寻找健康

寻找健康
免费阅读本书的内容, 请看 2011年3月26日部落的整本书. 此书非商业方式出版,不在商业书店售卖。想得到此书的朋友,请联络作者林廷辉博士 drlimhf@gmail.com 012-3615905

Makanan Sihat Sebagai Ubat (2011)

Makanan Sihat Sebagai Ubat (2011)
Ini adalah buku kesihatan saya. Kandungannya telah dimuatkan dalam blog ini pada 10 Sept 2010 sempena Hari Raya Puasa. Buku ini bukan diterbitkan untuk tujuan komersial dan tidak dipasarkan melalui kedai-kedai buku terkenal. Jika anda ingin memperolehi satu naskah, sila hubungi pengarang di drlimhf@gmail.com atau 012-3615905

Eating for Good Health (2010)

Eating for Good Health (2010)
3nd Edition 2010. The contents of this book are in this blog (subheadings in Blog Archive from October 2009 till January 2010) for free reading. This is a non-commercial book and is not available in major commercial book stores. If you wish to own a hard copy, kindly contact the author at: drlimhf@gmail.com or 012-3615905

Friday, September 10, 2010

BAB 1: KESIHATAN KELUARGA SAYA

Bab 1.1: Pengenalan

Mengapakah seorang ahli sains sosial berminat menceburi diri dalam penulisan buku kesihatan? Semenjak buku kesihatan pertama saya, Eating for Good Health, yang diterbitkan pada Mac 2007, saya telah terpanggil untuk menulis buku tersebut dalam versi Bahasa Malaysia. Usaha ini merupakan satu cabaran kerana makanan sihat yang berasaskan sumber sayur-sayuran, bijirin dan buah-buahan merupakan konsep yang baru untuk masyarakat generasi muda. Sungguhpun demikian, usaha ini perlu dilakukan memandangkan pemakanan sihat mungkin merupakan jawapan kepada orang-orang yang ingin hidup sihat dan bebas daripada pengambilan ubat.

Bagi kaum keluarga dan rakan-rakan yang tidak bertemu dengan saya semenjak 1996, mereka akan terperanjat melihat perubahan saiz dan berat badan saya. Memang benar, kini saya adalah lebih kurus berbanding dengan keadaan 12 tahun yang lalu. Berat badan saya telah menurun dari 78 kg pada tahun 1996 kepada 58 kg pada tahun 2006 dan tidak banyak berubah selepas 2006.

Lumrahnya, apabila seseorang itu kelihatan kurus orang akan kaitkannya dengan penyakit-penyakit tertentu. ”Adakah anda sakit?” Ini merupakan soalan yang selalu saya terima. Kadang- kala, soalan ini diikuti dengan nasihat “jika sakit, baik jumpa doktor”.

Sebenarnya, kesihatan saya dianggap baik berbanding dengan saudara-mara dan rakan-rakan dalam lingkungan umur antara 50 dan 60. Kebanyakan dari mereka sedang menghidap satu atau lebih dari satu jenis penyakit. Mereka terpaksa berjumpa dengan doktor dari masa ke masa untuk pemeriksaan kesihatan dan mengambil ubat untuk mengawal darah tinggi, kencing manis atau kolesterol. Bagaimana pula dengan saya? Saya dianggap bernasib baik kerana pengambilan ubat tidak lagi menjadi sebahagian daripada hidup saya. Begitu juga dengan isteri dan anak-anak saya. Rakan-rakan sekerja isteri saya yang berumur 30 tahun ke atas mengadu tentang kesakitan badan dari masa ke masa. Isteri saya pula jarang menghidap ketidakselesaan badan yang berkait dengan pelbagai penyakit. Begitu juga dengan anak saya, mereka jarang berjumpa doktor disebabkan oleh masalah kesihatan.

Bab 1.2: Sebelum Bertukar Kepada Pemakanan Sihat
Amalan pemakanan yang sihat adalah amalah yang bijaksana. Kita perlu mengalami perubahan gaya hidup secara perlahan, khasnya dari segi pemakanan.

Sebelum tahun 1996, keluarga kami mendapat rawatan dan mengambil ubat-ubatan moden dan kadang-kala ubat-ubatan tradisional Cina dalam penjagaan kesihatan. Kami percaya bahawa mereka adalah pakar perubatan yang bertauliah dan paling mengenali kesihatan serta pelbagai penyakit. Kami percaya dan yakin kemudahan sains dan teknologi dalam perubatan dapat membantu menyelamatkan nyawa dan menyelesaikan masalah kesihatan manusia. Dalam setahun, saya ke klinik lebih kurang dua atau tiga kali bagi merawat penyakit seperti demam, batuk dan sakit badan.

Dalam setiap rawatan, doktor memberikan saya ubat demam, batuk dan antibiotik. Setiap kali saya diingatkan bahawa semua ubat, khasnya antibiotik perlu dihabiskan. Ia mengambil masa lebih kurang seminggu untuk pulih sepenuhnya. Pada masa yang sama, kami juga membeli makanan tambahan untuk meningkatkan tahap kesihatan. Semua ini bukanlah cara penyelesaian kesihatan untuk jangka masa panjang. Saya perlu berjumpa dengan doktor apabila demam ini berulang selepas beberapa bulan. Begitu juga dengan isteri saya.

Saya berfikir dengan terperinci dan mempertimbangkan kesan dan akibat tindakan ini. Penyelesaian masalah kesihatan jati mestilah mempunyai alternatif lain.

Pada masa yang sama, gaya hidup kami seperti kebanyakan orang lain dalam masyarakat. Kami menikmati pelbagai jenis makanan di mana-mana sahaja. Makanan harian kami mengandungi daging, ayam, ikan, telur, susu, nasi putih dan sayur-sayuran. Untuk menambahkan selera, kami gunakan garam putih, gula, monosodium glutamat (MSG) dan pelbagai sos. Tidak terlintas dalam fikiran kami bahawa semua makanan ini boleh membawa penyakit dan menjejaskan kesihatan kami.


Bab 1.3: Bertukar Kepada Pemakanan Sihat
Perubahan besar berlaku pada tahun 1996 apabila bapa mentua saya disahkan menghidap penyakit kanser prostat. Kami bertukar daripada pemakanan kurang sihat kepada pemakanan sihat. Perubahan radikal ini telah melanjutkan usianya. Beliau masih hidup sehingga hari ini. Apa yang menarik ialah beliau tidak mengambil apa-apa ubat dalam rawatan kanser. Makanan sihat memainkan peranan utama dalam proses pemulihan kesihatan. Kami percaya sistem badan kita berupaya memperbaiki kerosakan sel jika kita meningkatklan antibodi.

Memilih pemakanan sihat untuk meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan merupakan satu tindakan yang berani. Kami sanggup mengambil risiko kerana kami yakin pada diri sendiri dan pemakanan sihat.

Amalan pemakanan secara sihat juga telah memberikan kesihatan kepada keluarga saya (isteri dan dua orang anak). Ini dapat dilihat dari pengurangan pergantungan kami kepada ubat. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, ahli-ahli keluarga tidak mengambil ubat lagi. Saya tidak mengambil ubat sejak tahun 1997 kerana tidak lagi mengalami penyakit seperti demam dan sakit badan. Begitu juga dengan isteri dan anak-anak saya. Kesan positif dari amalan pemakanan sihat memberi motivasi untuk meneruskan amalan ini. Anak-anak kami membesar dan diasuh dengan baik tanpa menghadapi masalah kesihatan seperti kegemukan.

Amalan pemakanan sihat dapat menjamin kesihatan yang baik. Walaupun begitu, ia tidak bermakna kami bebas daripada sebarang kesakitan. Kadang-kala, kami juga menghadapi tindak balas detoksifikasi seperti sakit badan dan batuk.

Pengambilan pemakanan sihat merupakan cabaran kepada kami. Tanpa mengenal penat, kami meneruskan usaha pengambilan pemakanan sihat. Hasilnya ahli keluarga tidak perlu lagi bergantung pada ubat. Kami akan mendapatkan rawatan doktor sekiranya perlu sahaja. Ini menunjukkan usaha untuk mencegah dan menangani kesakitan secara semula jadi tanpa bergantung kepada perkhidmatan kesihatan moden berbaloi. Kami sedar bahawa kebanyakan sakit badan yang timbul dari masa ke masa disebabkan tindak balas detoksifikasi. Tidak perlu bagi kami untuk menahan proses detoksifikasi ini dengan makan ubat. Cara yang paling baik ialah memberi peluang proses detoksifikasi ini berlangsung dan meneruskan amalan pemakananan sihat. Apabila badan kita berjaya mengeluarkan toksin, semua kesakitan dan ketidakselesaan badan akan hilang. Proses ini akan meningkatkan daya tahan dan tenaga kita. Akibatnya, badan kita akan menjadi lebih sihat dan bersemangat. Pelbagai penyakit juga akan menjauhi kita.


Bab 1.4: Nasihat dan Ceramah Kesihatan
Sejak tahun 1997, saya telah mula memberi nasihat kesihatan kepada pesakit-pesakit kanser secara percuma. Mereka ini berasal dari pelbagai latar belakang pendidikan dan ekonomi, dari golongan kurang pendapatan ke golongan kaya. Memandangkan keluarga saya mempunyai kesihatan yang baik, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Pada masa yang sama, saya juga mengumpul maklumat dan pengetahuan terkini mengenai kesihatan dan makanan. Semua maklumat ini disusun atur dengan teliti dan dimasukkan ke dalam komputer untuk disebarkan kepada mereka yang memerlukan.

Mulai tahun 2002, saya telah menyampaikan ceramah kesihatan kepada orang ramai dalam Bahasa Malaysia, bahasa Cina dan bahasa Inggeris. Diharapkan usaha ini dapat membantu lebih ramai orang hidup dalam keadaan sihat tanpa gangguan penyakit.

Dalam proses ini terdapat rakan-rakan yang tertanya-tanya tentang ceramah kesihatan saya kerana saya bukan dilatih dalam bidang perubatan atau bidang khasiat makanan. Bagi diri saya, pakar-pakar perubatan memang memainkan peranan utama dalam memberi rawatan yang cepat dan tepat terhadap penyakit. Akan tetapi, kita tidak perlu biarkan semua soal kesihatan di dalam tangan mereka. Para saintis masih belum dapat menemui ubat dan kaedah rawatan yang dapat memberi penyelesaian jangka panjang kepada penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan kanser. Sementara itu, semakin banyak kes menunjukkan bahawa jawapannya mungkin berkait rapat dengan makanan harian kita. Maklumat jenis ini masih belum dapat disebarkan secara meluas, khasnya di kalangan masyarakat kita kerana kurang diberi perhatian oleh media massa.

Kita tidak harus menunggu kajian saintifik untuk membuktikan teori bahawa pemakanan yang sihat dapat memberi kesihatan yang baik. Oleh yang demikian, saya lebih cenderong dalam penelitian hubungan di antara makanan dan kesihatan. Saya sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memainkan peranan yang kecil dalam menyebarkan maklumat kesihatan dan pengalaman keluarga saya ini melalui ceramah.

Dengan adanya alternatif untuk mencapai kesihatan yang baik, diharapkan lebih ramai orang akan menyertai revolusi makanan yang boleh mencegah pelbagai penyakit dan meningkatkan kualiti kesihatan ke satu tahap yang lebih tinggi di sejagat dunia ini.

Bagi keluarga saya, kesihatan adalah kekayaan. Kesihatan badan telah memperkaya hidup kami dan juga membolehkan kami memperkaya kehidupan orang lain.

Keluarga saya berpendapat bahawa salah satu jalan yang penting ke arah kesihatan adalah melalui tabiat pemakanan sihat. Badan yang sihat akan membawa kepada daya fakir/ minda yang sihat. Kita dapat mengelakkan kesengsaraan jasmani dan rohani apabila kita mengamalkan pemakanan sihat dalam kehidupan.

Makanan sihat bukanlah satu bidang pengetahuan yang kompleks. Sekiranya kita berinitiatif belajar dan mengenali makanan dengan lebih mendalam, sanggup meninggalkan makanan toksin dan digantikan dengan sayur-sayuran, buah-buahan, kita semua berpeluang tinggi menjauhi pelbagai penyakit dan meningkatkan tahap kesihatan diri sendiri.


Bab 1.5: Penulisan Buku Kesihatan
Sebelum tahun 2002, saya tidak pernah terfikir untuk menulis buku kesihatan. Sebabnya, kini terdapat banyak buku kesihatan di pasaran. Jika ingin menulis, mestilah hasil penulisan tersebut mempunyai nilai tertentu.

Penulisan buku ini ialah hasil dorongan dan sokongan moral daripada mereka yang menghadiri ceramah kesihatan saya. Semenjak tahun 2002, ceramah saya telah menarik perhatian mereka yang ingin memulihkan kesihatan secara semula jadi. Ada yang dapat memulihkan kesihatan dalam beberapa bulan setelah perubahan tabiat pemakanan. Ceramah saya menerangkan pelbagai perkara yang menyentuh soal-soal yang berkaitan dengan tabiat pemakanan dan kesan-kesannya. Malangnya, ramai peserta sukar mempraktikkan pemakanan sihat kerana tidak dapat mengingati isi kandungan dan maklumat yang disampaikan dalam ceramah. Oleh yang demikian, mereka telah mencadangkan supaya ceramah saya disampaikan dalam bentuk penulisan.

Saya mula menulis sebuah buku kesihatan dalam bahasa Inggeris pada tahun 2005. Penulisan buku ini memang mencabar. Mengapakah pembaca perlu baca buku kesihatan yang ditulis oleh seorang ahli sains sosial? Setelah perbincangan panjang lebar dengan isteri saya, kami mendapat rumusan bahawa tarikan buku ini ialah pengalaman keluarga kami dalam pemulihan kesihatan ahli-ahli keluarga. Selain itu, penerangan tentang jenis makanan, kesannya, tindak balas amalan pemakanan sihat dan cara kami menanganinya merupakan maklumat yang boleh dikongsi dengan pembaca.

Penulisan buku kesihatan saya telah diketahui oleh sebuah syarikat yang sedang merakamkan rancangan TV mengenai potensi pertanian di negara kita. Siri program TV ini ditaja oleh kumpulan CIMB dengan sokongan Sime Darby Sdn Bhd. Setelah mengetahui makanan sihat membolehkan pemulihan kesihatan pesakit kanser, pihak syarikat penggambaran telah datang berbincang dan seterusnya memasukkan pengalaman pesakit kanser dalam siri program TV kedua dalam rancangan bertema “Seeds”. Siri program ini telah ditayangkan menerusi NTV7 pada pukul 5.00 petang hingga 5.30 petang, 27 Mei 2007.

Perkembangan ini menggalakkan dan memberi motivasi kepada saya terus menyiapkan buku setelah dinilai oleh Dr. Kodi Isparan Kandasamy (pakar bioteknologi, Malaysia), Sri Harminda Hartantyo (ahli sains makanan, Filipina) dan Dr. Jean-Marc Roda, (ahli ekonomi, Perancis). Dengan itu, lahirlah buku kesihatan saya yang pertama, iaitu Eating for Good Health pada bulan Mac 2007. Buku ini telah menerima sambutan yang baik. Pada 2010, edisi ketiga buku ini berjaya diterbitkan.

Rakan-rakan yang kurang fasih dalam bahasa Inggeris pula berpendapat bahawa buku kesihatan ini harus ditulis dalam pelbagai bahasa untuk manfaat rakyat Malaysia. Saya berjanji kepada rakan-rakan bahawa buku kesihatan dalam Bahasa Malaysia akan diterbitkan selewat-lewatnya pada tahun 2009. Saya akan menulis buku itu dengan usaha sendiri dan bukan meminta bantuan orang lain menterjemahkan buku bahasa Inggeris.

Dengan itu, pada tahun 2007 dan 2008, saya gunakan masa lapang pada hujung minggu dan waktu cuti untuk menulis buku ini dalam Bahasa Malaysia. Kini, buku tersebut telah berjaya diterbitkan. Diharapkan buku ini akan membantu semua pembaca dalam mengembali dan mengekalkan kesihatan melalui amalan pemakanan sihat.

Bagaimanakah sambutan masyarakat terhadap buku ini? Secara umumnya, saya mempromosikan buku-buku ini bersendirian. Dengan ikhlas, saya menerangkan kandungan dan keistimewaan buku ini kepada sesiapa yang berminat. Penerbitan buku ini bukan bertujuan untuk menjana keuntungan tetapi untuk membantu rakan-rakan dalam menikmati kehidupan yang sihat tanpa ubat. Cara ini amat berkesan dan menggalakan. Harga buku ini juga berpatutan dan agak rendah, berbanding dengan buku-buku lain, dan mampu dibeli oleh majoriti rakyat Malaysia.

Bab 1.6: Perlukah Menjadi Vegetarian Penuh Masa?
Adakah buku ini berkaitan dengan amalan pemakanan cara vegetarian? Soalan ini biasanya ditanya oleh kawan-kawan yang mengetahui bahawa saya ialah seorang vegetarian. Buku ini menerangkan kepentingan untuk seseorang mengenali jenis makanan yang diambil setiap hari dan kesannya ke atas kesihatan diri. Apabila seseorang telah membuat pertimbangan yang wajar dan menilai secara terperinci pilihan, dengan itu dia boleh membuat keputusan yang bijak untuk memilih pemakanan sihat yang sesuai.

Konsep vegetarian bukanlah sesuatu yang baru bagi masyarakat Malaysia atau masyarakat sejagat dunia. Terdapat penganut agama Hindu dan agama Buddha yang menjadi vegetarian sejak dilahirkan. Tidak kurang juga orang yang mengamalkan vegetarian dari masa ke masa.

Bagi masyarakat Melayu, konsep vegetarian ini dianggap konsep yang unik. Berbanding dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia, hanya sebilangan kecil orang Melayu yang menjadi vegetarian. Terdapat juga generasi muda sekarang yang menganggap amalan vegetarian berkaitan dengan soal kepercayaan. Memang benar. Masyarakat Hindu dalam kasta Brahmin menjadi vegetarian sejak dilahirkan. Sebahagian daripada sami dan penganut agama Buddha juga adalah vegetarian seumur hidup.

Soalnya, isu amalan vegetarian bukan lagi terhad kepada sebab-sebab keagamaan. Di kalangan masyarakat negara-negara maju, ada yang menjadi vegetarian kerana ingin melindungi haiwan yang terancam daripada pupus. Misalnya, di Amerika Syarikat, terdapat satu pertubuhan bukan kerajaan yang bernama People for the Ethical Treatments of Animals (PETA). Ditubuhkan pada tahun 1980, PETA kini mempunyai lebih daripada 2 juta ahli dan penyokong (www.peta.org bertarikh 24 Disember 2009). PETA merupakan pertubuhan yang paling aktif dalam menjalankan kempen perlindungan binatang di peringkat antarabangsa. PETA beroperasi atas prinsip bahawa binatang bukan untuk kita makan, pakai, uji atau hiburan.

Sebab utama bagi ramai orang menjadi vegetarian, sama ada sepenuh masa atau separuh masa, ialah ingin memulihkan kesihatan. Pada biasanya tabiat vegetarian diamalkan kerana seorang pesakit dan ahli-ahli keluarga mereka ingin memulihkan kesihatan. Atas landasan ini juga, ahli-ahli keluarga saya telah menjadi vegetarian sepenuh masa.

Pada pendapat saya, amalan pemakanan sihat dapat menjimatkan wang negara dan pada masa yang sama memberi kesihatan kepada rakyat Malaysia. Perbelanjaan ke atas perubatan makin meningkat bagi kebanyakan negara di dunia. Pada tahun 1983, kerajaan Malaysia telah menyediakan subsidi perubatan sebanyak RM1 bilion atau 3.6% dari belanjawan tahunan. Menjelang tahun 2003, jumlah ini bertambah kepada RM7.6 bilion atau 7.1% dari belanjawan tahunan. Dari segi subsidi perubatan setiap orang, jumlah wang telah bertambah daripada RM191 pada tahun 1993 kepada RM302 dalam tahun 2003. Ini merupakan satu beban besar kepada kerajaan. Salah satu cara untuk mengurangkan tanggungan kerajaan ini ialah mengubah gaya hidup pemakanan rakyat Malaysia supaya pelbagai penyakit dapat dielakkan.

Sebagai contoh, di tempat kerja (Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia) saya terdapat 690 orang pekerja. Andaikan pada tahun 2007 setiap pekerja mengambil cuti sakit selama empat hari setahun kerana demam. Kehilangan masa produktiviti pekerja berjumlah 2760 hari setahun. Pada tahun 2007, purata tuntutan perbelanjaan perubatan keluarga seorang pekerja (termasuk suami/isteri, anak-anak bawah 21 tahun yang masih belajar atau anak-anak bawah 18 tahun) ialah sebanyak RM374 setahun untuk bayaran rawatan doktor dan membeli ubat. Jumlah tuntutan perbelanjaan perubatan semua pekerja pada tahun 2007 ialah RM298,409. Sekiranya semua kakitangan berusaha memperbaiki kesihatan melalui amalan pemakanan sihat pada tahun 2009, jumlah cuti sakit boleh dikurangkan kepada dua hari setahun dan purata tuntutan perbelanjaan perubatan keluarga seorang pekerja ialah RM187 setahun. Ini bermakna kehilangan hari bekerja cuma 1380 hari dan jumlah tuntutan perbelanjaan perubatan kakitangan adalah RM149,205 setahun. Terdapat sekurang-kurangnya dua implikasi daripada penambahbaikan kesihatan pekerja. Pertama, kos perbelanjaan perubatan pekerja dapat dikurangkan dan beban kerajaan untuk subsidi perubatan turut diringankan. Kedua, apabila pekerja kurang mengambil cuti sakit, pekerja dapat bekerja dengan lebih produktif, progresif dan bersemangat tinggi untuk melaksanakan tugas dengan sempurna.

Bab 1.7: Transformasi Kehidupan
Makanan sihat telah mengubah gaya kehidupan keluarga saya secara positif. Kami sedar bahawa kesihatan adalah sesuatu yang menyeluruh—iaitu kombinasi makanan, cara hidup, mental dan alam sekitar. Kami anggap kesihatan adalah kunci kejayaan atau nombor satu dalam kehidupan. Tanpa kesihatan, banyak perkara tidak dapat disempurnakan.

Badan yang sihat akan membawa kepada pemikiran yang sihat. Seterusnya mempengaruhi gaya hidup dan cara kita berinteraksi dengan alam sekitar (semula jadi dan sosial). Seseorang yang sihat tidak mempunyai banyak sungutan dalam hidup. Pada masa yang sama, kesihatan jasmani dan rohani membolehkan mereka memanjangkan kasih sayang terhadap insan yang lain. Oleh yang demikian, kami menggalak rakan-rakan, sanak saudara dan generasi muda bertukar kepada pemakanan sihat. Golongan muda perlu menjaga kesihatan kerana mereka merupakan aset negara yang penting. Kami sedar bahawa dalam keadaan tertentu pemakanan sihat dapat mengatasi kanser dan memberi harapan baru kepada pesakit.

Setelah 12 tahun mengamalkan tabiat pemakanan sihat, kami kini lebih menghargai kata-kata Dr. Henry Bieler (1965), seorang doktor perubatan yang menyatakan bahawa

“…semakin saya mengkaji secara mendalam mengenai kimia makanan, saya telah membuat kesimpulan bahawa saya perlu meninggalkan penggunaan ubat dan bergantung kepada makanan sebagai ubat”.

Nasihat beliau telah menjadi pedoman hidup keluarga saya. Selepas kami mengamalkan tabiat pemakanan sihat, kami makin sedar bahawa pergantungan kepada ubat moden boleh dielakkan. Oleh yang demikian, kami lebih bergantung kepada gaya hidup sihat (seperti pemakanan sihat, bersenam dan berehat) untuk mengelakkan penyakit. Anda akan lebih memahami pesanan yang disampaikan dalam bab-bab yang berikutnya.

No comments:

Post a Comment