, wang ringgit yang diterima secara haram telah membawa kepada pelbagai penderitaan dalam bentuk anak yang derhaka, penyakit dan malapetaka yang menimpa.
Apabila mereka mengubah sikap ke arah menjadi baik dan berhati mulia, kehidupan mereka berubah menjadi lebih berjaya. Mereka berasa lebih gembira, tenang dan bahagia.
Keduanya, amalan nilai-nilai murni sejagat ini menyedarkan bahawa kita terhutang budi terhadap ibu bapa. Nilai-nilai ini mengingatkan kita terhadap cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan antara ibu bapa dan anak-anak mereka.
Sebagai seorang anak, kita seharusnya membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa. Anak-anak perlu sentiasa mengingati seni kata “Ibu, Engkaulah Ratu Hatiku”, iaitu ibu bapa sebagai orang yang harus dihormati pada setiap masa. Sebagai seorang anak, kita harus bertekad untuk menjaga ibu bapa dengan penuh kasih dan sayang.
Kasih sayang terhadap ibu bapa dan anggota keluarga haruslah dipupuk dan disemai dalam naluri setiap insan. Di samping itu, budi pekerti mulia ibu bapa akan menjadi teladan kepada anak-anak mereka. Pendek kata, asas peribadi mulia seseorang bergantung kepada cara asuhan ibu bapanya.
Dunia ini penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Dengan mengamalkan nilai-nilai murni, kita dapat membentuk satu benteng pertahanan untuk menangkis sebarang godaan yang boleh menggugat dan mencemarkan maruah diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Pengamalan nilai-nilai murni merupakan perkara yang paling penting dalam kehidupan yang sempurna, seterusnya merealisasikan keharmonian keluarga, masyarakat, negara dan dunia.
Penyediaan Buku Ini
Sedar akan kepentingan mencapai kebahagiaan hidup secara menyeluruh, saya berasa terpanggil untuk menyediakan nilai-nilai murni sejagat ini dalam bentuk seloka iaitu dalam bahasa yang mudah yang dapat diterima oleh semua pembaca. Gaya penyampaian mengambil kira nilai budaya tempatan supaya senang difahami, diingati dan diamalkan. Oleh yang demikian, terdapat sedikit perbezaan penyampaian berbanding dengan buku-buku lain.
Amalan nilai-nilai murni sejagat ini boleh membantu mencapai kebahagian dalam hidup seseorang. Matlamat hidup yang paling penting adalah mengamalkan nilai-nilai murni sejagat bagi mencapai kehidupan yang sempurna. Pengamalan nilai-nilai ini akan menghasilkan pencapaian akademik yang cemerlang atau dalam bentuk kekayaan. Dalam amalan harian, akhlak dan tingkah laku dalam sesuatu hubungan seperti hubungan suami isteri, ibu bapa, adik-beradik, pemimpin dengan orang yang dipimpin/majikan dan pekerja, serta kawan-kawan adalah ditekankan. Ini dapat dilihat daripada ringkasan di bawah.
Ibu bapa didahulukan, adik beradik diutamakan,
Berhati-hati dalam amalan, beramanah dalam tindakan,
Sayangi semua insan, dekati orang beriman,
Jika ada masa lapang, belajar ilmu tambahan.
Kebahagiaan hidup boleh dicapai melalui pembelajaran dan pengamalan nilai-nilai murni sejagat yang sejajar dengan semua ajaran agama dan para budiman tidak kira sama ada bangsa atau kepercayaan. Secara ringkasnya, amalan ini dapat mengeratkan hubungan seperti berikut.
Hubungan mesra antara suami isteri
Hubungan mesra antara ibu bapa dan anak
Hubungan mesra antara adik-beradik
Hubungan mesra antara pemimpin dan orang yang dipimpin
Hubungan mesra antara kawan
Langkah demi langkah yang diambil bagi mengamalkan nilai-nilai murni sejagat penting dalam membentuk keluarga bahagia. Amalan baik ini bermula dengan diri kita dan ibu bapa. Tanpa disedari, ini akan meninggalkan kesan-kesan positif dalam keluarga kita bersesuaian dengan perumpamaan “bapa borek, anak rintik”. Ini adalah kerana keluarga merupakan unit sosial yang paling penting dalam mempengaruhi pemikiran dan kelakuan seseorang. Anak juga akan mencontohi apa yang dilakukan oleh ibu bapa.
Nilai-nilai murni ini mendidik kita menjadi seorang insan yang berhati suci dan berkelakuan baik. Dengan itu, semua keluarga boleh menikmati kebahagiaan.
Bersama-sama kita amalkan nilai-nilai murni sejagat demi kebahagiaan keluarga, keharmonian masyarakat dan kesejahteraan dunia.
Subscribe to:
Posts (Atom)