寻找健康

寻找健康
免费阅读本书的内容, 请看 2011年3月26日部落的整本书. 此书非商业方式出版,不在商业书店售卖。想得到此书的朋友,请联络作者林廷辉博士 drlimhf@gmail.com 012-3615905

Makanan Sihat Sebagai Ubat (2011)

Makanan Sihat Sebagai Ubat (2011)
Ini adalah buku kesihatan saya. Kandungannya telah dimuatkan dalam blog ini pada 10 Sept 2010 sempena Hari Raya Puasa. Buku ini bukan diterbitkan untuk tujuan komersial dan tidak dipasarkan melalui kedai-kedai buku terkenal. Jika anda ingin memperolehi satu naskah, sila hubungi pengarang di drlimhf@gmail.com atau 012-3615905

Eating for Good Health (2010)

Eating for Good Health (2010)
3nd Edition 2010. The contents of this book are in this blog (subheadings in Blog Archive from October 2009 till January 2010) for free reading. This is a non-commercial book and is not available in major commercial book stores. If you wish to own a hard copy, kindly contact the author at: drlimhf@gmail.com or 012-3615905

Friday, September 10, 2010

BAB 3: PENYAKIT DAN PERUBATAN SEMASA

Pada zaman moden ini, manusia semakin mementingkan wang dan kebendaan dalam hidup. Pada usia muda, kita bekerja keras untuk mengumpul kekayaan. Jika kita menghidap penyakit pada kemudian hari, wang tersebut dapat kita gunakan untuk merawat penyakit. Lumrahnya, kebanyakan manusia akan memilih rawatan moden sebagai keutamaan untuk merawati penyakit yang dihidapi. Dipercayai bahawa perubatan moden dapat memulihkan masalah kesihatan.

Bab ini membincangkan beberapa penyakit moden, iaitu kegemukan, sakit jantung, strok, darah tinggi, kencing manis dan kanser, dan cara rawatan moden yang diamalkan. Kes-kes tertentu diambil sebagai contoh bagi menerangkan keadaan penyakit, rawatan yang diterima dan reaksi pesakit-pesakit terhadap rawatan ini.

Bab 3.1: Obesiti atau Kegemukan
Obesiti atau kegemukan ialah penyakit yang biasa berlaku di kalangan penduduk bandar. Pada tahun 2007, dianggarkan satu pertiga penduduk (58 juta) di Amerika Syarikat menghadapi masalah kegemukan. Di Malaysia, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berasa bimbang kerana kegemukan makin menjadi satu masalah kesihatan di kalangan penduduk. Satu kajian menunjukkan bahawa daripada 26 juta penduduk Malaysia pada tahun 2006, lebih daripada 3.8 juta mengalami berat badan yang berlebihan berbanding dengan 2.3 juta orang dewasa pada tahun 1996 (The Star, 4 April 2006). Angka ini telah meletakkan penduduk Malaysia sebagai penduduk yang paling gemuk di Asia (New Straits Times, 7 April 2006). Pada tahun 2008, Menteri Kesihatan sekarang, Dato’ Liow Tiong Lai, mengesahkan bahawa lebih kurang separuh daripada orang dewasa di Malaysia mempunyai masalah berat badan (Lee 2008).

Masalah gemuk dilihat lebih serius di kawasan bandar. Satu kajian di Subang Jaya oleh Universiti Malaya dan Malaysian Society of Andrology and the Study of the Ageing Male (MSASAM) menunjukkan hasil kajian yang berikut (The Star, 31 August 2006).
a) Mengikut Indeks Berat Badan (Body Mass Index), 77% dikategorikan sebagai mempunyai berat badan yang berlebihan dan gemuk berdasarkan kriteria Asia Pasifik.
b) Lebih separuh daripada responden mempunyai perut yang besar, iaitu ukuran pinggang melebihi 90 cm.
c) Hampir 30% daripada orang lelaki didapati menghidap penyakit kencing manis dan pra-kencing manis. Ini bermakna satu dari tiga orang lelaki mempunyai paras glukosa darah yang tinggi dan mereka berisiko tinggi untuk menghidap sakit jantung, strok, sakit buah pinggang, masalah saraf dan mata.
d) Lebih kurang 28% menghadapi masalah prostat, iaitu susah untuk membuang air kecil.
e) 60% menghadapi masalah kurang upaya seks (erectile dysfunction).
f) Lebih daripada 80% perlu mengambil ubat untuk mengurangkan kolesterol.

Pakar perubatan sering mengaitkan kegemukan dengan faktor-faktor biologi, genetik, sosial, emosi dan tabiat pemakanan. Punca utama masalah gemuk di kalangan penduduk Malaysia berkait rapat dengan gaya hidup kurang sihat atau terlalu banyak makan, khususnya makanan segera, minuman ringan dan kurang bersenam. Lemak triglyceride yang berlebihan di dalam badan orang gemuk berkait rapat dengan darah tinggi, aras kolesterol dan triglyceride tinggi (Erasmus 1993). Kebanyakan orang gemuk mengambil ubat, makanan tambahan dan bersenam untuk mengurangkan berat badan. Sungguhpun demikian, masalah ini masih tidak dapat diatasi. Kita perlu mengambil perhatian tentang berat badan kita untuk mengelakkan penyakit lain yang berkaitan (Samaras et al. 2002).

Bab 3.2: Penyakit Jantung
Penyakit jantung atau kardiovaskular merupakan penyebab utama kematian di dunia. Lebih daripada 17 juta orang meninggal dunia setiap tahun atau bersamaan dengan 30% daripada kematian di dunia. Di Malaysia, penyakit ini merupakan pembunuh ketiga dari aspek kematian pada tahun 1950 (Lim 1993). Penyakit ini merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia semenjak tahun 1980-an lagi dan meliputi 30% daripada kematian (Utusan Konsumer Jan–Feb 2006).

Sistem kardiovaskular merangkumi jantung, saluran darah dan darah. Fungsi mereka saling berkaitan, iaitu mengalirkan darah ke semua bahagian di dalam badan kita. Sekiranya sistem kardiovaskular tidak berfungsi dengan baik, ia mungkin mengurangkan keberkesanan bahagian-bahagian badan yang lain dan seterusnya membawa kepada penyakit tertentu.

Jantung: Mengepam darah ke seluruh bahagian badan supaya mereka dapat berfungsi dengan baik.

Saluran darah: Merupakan saluran pengaliran darah yang terdiri daripada arteri, kapilari dan vena. Arteri membawa darah bersama oksigen dan makanan ke semua bahagian badan. Dari arteri, oksigen dan makanan diangkut kepada sel-sel melalui kapilari. Kapilari juga mengangkut buangan di dalam sel ke dalam darah. Buangan ini kemudiannya diangkut oleh vena kembali ke jantung.

Darah: Membawa oksigen dan makanan yang diambil setiap hari ke semua sel dalam badan untuk memastikan mereka berfungsi dengan baik; Mengangkut kotoran di dalam darah ke bahagian-bahagian lain di dalam badan.

Antara penyakit jantung yang biasa termasuklah (a) aterosklerosis (arteri menjadi tebal dan keras), (b) strok (kekurangan aliran darah ke otak kerana darah beku, atau pendarahan otak akibat saluran darah pecah) dan (c) hipertensi (darah tinggi). Satu ciri penyakit-penyakit jantung ini ialah dinding saluran darah menjadi tebal, akibat terlalu banyak kolesterol dan triglyceride (iaitu lemak dan minyak). Sifat kolesterol yang sangat melekit dan bahan lemak keras hanya dapat dicairkan pada suhu 149°C.

Tiga jenis sakit jantung yang biasa ialah (a) penyakit koronari jantung atau penyakit koronari arteri (CAD), (b) kegagalan jantung (berlaku apabila jantung tidak dapat mengepam darah ke seluruh badan seperti biasa) dan (c) arrhythmia (denyutan jantung yang tidak normal).

CAD ialah penyakit jantung yang boleh mempengaruhi saluran darah di dalam jantung. Pakar perubatan mengaitkan CAD dengan aterosklerosis, iaitu pertambahan plak di dalam saluran darah di dalam jantung. CAD menyebabkan angina atau sakit dada akibat pengaliran darah yang lemah ke jantung. Ini disebabkan arteri koronari tidak dapat membekalkan darah yang mencukupi untuk keperluan jantung, dan juga menyebabkan serangan jantung apabila sebahagian daripada otot jantung mati. Sakit jantung berlaku apabila salah satu arteri ke jantung telah tersumbat dan sebahagian daripada otot jantung mati. Lumrahnya, ini diakibatkan oleh pembekuan darah atau sekatan di dalam koronari arteri yang sudah sempit. Simptom-simptom CAD termasuklah rasa sakit dada semasa berjalan, menaiki tangga, selepas makan dan mudah rasa penat.

Apakah yang akan dilakukan oleh seorang doktor terhadap seorang yang mungkin menghidap penyakit CAD? Berikut ialah pengalaman seorang rakan saya (berumur 64 pada tahun 2008) yang boleh dianggap sebagai kes biasa dalam perubatan semasa.

1986: Beliau menghidap sakit dada pada umur 52. Doktor pakar mengesahkan bahawa terdapat air yang terlalu banyak di dalam paru-parunya. Beliau diperiksa dengan Skop untuk melihat keadaan di dalam dadanya. Pemeriksaan Skop selama 30 minit ini menunjukkan beliau mengalami sakit dada. Beliau kemudiannya diberi ubat untuk menghentikan sakit dada itu.

Januari 1987: Beliau berasa susah hendak bernafas dan telah diberi ubat bagi mengurangkan masalah ini. Seterusnya, satu ujian Stress (tekanan) dilakukan dan ini telah mengesahkan bahawa beliau menghidap penyakit CAD.

Jun 1987: Beliau melalui satu pemeriksaan di sebuah hospital swasta. Ubat diberi untuk mengurangkan penyakit jantung. Pemeriksaan dan ubat melibatkan kos sebanyak RM2700.

1987–1999: Beliau perlu mengambil tiga jenis ubat setiap hari, iaitu GTN, ‘Bitolok’ & Cardyprint bagi mengurangkan sakit jantung, melicinkan pengaliran darah dan membersihkan darah. Dalam tempoh ini, beliau sering menghadapi masalah sakit kepala sehingga kadang-kala beliau terasa ingin mencabut rambut. Beliau juga mengalami hidung berdarah.

Disember 1999: Melalui ujian Stress kedua dan meneruskan pengambilan ubat. Beliau menyedari bahawa beliau akan terus bergantung kepada ubat disebabkan penyakit ini.

Jun 2000: Beliau diwadkan di sebuah hospital kerajaan bagi menjalani pemeriksaan Angiogram. Pemeriksaan ini mengesahkan bahawa terdapat satu vena besar dan dua vena kecil tersumbat. Angiogram yang mengambil masa selama 45 minit ini merupakan satu proses yang menyakitkan. Beliau diberitahu satu pembedahan perlu diadakan bagi mengubati penyakit jantung.

Jun 2000: Sebelum pembedahan, beliau diminta menandatangani satu surat yang membenarkan doktor melakukan pembedahan itu. Beliau terkejut apabila seorang jururawat bertanya tempat mayatnya akan dikebumikan sekiranya pembedahan tidak berjaya. Beliau dibenarkan berbual dengan ahli keluarga. Pembedahan by-pass itu mengambil masa 20 jam. Daripada tiga orang pesakit jantung yang melalui pembedahan pada hari itu, beliau adalah antara dua orang yang masih hidup manakala seorang lagi telah meninggal dunia. Selepas pembedahan, beliau berehat di hospital selama satu bulan. Kos pembedahan dan rawatan berjumlah RM38,000.

Julai 2000 (selepas pembedahan): Setiap hari beliau perlu mengambil 14 biji ubat (7 jenis), iaitu Simvastatin (Zocor), Iisosorbide Dinitrate, Amlodipine (Norvasc), Ticlopidine (Ticlid), Metoprolol (Denex), Ranitide (Vesyca) dan Trimetazidine (Vastarel). Beliau juga perlu melekatkan ubat Nitroglycerine di dada dua kali sehari bagi mengurangkan sakit dada.

November 2004: Pemeriksaan perubatan menunjukkan bahawa terdapat saluran baru yang telah tersumbat. Beliau disahkan menghidap satu lagi penyakit, iaitu kencing manis. Oleh yang demikian, doktor telah memberikan ubat tambahan, iaitu Proscar, untuk mengawal kencing manisnya.

April 2005–2009: Saluran-saluran tersumbat tersebut berkekalan. Beliau terpaksa mengambil ubat untuk membersihkan darah dan juga mengawal kencing manis. Dalam tempoh ini, cabaran hidup beliau amat getir terutama sekali untuk melawan penyakit-penyakit tersebut.

Pada kebiasaannya, seseorang pesakit yang telah melalui pembedahan by-pass dikehendaki mengambil pelbagai jenis ubat. Jenis pertama adalah untuk mengelakkan saluran darah gentian tersumbat. Jenis kedua ialah anti-kolesterol yang bertujuan untuk mengelakkan berlakunya darah tinggi. Darah tinggi boleh membawa kepada penyumbatan saluran baru. Pembedahan by pass tidak bermaksud pesakit itu sudah sembuh. Selepas 10 tahun pembedahan dijangka lebih kurang 50% pesakit berisiko tinggi untuk mengalami pengulangan saluran yang tersumbat.

Strok
Strok ialah sejenis penyakit yang berkait dengan saluran darah. Strok berlaku apabila pengaliran darah ke otak telah tersumbat, sama ada disebabkan oleh pembekuan darah atau saluran darah yang menjadi semakin sempit. Apabila keadaan ini berlaku, sel-sel saraf di otak telah terhalang daripada menerima khasiat makanan dan sel-sel ini akan mati dalam masa beberapa minit.

Terdapat dua jenis strok. Jenis pertama dikenali sebagai ischemic stroke yang disebabkan oleh darah beku atau arteri yang tersumbat. Pada kebiasaannya, ia bermula dengan TIA atau strok mini. Jenis strok kedua pula ialah haemorrhagic stroke yang berlaku apabila saluran darah pecah. Strok yang serius mungkin membawa maut jika tidak diubati.

Sebelum strok berlaku, seseorang pesakit biasanya menunjukkan tanda-tanda seperti penglihatan kurang baik, kebas-kebas tangan, kaki dan muka, susah bercakap, sukar memahami orang lain, sakit kepala, pening kepala dan tidak dapat mengawal pergerakan badan. Keadaan ini biasanya diikuti dengan berlakunya strok mini, akibat daripada masalah pengaliran darah dalam otak. Kesannya kekurangan oksigen di dalam darah yang menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan sempurna.

Pesakit strok biasanya menunjukkan tanda-tanda seperti lumpuh sebelah badan, sukar berjalan, mudah jatuh dan patah tulang, hilang deria rasa dan penglihatan, aliran air liur yang tidak terkawal, tidak dapat mengawal pembuangan air kecil dan air besar, dan rasa kekebasan. Pesakit-pesakit strok juga tidak bersemangat dan mempunyai taraf keyakinan yang rendah. Dianggarkan bahawa lebih kurang 30% daripada pesakit strok terbaring di katil kerana kesukaran untuk berjalan.

Ubat moden yang biasa diberikan doktor untuk merawat strok ialah Ramipril. Ubat ini membantu mengurangkan darah tinggi, dan peluang strok berulang.

Bab 3.3: Darah Tinggi
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization), darah tinggi ialah pembunuh ketiga di dunia. Ia boleh membawa kepada penyakit-penyakit kritikal lain seperti sakit jantung, strok dan kerosakan buah pinggang. Penyakit ini juga menyerang/membunuh secara senyap. Di Malaysia, dianggarkan satu daripada tiga orang penduduk (33%) yang berumur 30 tahun ke atas menghidap darah tinggi. Mengawal darah tinggi bukanlah mudah. Daripada 100 orang pesakit darah tinggi, cuma enam orang berjaya mengawal darah tinggi mereka (New Straits Times, 7 April 2006). Malah, terdapat juga orang yang telah menghidap darah tinggi untuk beberapa tahun tanpa mereka sedari.

Tekanan darah ialah tekanan aliran darah ke arah dinding arteri. Jantung kita mengepam darah ke seluruh bahagian badan melalui rangkaian arteri. Darah memerlukan tekanan ini untuk mengangkut khasiat dan oksigen ke bahagian-bahagian badan yang lain. Ia juga membawa buangan dari bahagian-bahagian itu. Apabila jantung mengepam darah, ia membawa darah dari arteri ke kapilari. Daya kuasa yang dihasilkan oleh jantung semasa pengepaman darah ialah tekanan darah. Sekiranya saluran-saluran ini menjadi sempit, ia menyukarkan darah mengalir melaluinya. Ini akan meningkatkan tekanan darah. Apabila tekanan darah seseorang lebih tinggi daripada paras normal (Tinggi <130 mm Hg), ini mengakibatkan darah tinggi.

Apabila darah tinggi berlaku, ia membebankan jantung dan saluran-saluran darah mungkin rosak. Sebarang perubahan yang berlaku pada saluran-saluran yang membekalkan darah ke buah pinggang dan otak boleh membawa kesan negatif kepada organ-organ ini. Darah tinggi juga boleh merosakkan organ-organ badan lain seperti jantung, saluran-saluran darah dan mata. Jika ia memaksa jantung bekerja dengan lebih keras, ini boleh membawa kepada aterosklerosis (arteri menjadi keras), meningkatkan risiko sakit jantung, strok, kegagalan jantung dan hilang penglihatan.

Sebanyak 90 ke 95% kes-kes darah tinggi tidak diketahui punca-puncanya. Apabila puncanya tidak diketahui, ia dikenali sebagai hipertensi asas. Saintis telah mengenal pasti beberapa faktor yang menyumbang kepada darah tinggi. Faktor-faktor ini termasuklah aterioklerosis (atau kekerasan arteri), dinding arteri menjadi tebal atau hipertrofi dan pengecutan arterioles (arteri kecil) yang berlebihan.

Walaupun pakar perubatan tidak dapat menentukan punca darah tinggi, terdapat hubung-kait di kalangan pesakit darah tinggi. Misalnya, hipertensi asas berlaku dalam kumpulan atau masyarakat yang mengambil garam yang berlebihan, iaitu melebihi 5.8 gram seorang setiap hari. Oleh itu, darah tinggi boleh dikaitkan dengan pengambilan garam yang berlebihan dan faktor-faktor lain seperti peningkatan umur, obesiti, warisan genetik dan kegagalan buah pinggang.

Lima hingga sepuluh peratus kes pesakit darah tinggi dikategorikan sebagai hipertensi sekunder. Faktor yang menyumbang kepada peratusan ini termasuklah (a) buah pinggang yang tidak normal, (b) aorta (saluran darah di jantung) yang tidak normal sejak kelahiran dan (c) arteri yang sempit.

Kebiasaannya, pesakit akan diberi ubat untuk mengawal darah tinggi. Apabila sesuatu jenis ubat tidak membawa kesan yang diharapkan atau mengakibatkan kesan sampingan, ubat baru diberi. Kes berikut yang terjadi kepada salah seorang ahli keluarga saya (berumur 62 tahun pada tahun 2008) menunjukkan bahawa darah tinggi boleh mengakibatkan masalah-masalah kesihatan yang lain.

1970-1990an: Beliau mengalami sakit kepala dari masa ke masa. Untuk mengatasi masalah ini, beliau mengambil ubat ‘Panadol’ dan ‘Dusil’. Beliau menyukai hidangan masin. Banyak garam digunakan untuk menyediakan makanan seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan sup, baik hidangan makan tengah hari atau pun makan malam.

1999: Beliau disahkan menghidap darah tinggi dan mendapat rawatan daripada klinik pakar dan hospital dari semasa ke semasa di Kuantan dan Kuala Lumpur. Di samping itu, beliau juga mempercayai penyakitnya berkait dengan nasib kurang baik. Oleh itu, beliau telah mendapat rawatan perubatan tradisional yang melibatkan bomoh Cina.

2000–2003: Dalam tempoh ini, beliau berasa lemah badan dan pening kepala dari semasa ke semasa. Selain rawatan doktor di klinik dan hospital, beliau juga meneruskan rawatan perubatan tradisional. Untuk mengembalikan kesihatan, beliau juga mengambil makanan tambahan bagi meningkatkan daya sistem ketahanan badannya. Beliau telah pengsan beberapa kali. Beliau menurut kata-kata doktor bahawa beliau ’bebas makan apa yang disukai’.

2004: Beliau mengalami strok dan terpaksa diwadkan di sebuah hospital kerajaan selama satu minggu. Setiap hari, beliau perlu mengambil ubat Enalapril Maleate 5 mg/biji dan Glibenclamide 5 mg/biji untuk mengurangkan darah tinggi dan kencing manis. Beliau juga mengambil makanan tambahan. Akibat dari strok, beliau terpaksa berjalan perlahan kerana ditakuti akan terjatuh yang boleh menyebabkan beliau lumpuh atau meninggal.

2005: Untuk mengawal darah tinggi dan kencing manis, beliau mendapatkan tiga jenis rawatan. Rawatan pertama ialah perubatan moden iaitu ubat yang dimakan setiap hari ialah Enalapril 5 mg/biji dan 28 Filmtabletten 80/12, 5 mg/biji. Rawatan kedua ialah ubat herba tradisional Cina manakala rawatan ketiga ialah rawatan akupunktur di sebuah klinik di Kuala Lumpur.

2006: Keadaan strok, darah tinggi dan kencing manis dapat dikawal baik dengan pengambilan ubat. Sungguhpun demikian, pergerakan harian beliau sangat terbatas. Jika beliau ingin membuang air kecil pada sebelah malam, suaminya terpaksa menemaninya ke bilik air. Beliau menyedari bahawa penyakitnya telah membebankan suaminya.

2007-2008: Beliau dapat berjalan dengan perlahan tanpa bantuan suaminya. Beliau berpendapat bahawa keadaan ini mungkin disebabkan rawatan akupunktur yang diterima selama lima hari dalam tempoh setiap tiga bulan.

2009: Beliau mengalami strok sekali lagi. Sungguhpun demikian, beliau terus menikmati makanan yang sedap.

2010: Beliau tidak dapat berjalan jauh kerana kerap kali perlu membuang air kecil yang sukar dikawali.

Bab 3.4: Kencing Manis (Diabetes)
Kencing manis merupakan satu lagi penyakit pembunuh selepas penyakit kardiovaskular dan kanser. Dianggarkan lebih kurang 50% daripada pesakit kencing manis tidak menunjukkan sebarang tanda. Oleh yang demikian, kencing manis juga dikenali sebagai pembunuh senyap. Dilaporkan bahawa pada tahun 2006, daripada 26 juta penduduk Malaysia, 2.1 juta (8%) menghidap kencing manis (New Straits Times, 7 April 2006) berbanding dengan 1.2 juta (5%) pesakit kencing manis pada tahun 2005 (The Star, 20 November 2005). Pertambahan angka ini memang mengejutkan kerana ia menunjukkan kemerosotan kesihatan di kalangan rakyat Malaysia.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan masalah kencing manis di kalangan penduduk dewasa telah bertambah daripada kurang daripada 1% pada tahun 1960 kepada 8.3% pada tahun 1990-an (Nanyang Siang Pau, 2 Disember 2006).

Makin ramai penduduk Malaysia telah menghidap kencing manis di usia muda. Satu kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan menunjukkan peratusan mereka yang berada di dalam lingkungan umur 30-an yang menghidap kencing manis telah meningkat daripada 6.3% (1986) kepada 8.3% (1996). Sekiranya rakyat Malaysia tidak mengubah cara hidup seperti mengubah amalan pemakanan harian, dianggarkan menjelang tahun 2015, sebanyak 12% daripada keseluruhan penduduk Malaysia akan menghidap penyakit kencing manis (New Straits Times, 12 November 2006).

Apakah itu kencing manis? Dalam perkataan yang mudah, kencing manis merujuk keadaan apabila terdapat terlalu banyak kandungan gula di dalam darah. Antara tanda-tanda kencing manis ialah rasa haus, mudah lapar, lemah badan, hilang berat badan, penat, penglihatan merosot, kegatalan kulit, kekebasan tangan dan kaki, luka sukar sembuh, sukar untuk buang air kecil dan kelemahan organ seksual di kalangan lelaki (erectile dysfunctioning).

Sekiranya kencing manis tidak dijaga dan diurus dengan baik, ia akan mengakibatkan masalah kesihatan yang lain seperti sakit jantung, strok, penyakit pinggang (diabetic nephropathy), penyakit mata (diabetic retinopathy), kerosakan saraf (diabetic neuropathy), kerosakan saluran dan kurang upaya seksual di kalangan lelaki (impotence).

Terdapat tiga jenis kencing manis. Kencing manis jenis 1 berlaku apabila badan manusia tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi. Ia meliputi lebih kurang 10% daripada kes-kes kencing manis. Jenis kencing manis ini biasanya berlaku di kalangan individu berumur 20 tahun ke bawah. Ia berhubung-kait dengan pengumpulan glukosa dalam darah.

Kencing manis jenis kedua ialah ketidakseimbangan antara insulin yang dihasilkan oleh badan dan kebolehan sel-sel badan menggunakan insulin. Lebih kurang 90% daripada kes-kes kencing manis di negara maju merupakan jenis kencing manis ini. Terdapat hubungan rapat antara obesiti dan kencing manis jenis ini. Dianggarkan bahawa 80% daripada pesakit kencing manis juga menghadapi masalah berat badan. Pesakit-pesakit kencing manis juga sering menunjukkan kadar kolesterol dan triglyceride yang tinggi serta tekanan darah tinggi. Semua masalah kesihatan ini boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular.

Kencing manis jenis ketiga dikenali sebagai gestational diabetes atau kencing manis yang berkait dengan kehamilan kaum wanita. Jenis kencing manis ini merupakan satu fenomena sementara yang berlaku apabila seorang wanita mengandung dan akan hilang selepas bersalin.

Untuk mengetahui sama ada seseorang menghidap kencing manis, kaedah ujian yang biasa digunakan ialah Oral Glucose Tolerance Test (OGTT). Kencing manis berlaku apabila keputusan OGTT melebihi 7.0 mmol/L dan 11.1 mmol/L.

Insulin diberikan untuk mengubati kencing manis. Suntikan insulin pula diperlukan apabila keadaan kencing manis semakin teruk. Ini bermakna seorang pesakit kencing manis bergantung pada ubat moden untuk mengawal kandungan gula di dalam darahnya. Pengalaman seorang kawan (berumur 56 tahun pada tahun 2008) menunjukkan bagaimana kencing manis dirawat oleh perubatan moden.

1980an: Beliau disahkan menghidap penyakit darah tinggi dan ubat diberi oleh doktor untuk mengawal tekanan darah. Beliau percaya penyakit ini ialah penyakit keturunan kerana adik-beradik yang lain juga menghidap penyakit ini.

1995: Doktor mengesahkan bahawa beliau juga menghidap satu penyakit lain, kencing manis. Ini bermakna beliau perlu mengambil dua jenis ubat sehari, satu untuk darah tinggi dan yang satu lagi untuk kencing manis. Besar kemungkinan, penyakit kencing manis yang beliau hidapi berpunca daripada corak pemakanan dan minuman seharian. Ini dilihat ketika beliau bekerja sebagai seorang pekerja am di Amerika Syarikat, beliau meminum sebanyak empat hingga lima liter minuman ringan setiap hari. Bagi menjimatkan masa untuk menjalankan tugas, makanan tengah hari beliau ialah makanan segera seperti burger, ubi kentang goreng dan ayam goreng.

1998/9: Sungguhpun ubat diambil setiap hari seperti yang disarankan doktor, masalah darah tinggi dan kencing manis masih di tahap yang sama. Ini mungkin berkait dengan jenis makanan harian. Selepas berpindah dari Amerika Syarikat ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran, beliau banyak memakan coklat dan ubi kentang goreng bagi mengatasi cuaca yang sejuk. Beliau berasa penat dan sangat haus selepas mengambil kedua-dua jenis makanan ini.

2004-5: Setiap hari, beliau perlu mengambil ubat yang dikenali sebagai Glibenclamide BP 5 mg bagi mengawal kencing manis. Untuk darah tinggi pula, ubat diambil apabila dirasakan perlu sekiranya tekanan darah jatuh ke tahap 140/85 mm HG pada tahun 2004. Beliau mendapati bahawa tekanan darah akan meningkat apabila beliau mengambil daging dan makanan laut. Dari segi penjagaan kesihatan diri, beliau juga mengambil makanan tambahan yang dibeli oleh anak perempuannya. Kadang-kala beliau berasa sakit pinggang dan sakit belakang.

2006: Pada awal tahun, beliau diberi ubat yang lebih kuat untuk mengawal penyakitnya. Metformin (satu setengah biji setiap kali, makan tiga kali sehari) dan gliclazide (2 biji setiap kali, makan dua kali sehari) dimakan untuk mengawal paras gula. Perindopril (setengah biji, diambil sebelum makan, sekali sehari) adalah untuk mengawal darah tinggi. Simvastatin (1 biji, sebelum tidur malam) diambil bagi mengawal kolesterol. Pada tahun ini, beliau juga berpuasa beberapa hari selain pada bulan puasa untuk mengurangkan berat badan dan memperbaiki tahap kesihatan. Doktor juga memberitahu beliau bahawa terdapat tanda-tanda yang menunjukkan buah pinggangnya dalam keadaan lemah.

2007-2010: Selain ubat-ubat darah tinggi, kencing manis dan kolesterol, beliau diberikan ubat tambahan, iaitu ubat anti-coagulant seperti berikut.
a) Tekanan darah–Perindopril, 4 mg, PO Tab/Cap, makan sekali sehari, selama 6 bulan.
b) Paras gula–(i) Metformin, 750 mg, PO/Tab, 3 kali sehari selepas makan, selama 6 bulan, dan (ii) Gliclazide, 160 mg, PO/Tab, dua kali sehari sebelum makan, selama 6 bulan.
c) Kolesterol–Simvastatin, 20 mg, PO/Tab, makan sebelah malam, selama 6 bulan. .
d) Anti-coagulant–Aspirin, 75 mg, PO/Tab, sekali sehari, selama 6 bulan.

Pada masa yang sama, keadaan buah pinggangnya masih lemah.

Bab 3.5: Kanser
Kebelakangan ini, kanser telah menjadi satu pembunuh utama di Malaysia. Statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan daripada jumlah 100,000 penduduk Malaysia, 95 orang dilaporkan menghidap kanser pada tahun 1978 dan angka ini telah bertambah kepada 112 orang dalam tahun 2003 (Nanyang Siang Pau, 2 Disember 2006). Pada tahun 2004, National Cancer Registry melaporkan di Semenanjung Malaysia, terdapat 21,464 kes baru pesakit kanser yang terdiri daripada 9,400 kaum lelaki (44%) dan 12,064 kaum wanita (56%). Secara puratanya, seramai 59 orang telah dikenal pasti menghidap kanser setiap hari di negara ini.

Kita semua mempunyai sel-sel kanser di dalam badan. Kanser dapat diterangkan dengan pertumbuhan sel-sel yang tidak terkawal dan kemerebakan sel-sel yang abnormal. Sel-sel normal tumbuh di dalam badan dan mati secara terkawal. Apabila kanser berlaku, sel-sel di dalam badan yang tidak normal terus bertambah dan membentuk sel-sel yang tidak dapat dikawal.

Anda mungkin kurang menyedari bahawa kanser tidak terbentuk dalam sehari dua. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk membentuk. Apabila tumor membentuk, pelbagai tanda biasanya timbul. Antaranya termasuklah pengerasan bahagian badan tertentu, pertambahan dalam pengeluaran kahak, tahi telinga dan mata berair, pertambahan pendarahan semasa haid, hidung berdarah, kahak berdarah, demam panas yang berpanjangan, kesakitan yang berpanjangan seperti sakit perut, cirit-birit dan air kencing yang berkurangan, kehilangan berat badan, penat dan luka sukar sembuh.
Rawatan utama untuk kanser termasuklah pembedahan, radioterapi, kemoterapi atau gabungan rawatan-rawatan ini.
Pembedahan melibatkan penghapusan tumor atau organ badan yang terlibat. Kanser payu dada melibatkan pembuangan satu atau kedua-dua buah dada dan diikuti dengan rawatan-rawatan lain.

Radioterapi (juga dikenali sebagai x-ray therapy atau irradiation) melibatkan penggunaan tenaga tertentu (dikenali sebagai radiasi pengionan) untuk membunuh sel-sel kanser dan mengurangkan tumor. Radioterapi mencederakan atau membunuh sel-sel di satu tempat sasaran. Cara ini akan menghalang perpecahan dan kemerebakan sel-sel kanser. Dalam proses ini, terapi ini merosakkan sel-sel kanser dan sel-sel biasa.
Dalam rawatan kemoterapi pula, ubat-ubat ‘antikanser’ digunakan untuk membunuh sel-sel kanser dengan menghalang mereka terus membiak dan merebak. Dalam proses ini, sel-sel yang sihat juga dibunuh. Selain itu, apabila sel-sel biasa dibunuh, kesan-kesan sampingan akan berlaku. Dipercayai sel-sel ini dapat memperbaiki dirinya selepas kemoterapi. Dalam kes-kes tertentu, dua atau lebih jenis ubat akan diberi oleh doktor untuk mendapatkan kesan yang lebih baik.
Kemoterapi digunakan untuk tujuan-tujuan berikut:
1. Menyembuhkan kanser. Kanser dikatakan sembuh sekiranya seseorang pesakit bebas daripada bukti sel-sel kanser.
2. Mengawal kanser. Ini dilakukan dengan menghalang sel-sel merebak, mengurangkan pertumbuhan sel-sel kanser dan membunuh sel-sel kanser yang telah merebak ke bahagian lain.
3. Mengurangkan kesan (seperti kesakitan) yang disebabkan oleh kanser.
Dalam kes-kes tertentu, kemoterapi ialah rawatan tunggal yang diterima oleh seseorang pesakit. Sungguhpun demikian, adalah normal bagi seseorang pesakit kanser menggunakan satu gabungan rawatan seperti pembedahan, radioterapi, kemoterapi dan/atau terapi biologi (bahan-bahan ciptaan makmal yang boleh menguatkan sistem ketahanan badan terhadap kanser).

Cara perubatan barat terhadap kanser ialah ‘membuang dan membunuh’ sel-sel kanser. Dalam proses ini, selain sel-sel kanser, sel-sel sihat juga dibunuh. Ini mengakibatkan kesan-kesan sampingan seperti ulser mulut, sakit dada, masalah penglihatan, sakit perut, keguguran gigi dan rambut. Di samping itu, penggunaan ubat dalam rawatan kanser boleh mengakibatkan masalah yang lain. Dalam kes kanser payu dara, sejenis ubat yang dipanggil Tamoxifen digunakan untuk menghalang kanser berulang boleh membawa kepada kanser hati dan urinari seperti yang dilaporkan Prof. Dr. Azimahtol Hawariah Lope Pihie (The Star, 1 Februari 2004).


Berapa lamakah seorang pesakit kanser dapat hidup dengan rawatan konvensional? Semenjak bapa dan emak mentua saya berlatih Quolin Qi Gong bersama rakan-rakan pesakit kanser di Kepong, Kuala Lumpur, didapati bahawa majoriti pesakit-pesakit kanser yang menerima rawatan radioterapi dan/atau kemoterapi telah meninggal dalam masa tujuh tahun (2003–2009). Daripada 14 orang pesakit kanser lelaki yang meninggal antara 2003–2009, cuma seorang (7%) yang hidup lebih daripada 10 tahun dan cuma seorang (7%) hidup antara enam higga lapan tahun. Jenis kanser umum di kalangan 14 orang lelaki ini ialah kanser hidung (29%). Di kalangan 25 orang pesakit kanser wanita pula, cuma 2 orang (12%) yang hidup antara enam hingga tiga belas tahun. Kanser payu dara merupakan kanser umum (52%) di kalangan 25 pesakit kanser wanita tersebut.

Mengapakah pesakit-pesakit yang melalui rawatan konvensional tidak dapat hidup lebih lama dari yang diharapkan?

Jawapannya mungkin ada hubung-kait dengan keadaan iaitu sel-sel kanser adalah cukup aktif dan tidak berhenti membiak. Sel-sel kanser yang membiak dan merebak akan menyerap khasiat yang seharusnya diterima oleh sel-sel biasa. Di samping itu, sel-sel kanser mempunyai daya ketahanan tinggi terhadap bahan-bahan kimia. Apabila rawatan diberi, tidak semua sel-sel kanser dibunuh seperti yang diharapkan. Selepas rawatan, seseorang pesakit mungkin dapat menikmati ‘kesihatan’ untuk beberapa tahun sebelum pemulihan sel-sel kanser yang tercedera.

Bab 3.6: Punca dan Kaitan Penyakit
Ahli sains telah menghuraikan punca utama pelbagai penyakit (Jadual 3.6). Selain itu, punca minor yang boleh membawa kesan kepada kesihatan ialah umur, jantina dan warisan. Ahli-ahli sains juga mendapati bahawa penyakit-penyakit itu saling berkaitan. Ini bermakna satu jenis penyakit boleh menyebabkan penyakit yang lain.
1. Disebabkan hubung-kait penyakit ini, didapati peluang pesakit darah tinggi mendapat strok ialah tujuh kali ganda, mendapat sakit jantung adalah empat kali ganda, mati akibat kegagalan jantung ialah lima kali ganda berbanding seorang yang tidak mempunyai darah tinggi (Robbins 2001).
2. Tahap darah tinggi ialah faktor penentu untuk risiko masalah sakit jantung dan kegagalan jantung (Panagiotakos et al. 2002).
3. Penyelidikan perubatan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa darah tinggi dan kolesterol tinggi merupakan faktor utama yang menyebabkan penyakit jantung (Kushi & Jack 2003).
4. Kencing manis memainkan peranan yang penting kepada masalah penyakit jantung (Ghosh & Rodrigues 2006).

Oleh yang demikian, apabila kita menghidapi sesuatu penyakit seperti darah tinggi atau kencing manis, kesedaran terhadap perkaitan penyakit adalah penting untuk menentukan jenis rawatan yang sesuai.

Punca (P) dan hubung-kait (HK) penyakit utama
Obesiti: (P): Glukosa di dalam darah tinggi, terlalu banyak mengambil minuman berkarbonat dan makanan segera; (HK): Penyakit kardiovaskular, kencing manis, darah tinggi, lipid disorder, strok, penyakit pinggang, penyakit pernafasan, penyakit pundi kencing, osteoarthritis, hormon tidak normal, penyakit saraf & mata
Penyakit jantung: (P): Pembekuan darah atau arteri tersumbat, Kolesterol, Triglyceride; (HK): Kencing manis, darah tinggi
Strok: (P): Pembekuan darah atau arteri tersumbat, Saluran darah pecah, Darah tinggi, Kolesterol tinggi. (HK): Kencing manis, darah tinggi
Darah tinggi: (P): Tidak diketahui, Berkait dengan terlalu banyak makanan masin. (HK): Penyakit mata, saluran darah tercedera, penyakit jantung, kegagalan buah pinggang, strok, erectile dysfunction.
Kencing manis: (P): Terlalu banyak gula di dalam darah, Kurang insulin. (HK): Strok, penyakit mata, penyakit buah pinggang, impotence, tulang lemah, anemia, erectile dysfunction.
Penyakit buah pinggang: (P): Kencing manis, Darah tinggi, Terlalu banyak makan ubat analgesik. (HK): Penyakit jantung, anemia, lemah tulang, saraf tercedera, kencing manis, darah tinggi
Kanser: (P): Tumor. (HK): Organ rosak setelah sel-sel kanser merebak

Bab 3.7: Pencapaian Perubatan Moden
Pada alaf baru ini, pencapaian sains dan teknologi menyebabkan kebanyakan manusia mempercayai bahawa perubatan moden dapat memberi jawapan kepada penyakit-penyakit yang dihidapi. Apabila seseorang jatuh sakit, doktor pakar akan ditemui dan ubat yang paling berkesan akan diberikan untuk melawan atau mengawal penyakit itu.

Penggunaan perubatan moden untuk merawat tanda-tanda penyakit adalah amat berkesan dalam jangka pendek. Penggunaan antibiotik, analgesik, ubat-ubatan, pembedahan, radioterapi dan kemoterapi dalam rawatan konvensional secara idealistiknya bertujuan ‘memberhenti, membuang atau membunuh’. Rawatan ini meringankan kesakitan atau masalah penyakit dan memanjangkan usia buat sementara waktu. Akibatnya, seorang pesakit perlu bergantung pada ubat sepanjang hidup. Pesakit diberitahu bahawa sekiranya satu jenis ubat gagal mengawal penyakit, ia akan diganti dengan ubat baru yang lain.

Panjang umur tidak bermakna seseorang itu sihat tetapi orang yang sihat tentu hidup lebih lama. Manusia perlu hidup sihat sehingga hari tua. Bagaimanakah ini boleh dicapai? Salah satu cara ialah menghalang penyakit berlaku dengan memahami punca-puncanya. Antara faktor yang penting mungkin ada kaitan dengan makanan yang kita ambil setiap hari. Marilah kita sama-sama lihat hubungan ini di dalam bab yang berikut.

No comments:

Post a Comment