寻找健康

寻找健康
免费阅读本书的内容, 请看 2011年3月26日部落的整本书. 此书非商业方式出版,不在商业书店售卖。想得到此书的朋友,请联络作者林廷辉博士 drlimhf@gmail.com 012-3615905

Makanan Sihat Sebagai Ubat (2011)

Makanan Sihat Sebagai Ubat (2011)
Ini adalah buku kesihatan saya. Kandungannya telah dimuatkan dalam blog ini pada 10 Sept 2010 sempena Hari Raya Puasa. Buku ini bukan diterbitkan untuk tujuan komersial dan tidak dipasarkan melalui kedai-kedai buku terkenal. Jika anda ingin memperolehi satu naskah, sila hubungi pengarang di drlimhf@gmail.com atau 012-3615905

Eating for Good Health (2010)

Eating for Good Health (2010)
3nd Edition 2010. The contents of this book are in this blog (subheadings in Blog Archive from October 2009 till January 2010) for free reading. This is a non-commercial book and is not available in major commercial book stores. If you wish to own a hard copy, kindly contact the author at: drlimhf@gmail.com or 012-3615905

Friday, September 10, 2010

BAB 4: MAKANAN DAN PENYAKIT

Secara umumnya, kebanyakan orang mempercayai bahawa pakar-pakar perubatan akan memulihkan kesihatan kita dan melindungi kita daripada penyakit. Memang benar rawatan perubatan moden berperanan penting dalam kesihatan masyarakat moden. Sungguhpun demikian, perubatan moden ini kadang-kala tidak membawa kesan seperti yang diharapkan. Penyakit metabolik kronik (termasuk penyakit jantung, darah tinggi, obesiti dan dyslipidaemia) merupakan topik perbincangan yang hangat pada masa kini kerana dijangka penyakit ini akan meningkat dalam tempoh 20 tahun akan datang (Annie 2008).

Beberapa dekad yang lalu, terdapat pertambahan minat tentang rawatan alternatif. Rawatan-rawatan alternatif ini bukanlah sesuatu yang baru, malah telah diamalkan sejak wujudnya manusia di bumi. Ramai orang mencari rawatan alternatif selepas rawatan moden didapati kurang berkesan. Menjelang tahun 1960-an, generasi baru mula mempersoalkan pelbagai aspek masyarakat moden, termasuklah perubatan moden (Trattler 2001).

Pada masa kini, semakin ramai individu yang berminat dalam mengamalkan pemakanan berkhasiat, baik di negara maju mahu pun negara sedang membangun. Kepentingan makanan dalam mempengaruhi kesihatan dan sebagai penyebab utama penyakit telah ditekankan di Amerika Syarikat. Ini dapat diperhatikan di dalam laporan the Dietary Goals for the United States, yang disediakan oleh kakitangan Select Committee on Nutrition and Human Needs, United States, yang menyatakan:

“Sebagai satu negara kita mempercayai ubat dan teknologi perubatan boleh menyelesaikan masalah kesihatan utama. Peranan penting makanan telah diabaikan manakala keajaiban perubatan moden ditekankan. Rawatan, bukan pencegahan, diberi keutamaan. Masalah-masalah kesihatan tidak akan dapat diselesaikan hanya melalui perubatan tambahan. Kesihatan individu dan penduduk adalah ditentukan oleh pelbagai faktor biologi, kelakuan dan alam sekitar. Antara faktor-faktor ini, yang terpenting ialah makanan yang kita ambil!” (Diamond & Diamond 1985)

4.1: Apa Itu Makanan?
Badan kita memerlukan makanan untuk membekalkan tenaga (untuk proses kehidupan dan pertumbuhan), memperbaiki dan menyelenggara sel dan tisu. Semua makanan mengandungi khasiat makro, khasiat mikro, air dan serat. Khasiat makro terdiri daripada protein, lemak dan karbohidrat. Mereka ini berperanan membekalkan tenaga yang diukur dalam unit kalori. Khasiat mikro pula terdiri daripada vitamin, galian dan elemen kecilan. Mereka ini memainkan pelbagai peranan yang melibatkan penggunaan dan pembuangan khasiat makro. Vitamin dan galian diperlukan dalam kuantiti yang kecil setiap hari. Serat (dari sumber tumbuh-tumbuhan) menjaga kesihatan dan mengelakkan berlakunya penyakit. Definisi kandungan makanan dapat diterangkan seperti di bawah (Wright 2002).

Protein: komponen struktur badan yang membentuk sel, tisu dan organ. Protein ini terdiri daripada unit kecilan yang dikenali sebagai asid amino. Dalam proses penghadaman, protein dipecahkan kepada asid amino untuk memudahkan proses penyerapan. Makanan yang mengandungi protein pula berasal dari dua sumber. Sumber pertama adalah daripada binatang dan ini termasuklah daging merah, binatang ternakan, ikan, susu, keju, yogurt dan telur. Sumber kedua protein datang daripada tumbuh-tumbuhan seperti bijirin tulen, kekacang dan bijian. Oleh kerana protein membekalkan 10 hingga 15% kalori yang diperlukan harian, para pakar pemakanan mencadangkan cuma sedikit protein diambil setiap hari.

Lemak: Lemak mengandungi molekul asid lemak (fatty acid molecules) yang berciri sama ada tepu (saturated) atau tak tepu (unsaturated). Lemak ini adalah komponen penting yang mengelilingi semua sel tisu dan ia mengawal bahan-bahan yang memasuki dan dikeluarkan daripada sel. Lemak disimpan di dalam sel sebagai tenaga simpanan dan ia akan dipecahkan untuk melepaskan tenaga apabila diperlukan. Kolesterol ialah satu bentuk lemak tepu yang dihasilkan daripada asid lemak tepu oleh hati. Kolesterol ini terlibat dalam penghasilan steroid, hormon dan garam bile. Badan manusia berkemampuan untuk membekalkan kolesterol yang diperlukan dari makanan. Makanan yang tinggi lemak tepu ialah daging merah, makanan tenusu dan telur.

Karbohidrat: Bentuk-bentuk molekul gula yang simple atau lebih kompleks dipecahkan menjadi glukosa dalam proses penghadaman. Glukosa diserap dalam pengaliran darah dan seterusnya digunakan oleh badan. Makanan yang telah diproses seperti biskut, pasta, gula-gula, kek, coklat dan sos adalah terdiri daripada gula simple yang membekalkan kalori kepada badan. Oleh itu, jika kita terlalu banyak mengambil makanan yang berkarbohidrat, ia akan membawa kepada masalah obesiti, kencing manis, arteriosklerosis dan kerosakan gigi. Kanji ialah karbohidrat kompleks yang terdiri daripada jaringan molekul glukosa. Makanan seperti bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, roti dan ubi kentang banyak mengandungi kanji. Jenis-jenis makanan ini juga mengandungi serat, vitamin dan galian. Mereka melindungi kita daripada obesiti dan masalah berat badan.

Serat: Serat terdapat di dinding sel tumbuh-tumbuhan. Ia terdapat dalam pelbagai bentuk. Serat yang biasa ialah selulosa, iaitu komponen utama dinding sel tumbuh-tumbuhan. Makanan yang kaya dengan selulosa termasuklah tepung tulen, pasta tulen dan beras perang. Selulosa ini tidak berpecah di dalam air. Ia melekat pada air dan memudahkan pembuangan air besar. Bentuk serat yang lain ialah pectin yang terdapat di dalam buah-buahan, kulit buah-buahan jenis limau dan sayur-sayuran. Satu bentuk serat yang lain ialah hemiselulosa yang terdapat di dalam oat bran, biji-bijian, kekacang, bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Vitamin: Vitamin diperlukan dalam proses-proses metabolik seperti pertumbuhan dan pembaikan tisu-tisu dan organ, penyerapan makanan dan fungsi sistem ketahanan, saraf pengaliran darah dan hormon. Vitamin adalah sama ada larut lemak (fat soluble) atau larut air (water soluble). Vitamin yang tergolong sebagai larut lemak ialah vitamin A, D, E dan K. Jenis-jenis vitamin (kecuali sebahagian daripada D dan K) datang dari makanan dan lebihannya disimpan di dalam hati. Pemakanan vitamin larut lemak, khasnya A dan D, (yang mungkin disebabkan makanan tambahan yang berlebihan) boleh menghasilkan kesan toksik. Vitamin larut air termasuklah vitamin dalam kumpulan C dan D. Jenis vitamin ini datang daripada makanan yang merupakan cecair di dalam air dan tidak boleh disimpan di dalam badan.

Galian: Galian terkandung di dalam batu, metal dan hidupan yang memainkan peranan yang penting dalam proses metabolik seperti melawan penyakit dan kesan penuaan. Galian seperti kalsium dan posforus banyak terdapat di dalam tulang dan gigi. Zat besi, iodin dan sodium wujud dalam kuantiti yang kecil. Galian yang diperlukan dalam kuantiti yang kecil dikenali sebagai trace elements. Misalnya, sodium yang mudah didapati dari makanan diperlukan dalam kuantiti yang kecil untuk fungsi saraf dan bahagian penting di dalam cecair sel dan tisu. Kalium juga ialah bahagian yang penting di dalam cecair sel dan tisu yang menjamin fungsi saraf. Ketidakseimbangan antara kalium dan sodium di dalam badan boleh mengakibatkan berlakunya penyakit. Nisbah kalium yang rendah/sodium yang tinggi ialah satu faktor penting kepada tekanan darah tinggi dan stres.

4.2: Badan Manusia
Badan kita terdiri daripada 60 trilion sel yang kecil. Sel-sel ini termasuklah sel darah, sel lemak, sel otot, sel saraf dan sel kulit. Setiap jenis sel mempunyai fungsi tersendiri. Fungsi-fungsi yang berlainan ini membolehkan kita untuk terus hidup.

Makanan yang kita ambil setiap hari dapat memastikan sel-sel berfungsi dengan baik. Apabila kita makan, gigi kita mengunyah makanan supaya mudah ditelan. Makanan ini kemudiannya disalurkan ke perut yang menjadikannya cecair. Makanan kemudiannya disalurkan ke dalam usus. Dari usus, bahan-bahan yang baik dan tidak baik disalurkan ke dalam darah yang membawa bahan-bahan ini ke seluruh badan. Dalam proses ini, hati memecahkan makanan sementara ginjal membantu membuang air kotoran dari badan. Badan kita tidak menggunakan semua makanan. Bahagian makanan yang tidak diperlukan dikeluarkan dari badan melalui pembuangan air besar dan kecil.

4.3: Makanan dan Kesihatan
Menjadi harapan setiap orang supaya dapat menjalani kehidupan yang sihat. Masyarakat semakin sedar bahawa makanan mempengaruhi kesihatan. Apakah jenis makanan dan nisbahnya bagi memastikan kita hidup sihat? Merurut seorang pakar doktor Dr. William Howard Hay (1866-1940), badan yang sihat memerlukan 20% makanan berasid dan 80% makanan beralkali untuk membolehkannya berfungsi dengan baik.

Masalah kesihatan yang timbul dalam masyarakat kini ialah kebanyakan orang lebih mengambil makanan berasid. Nisbah makanan masyarakat moden mungkin merupakan 20% makanan beralkali dan 80% makanan berasid. Ketidakseimbangan ini mempunyai kesan negatif yang terlalu besar untuk kesihatan kita. Apabila kita menerima lebih makanan berasid, semua sel dalam badan kita akan menjadi berasid dalam jangka panjang. Keadaan badan yang berasid ini akan membawa kepada pelbagai penyakit.

4.4: Penyebab Penyakit
Sesuatu penyakit tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya. Selain dari penyakit yang disebabkan oleh virus atau kuman, kebanyakan penyakit secara umumnya disebabkan oleh bahan-bahan toksin yang ditimbulkan dalam badan, dari makanan dan udara (Bieler 1965). Badan kita mempunyai mekanisme-mekanisme penyesuaian mengeluarkan toksin ini. Akan tetapi, sekiranya mekanisme-mekanisme ini kurang berfungsi, terlalu banyak beban kerja untuk membersihkan toksin, mereka tidak dapat mengekalkan kesihatan kita dan seterusnya penyakit mula timbul (Trattler 2001). Penyebab-penyebab penyakit telah disenaraikan Trattler (2001) seperti berikut:

1. Pengumpulan bahan-bahan toksin yang bertimbun di dalam badan adalah faktor utama.

2. Ketidakseimbangan diet dan kurang serat yang mengurangkan khasiat dalam makanan.

3. Keadaan mekanik badan dan postur yang kurang baik. Tabiat, fungsi organ badan yang berkurangan, kecederaan boleh mempengaruhi fungsi-fungsi badan seperti mengganggu pengaliran darah.

4. Emosi yang merosakkan. Ketakutan, kebimbangan, benci dan rasa rendah diri boleh mempengaruhi badan seperti gangguan ke atas penghadaman, pengaliran darah, keseimbangan hormon dan biokimia seluruh badan.

5. Penggunaan ubat-ubatan dan vaksin yang supresif. Ini boleh menghalang usaha-usaha badan untuk membuang toksin.

6. Minuman keras, kopi dan rokok yang berlebihan. “Dadah sosial” ini boleh merosakkan hati, paru-paru, pankreas, tiroid, kelenjar adrenal dan bahagian-bahagian yang lain.

7. Penyebab alam sekitar iaitu udara, air dan tanah semakin tercemar dengan pertambahan penduduk dan cara hidup kita yang mencemarkan.

8. Risiko pekerjaan, iaitu kontak kimia dan kualiti udara yang rendah merupakan faktor yang menyumbang kepada penyakit.

9. Faktor-faktor warisan. Faktor ini menjadi jelas apabila badan kita mengalami stres yang disebabkan oleh satu atau lebih penyebab penyakit yang lain.

10. Jangkitan parasit, viral atau kuman. Pasteur yang terkenal dengan the germ theory, telah menyatakan bahawa “The germ is nothing, the soil is everything”, yang bermaksud kuman hanya boleh hidup dalam alam sekitar yang sesuai.

Antara faktor utama penyakit ialah makanan yang berasid dan ia selalunya menjadi penentu penyebab. Oleh itu, apabila kita mengambil makanan berasid yang berlebihan akan membawa kepada pengumpulan bahan-bahan toksik di dalam badan kita. Pengumpulan toksin ini mengakibatkan asid urik kita adalah tinggi dan ini bermakna semua sel di dalam badan kita telah berasid. Jika kita tidak menjaga amalan pemakanan harian, kita akan terdedah kepada risiko menghidap penyakit-penyakit moden seperti darah tinggi, kencing manis, penyakit ginjal dan mungkin juga kanser.

Lazimnya, makanan berasid ini membawa kepada ketidakselesaan badan seperti sakit kepala, sakit badan, hidung berair dan demam panas. Semua ini merupakan tanda-tanda yang mana badan kita telah menjadi berasid dan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang kritikal. Berikut adalah saling-hubungan antara pelbagai penyakit yang diterangkan dalam Bab 3.

1. Darah tinggi: mungkin membawa kepada masalah jantung dalam jangka panjang.

2. Kencing manis: terlalu banyak gula dan lemak di dalam darah meningkatkan peluang sakit jantung.

3. Obesiti: boleh membawa kepada darah tinggi, kencing manis dan seterusnya penyakit jantung dan strok.

4.5: Fungsi Hati
Dalam era kimia ini, beribu-ribu jenis bahan kimia ditambahkan ke dalam makanan harian kita. Memang nyata bahawa pelbagai racun serangga, racun rumput-rumpai dan hormon digunakan dalam pengeluaran makanan. Penggunaan bahan kimia untuk mengawal penyakit binatang dan mempercepat tumbesaran adalah amalan biasa dalam industri penternakan. Makanan harian kita makin banyak diproses, disejukkan dan dimasak. Ini merosakkan vitamin dan galian yang terdapat di dalam makanan. Hasil kajian menunjukkan bahawa apabila badan kita, terutamanya hati, menjadi lemah setelah terdedah kepada pelbagai bahan kimia seperti “racun serangga, racun rumput-rampai, penyegar udara, agen pemutih, agen pembersih kering, pengawet, antibiotik dan cat” (Lai 2006).

Hati mempunyai pelbagai fungsi penting.

1. Sebagai satu penapis untuk darah dan cecair limfa. Hati memproses dan memecahkan makanan, minuman dan toksik daripada rokok yang tidak sihat.

2. Hati menukarkan bahan-bahan kimia larut lemak ini kepada bahan-bahan kimia yang larut air untuk memudahkan pembuangan dalam bentuk cecair seperti air kencing.

3. Hati menyimpan bahan toksin.

4. Untuk memudahkan penghadaman lemak, hati mengalirkan bile. Bile ini disimpan di dalam pundi hempedu dari mana ia dilepaskan dan digunakan dalam penghadaman lemak dan penyerapan khasiat.

5. Hati penting dalam penghadaman protein. Apabila protein dipecahkan di dalam usus kepada asid amino (iaitu produk hasil daripada protein penghadaman), amonia, satu bahan yang cukup toksik dilepaskan. Hati menyerap amonia dari darah dan menukarkan kepada urea yang kurang toksik (iaitu mengandungi nitrogen). Urea diangkut di dalam darah dan seterusnya dibawa kepada ginjal untuk dibuang daripada badan.

6. Hati membuang bahan-bahan toksin di dalam badan kita.

7. Hati membina bahan-bahan pembekuan darah, memproses sel-sel darah merah yang usang, membuang hemoglobin dan menyimpanya sebagai zat besi untuk kegunaan masa depan.

8. Hati menyimpan vitamin A, B12, D, E dan K.

9. Ia merupakan salah satu penyumbang kepanasan kepada badan kita.

Perlu diingatkan bahawa sekiranya saluran-saluran hati perlu memproses terlalu banyak bahan kimia, ini akan mengakibatkan pengumpulan toksin di dalam badan kita. Apabila kita terlalu banyak makan, beban kerja hati bertambah. Jika hati perlu menyimpan terlalu banyak bahan toksin, kerosakan hati boleh berlaku. Dengan itu, adalah mudah bagi kita menghidap penyakit.

4.6: Makanan Membawa Penyakit
Pakar perubatan dan syarikat farmaseutikal menggunakan banyak sumber dan masa dalam mencari ubat-ubatan yang sesuai dan membentuk teknologi baru untuk merawat pelbagai penyakit. Pada masa yang sama, penyelidikan tentang hubung-kait antara masalah kesihatan dan makanan adalah terhad. Dalam media massa, tekanan diberi kepada ubat baru dan teknologi dalam bidang perubatan sementara pencegahan penyakit secara umumnya diabaikan.

Kita lupa bahawa makanan yang sedap dengan pelbagai perisa boleh membawa penyakit. Dr Jiang Shu Hui, seorang pakar perubatan, telah memberi satu penerangan yang jelas mengenai isu ini. Menurut beliau (Jiang 1999), sekiranya badan kita berasid, ia tidak dapat menghadam protein yang berlebihan. Sekiranya kita terus menerima makanan berasid, semua sel dan sistem badan kita tenggelam dalam satu alam sekitar berasid. Dalam jangka panjang, pembentukan penyakit tidak dapat dielakkan. Biasanya ia bermula dengan penyakit biasa seperti sakit kepala, hidung berair, demam panas dan batuk. Sekiranya kita meneruskan amalan pemakanan berasid, ia mungkin membawa kepada pelbagai penyakit.

4.7: Peringkat Berlakunya Penyakit
Jiang (1999) seterusnya memberi penerangan mengenai tiga peringkat bagaimana penyakit berlaku.

Peringkat pertama ialah ketidakseimbangan. Katakan pada suatu pagi anda bangun dan berasa ketidakselesaan badan. Anda mungkin mengalami demam panas, batuk, sakit kepala, sakit mulut, hidung berair, gatal atau pertambahan berat badan. Anda mungkin mempunyai selera yang baik, khasnya makanan yang kaya dengan sodium tetapi pada masa yang sama anda mungkin menghadapi masalah penghadaman. Anda rasa penat selalu dan memori yang berkurangan. Semua ini merupakan tanda-tanda bahawa anda telah terlalu banyak mengambil makanan yang mengandungi terlalu banyak lemak dan garam tetapi kurang mengambil makanan berserat. Tanda-tanda ini sebenarnya memberitahu badan anda akan menghadapi masalah kesihatan yang lebih serius. Masalah penghadaman anda akan menghadapi halangan dan mengalami masalah pembuangan air besar. Sistem ketahanan badan anda kini menjadi lemah; anda sedang memasuki peringkat kedua berlakunya penyakit.

Dalam peringkat kedua, sudah terdapat terlalu banyak toksin di dalam badan anda dan badan bertungkus lumus untuk membuang toksin ini. Pada peringkat ini, anda sentiasa menghadapi masalah seperti hidung berair, demam, peluh berbau, selalu buang air kecil, mengantuk, sakit badan, gatal kulit dan sukar bernafas. Terdapat juga orang yang menghadapi bahagian badan yang bengkak. Kaum wanita pula menghadapi kitaran haid yang tidak tetap atau kesakitan semasa kedatangan haid. Semua ini berlaku kerana toksin di dalam badan tidak dapat disingkirkan.

Peringkat terakhir ialah berlakunya sesuatu penyakit, akibat pengumpulan toksin di dalam badan. Selepas pemeriksaan pakar perubatan, anda diberitahu bahawa anda telah menghidap satu atau lebih jenis penyakit kritikal. Penyakit ini termasuklah penyakit jantung, kencing manis, sakit kepala yang serius (migrain), kerapuhan tulang (osteoporosis), gout, masalah mata, batu karang, batu ginjal, penyakit ginjal dan kanser. Pada peringkat ini, sekiranya anda mengubah tabiat pemakanan secara serius, bersenam dan mendapat rawatan yang sesuai, keadaan kesihatan anda boleh diperbaiki.

4.8: Makanan Sihat
Abad ke-21 ini ialah era bagi kita semua mencapai dan mengembalikan kesihatan. Ini dapat dicapai dengan berkesan melalui makanan harian.

Kita perlukan makanan untuk hidup kerana di dalam makanan terdapat kalori dan khasiat yang diperlukan badan. Seperti diterangkan, setiap makanan mengandungi protein, karbohidrat, lemak, serat, air, galian dan vitamin. Jenis makanan yang berbeza berdasarkan binatang dan tumbuhan mengandungi khasiat yang berlainan. Jangan anggap di dalam sayur-sayuran tidak terdapat protein. Menurut seorang pakar makanan makrobiotik, June Ka Lim, protein dari tumbuhan mungkin bukan yang terbaik kerana bukan protein yang menyeluruh. Untuk mendapat sumber protein yang terbaik, adalah penting untuk memasak bijirin penuh (beras perang, milet, barli, beri gandum tulen, rai, jagung, oat tulen, gandum kuda) bersama kekacang (kacang Adzuki, lentils, chickpeas, black soybeans, tauhu, tempeh, natto atau makanan fermentasi soya) dan biji-bijian (bijian, bunga matahari, labu dan petola).

Begitu juga kita perlu memahami vitamin dan galian yang terdapat di dalam makanan. Dalam bidang khasiat, galian dan vitamin dikategorikan sebagai makronutrien. Ini bermakna badan kita cuma memerlukan sedikit galian dan vitamin setiap hari. Kekurangan pemahaman ini membuatkan kita bergantung pada pelbagai jenis makanan tambahan yang mengandungi galian dan vitamin. Soalnya, adakah mereka ini sumber vitamin dan galian yang paling baik? Bukankah lebih baik untuk mendapat vitamin dan galian dari sumber-sumber asli?

Sebenarnya, sumber galian dan vitamin yang paling baik datangnya dari sayur-sayuran dan buah-buahan. Misalnya, jika badan kita memerlukan zink, ia bolehlah didapati dari biji sawi, ulam raja (Cosmos caudatus), pegaga (Centella asiatica), bayam, bendi, kacang kuning, kacang merah, kacang hijau dan kacang hitam (Chia 2004).


4.9: Makanan Berasid dan Beralkali
Semua makanan yang dihadam di dalam badan kita dipecahkan kepada bahagian-bahagian kecil yang dikenali ash residue. Ash residue ini boleh berasid, neutral atau beralkali, bergantung pada kandungan galian di dalam makanan asal (Jiang 1999; www.elementofharmony.net/food_list). Jika anda mahu hidup sihat, anda perlu memahami perbezaan antara makan beralkali dan makanan berasid. Sekiranya anda banyak mengambil makanan berasid, anda mungkin mudah jatuh sakit berbanding dengan orang yang kurang mengambil makanan berasid.


Senarai makanan beralkali: Milet, Sayuran tanaman, sayuran laut, sprout, Kacang hijau, kacang peas, kacang Lima, kacang soya, kacang merah, tauhu, Buahan dan jus segar, Miso.

Senarai makanan berasid: Beras perang, beras putih, gandum, oat, beras bran, bran oat; Daging, ikan, makanan laut, telur; Sayuran, kacang dan kekeras yang diawet; Buah-buahan diawet; Roti putih, mi, biskut, tepung, tepung gandum; Sos, aiskrim, coklat, minuman ringan, makanan dalam tin dan gula halus; Bawang, bawang putih, halia, minyak binatang, minyak zaitun, lada; Makan berminyak, makanan peram, makanan diproses dengan aditif dan sos, mentega, keju, madu lebah, wheat germ, yogurt; Susu diproses, yogurt, minuman keras, mimuman ringan, kopi, aiskrim

Penting bagi kita mengingati hasil kajian Dr. William Howard Hay (1866-1940): badan memerlukan 20% makanan berasid dan 80% makanan beralkali untuk membekalkan tenaga yang cukup bagi mengekalkan kesihatan. Perlu ditekankan sumber-sumber makanan berasid dan beralkali haruslah datang dari sumber tumbuh-tumbuhan.

4.10: Nisbah Kalium dan Sodium
Mengenali perbezaan makanan beralkali dan berasid tidak menjamin badan yang sihat. Kita perlu faham juga nisbah kalium (K) dan sodium (Na) di dalam makanan (Jadual 4.6, 4.7 & 4.8). Setiap jenis makanan mengandungi kedua-dua kalium dan sodium dalam kandungan yang berbeza. Kandungan kalium dan sodium di dalam makanan ini memberi kesan kepada kesihatan kita. Nisbah kalium dan sodium di dalam makanan diberi penekanan kerana ia memainkan peranan yang penting dalam pembentukan penyakit seperti yang diterangkan seperti berikut.

“Nisbah kalium dan sodium memainkan peranan dalam penyakit kanser, darah tinggi, masalah jantung, kencing manis dan sebagainya. Dalam kajian haiwan, diperhatikan apabila garam ditambahkan kepada makanan, tekanan darah meningkat dan apabila kalium ditambahkan tekanan darah menurun. Oleh itu selain mengurangkan pengambilan garam, pengambilan kalium perlu ditambah” (Lai 1993).

Di manakah kita boleh dapati makanan yang kaya dengan kalium? Merurut Lai (1993), “makanan yang tinggi kalium ialah sayur-sayuran dan buah-buahan di mana nisbah K/Na adalah tinggi bagi makanan seperti kacang soya, pisang dan labu. Makanan yang kurang kalium datang dari sumber binatang atau diproses dan nisbah K/Na kurang daripada nilai 1 termasuk makanan manis, makanan dalam tin, roti dan bakon”.


4.11: Makanan Yin dan Yang
Makanan juga boleh diklasifikasikan kepada kumpulan tertentu berdasarkan kualiti yin dan yang. Kushi dan Jack (2003) telah membahagikan makanan dan minuman kepada tiga kategori.

Makanan terlalu yang (tinggi ke rendah): Ubat (sesetengah), garam halus, garam kaya galian; Telur, kaviar (pekasam ikan); Daging; Keju keras; Ternakan; Ginseng, sirip ikan jerung, dan setengah-tengah herba dan makanan tambahan; Tembakau; Makanan laut, kerang-kerangan, daging merah dan ikan berkulit biru; Daging ikan berwarna putih; Makanan digarami, disalai, dibakar, dipanggang dan makanan ranggup seperti kentang goreng; Roti, biskut kering, biskut manis dan makan bertepung yang dipanggang


Makanan sederhana(tinggi ke rendah): Garam laut; Sayur-sayuran laut; Bijirin tulen; Kacang dan produk kacang; Sayur-sayuran; Bijirin dan kekeras keluaran kawasan iklim sedearhana; Buahan dan jus keluaran kawasan iklim sederhana seperti cuka epal dan jus karot; Minyak sayur belum dihalusi; Bahan pemanis hasil bijirin seperti amasake, malta barli dan sirap beras; Teh bancha, teh barli dan lain-lain minuman tradisional, tanpa stimulan dan tanpa aromatik; Mata air, air perigi atau air tapisan.

Makanan terlalu yin (tinggi ke rendah): Ubat (banyak); Dadah seperti marijuana, LSD dan kokain; Makanan dan air yang diproses secara kimia, makanan dari perubahan gen, makanan ‘irradiated’; Vitamin dan makanan tambahan (kebanyakan); Minuman keras; Gula, madu dan pemanis yang diproses; Kopi, teh hitam, teh mint, minuman ringan dan mimunan berstimulan atau beraroma; Sayuran, buahan, kekeras hasil kawasan tropika; rempah, perasa dan herba; Minyak sayuran yang tepu atau diproses, mayonis dan marjerin; Susu, mentega, keju lembut, yogurt, aiskrim dan barangan tenusu ringan; Beras putih, tepung putih dan lain-lain bijirin halus.

Untuk hidup sihat, kita perlu memilih makanan sederhana dalam kehidupan harian.

1. Makanan sederhana mengandungi kualiti yin dan yang yang berharmoni. Jenis makanan ini sesuai untuk dimakan setiap hari.

2. Makanan yang terlalu yang mewujudkan ketegangan, kekerasan dan kesan pengecutan. Jenis makanan ini harus diminimumkan atau dielakkan.

3. Makanan terlalu yin mengakibatkan kelonggaran, kelembutan dan kesan pengembangan. Ia perlu diminimumkan/dielakkan di tempat cuaca bermusim empat.

Secara umumnya, kita boleh menghubungkaitkan makanan tinggi sodium dan rendah kalium dan makanan terlalu yang dan terlalu yin sebagai makanan berasid. Di sebaliknya, makanan tinggi kalium dan rendah sodium adalah beralkali. Keadaan makanan inilah yang mempengaruhi nilai pH, iaitu paras keasidan badan kita. Sekiranya kita mengambil lebih makanan berasid, badan kita akan menjadi berasid. Lama kelamaan, penyakit akan berlaku. Kita akan jatuh ke dalam perangkap putaran penyakit, sekiranya kita tidak mengubah tabiat makanan kita.

Putaran penyakit: Makanan berasid, tinggi sodium atau terlalu yang dan terlalu yin >>> Pelbagai penyakit>>> Makan ubat moden>>> Keselesaan sementara

Ramai orang suka makan sayuran, telur dan daging bergaram. Jenis makanan ini biasanya diawet dengan garam putih (sodium chloride) atau nitrit, iaitu dua jenis bahan awetan yang mengandungi banyak sodium. Makanan jenis ini adalah berasid. Jika kita selalu mengambil makanan jenis ini, penyakit akan berlaku dalam jangka panjang.

Kalium dan sodium adalah galian yang diperlukan oleh badan kita. Sayur-sayuran dan kacang-kacang adalah tinggi kalium manakala garam putih dan MSG adalah tinggi sodium. Untuk badan mengekalkan kesihatan, paras kalium haruslah dua kali ganda dari paras sodium (Lai 1996).

Eksperimen telah menunjukkan bahawa kuantiti sodium halus yang dimakan mempengaruhi kesihatan. Banyak garam telah dimasukkan ke dalam makanan dan diberikan kepada binatang kumpulan (A), akibatnya ialah peningkatan indeks darah tinggi. Sebaliknya, apabila lebih sayuran (tinggi kalium) diberikan kepada kumpulan binatang (B), indeks tekanan darah menurun. Ini bermakna kuantiti kalium dan sodium yang diambil mempengaruhi tekanan darah kita. Selain itu, banyak mengambil makanan tinggi sodium dan kurang mengambil makanan tinggi kalium juga menghalang penghasilan insulin di dalam badan, dan akibatnya berlakulah kencing manis. Sekiranya kita menerima makanan tinggi kalium, risiko untuk berlakunya kanser juga adalah paling rendah (Lai 1995). Satu kajian di kalangan 20 negara menunjukkan bahawa di kawasan yang penduduknya mengambil banyak makanan tinggi kalium, insiden kanser adalah terendah (Lai 1996).

Makanan yang sihat bermakna penerimaan makanan tinggi kalium dan rendah sodium. Sayur-sayuran dan buah-buahan membekalkan sumber makanan sihat. Pelbagai jenis daging, telur dan barangan tenusu bukanlah sumber kalium terbaik. Sebelum memasak atau menambah pelbagai aditif, nisbah kalium kepada sodium di dalam daging, telur dan barangan tenusu adalah 3–5:1. Apabila garam ditambah, nisbah tersebut menjadi 1: 10, iaitu kuantiti sodium adalah 10 kali lebih dari kalium (Lai 1995). Kacang soya (tauhu) mengandungi banyak kalium, tetapi, apabila ia diproses, galian telah hilang dan yang tinggal ialah protein. Kalium cair di dalam air, oleh itu ia mudah hilang semasa pemprosesan.

Pendek kata, kita harus tahu jenis makanan yang perlu diterima untuk mengelak dan memulihkan penyakit. Terlalu banyak mengambil bahan tinggi sodium akan membawa kepada tekanan darah tinggi. Sodium merupakan galian yang mengawal keseimbangan air di dalam badan kita. Terlalu banyak sodium mengakibatkan kandungan air yang tinggi di dalam badan, dan ini membebankan jantung dan tekanan darah. Sebaliknya, salah satu penyebab utama kencing manis ialah kekurangan penghasilan insulin, makanan tinggi kalium akan menggalakkan penghasilan insulin di dalam badan.

Oleh itu, jika kita ingin hidup sihat, adalah penting untuk memastikan nilai pH darah kita berada di sekitar 7.4. Pada paras inilah semua bahagian badan kita berfungsi dengan baik dan semua toksin dibuang dari badan. Jika makanan harian kita berasid, badan akan menjadi berasid. Akibatnya, organ-organ di dalam badan kita tidak dapat berfungsi dengan baik.

4.12: Bijak Memilih Makanan
Penting bagi kita mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat yang akan meningkatkan perkembangan jasmani dan rohani kita. Buah-buahan dan sayur-sayuran membantu mengurangkan risiko berlakunya penyakit jantung dan kanser (Diamond & Diamond 1985).

Pengambilan makanan yang tinggi kalium dan rendah sodium memastikan kesihatan jangka panjang. Kita tidak perlu menunggu kajian saintifik untuk membuktikan bahawa makanan beralkali menjadikan kita lebih sihat. Anda mungkin mempunyai banyak kemusykilan tentang perubatan makanan. Ini tidaklah menghairankan. Yang penting ialah berikanlah diri satu peluang untuk menerima lebih makanan beralkali dan kurangkan makanan berasid dalam kehidupan harian. Anda akan merasai kesan-kesannya dalam tempoh beberapa hari atau minggu. Anda juga akan memahami sebabnya makin ramai orang kini mengubah tabiat pemakanan bagi menjamin kesihatan jangka panjang. Jika orang lain dapat hidup sihat dengan makanan sihat, sudah tentu anda juga boleh!

No comments:

Post a Comment