“Anda ialah apa yang anda makan”, kata-kata ini membayangkan betapa pentingnya kesan makanan ke atas diri kita. Kini, semakin ramai orang telah menerima hakikat bahawa makanan memainkan peranan yang penting dalam menentukan kesihatan kita.
Sejak tahun 1996, keluarga saya telah mengambil langkah untuk mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil makanan yang sihat untuk mengekalkan kesihatan. Amalan ini berterusan sehingga kini dan kami tidak pernah terfikir untuk kembali kepada tabiat pemakanan lama yang tidak sihat. Bab ini menerangkan proses bagaimana keluarga saya mengubah tabiat pemakanan dan cabaran-cabaran yang dihadapi juga diterangkan.
5.1: Beras Putih Kepada Beras Perang
Perkara pertama yang kami lakukan ialah menukarkan beras putih dengan beras perang untuk makan tengah hari dan makan malam.
Khasiat beras perang lebih banyak dari beras putih. Secara umumnya, beras halus putih telah hilang 26–83% galian yang terdapat dari beras perang (Erasmus 1993).
Beras Putih: Kurang serat; Kekal lebih lama dalam usus; Memudahkan pertumbuhan kuman tidak baik; Melemahkan fungsi hati; Menghasilkan toksin; Meningkatkan peluang kanser kolon.
Beras Perang: Banyak serat; Senang dicerna; kurangkan kolesterol; Memudahkan pertumbuhan kuman baik; Meningkatkan daya ketahanan badan; Membantu mengurangkan berat badan; Mengelakkan kanser perut; Mengawal kencing manis
Beras perang kaya dengan kanji, galian dan vitamin. Protein yang terdapat di dalam beras ini boleh mengurangkan kadar kolesterol di dalam darah dan membantu mengelakkan penyakit kardiovaskular. Vitamin B1, B2 dan E di dalam beras perang dapat melambatkan proses penuaan. Beras ini boleh mewujudkan satu alam sekitar yang baik untuk pertumbuhan kuman yang baik, melancarkan sistem pencernaan dan meningkatkan daya sistem ketahanan tubuh. Beras perang juga dapat membantu dalam mengurangkan berat badan, mengawal kencing manis dan mengelakkan kanser perut. Beras perang juga baik untuk hati kita kerana ia mengumpul dan membuangkan toksin dalam badan. Beras perang yang direndam di dalam air selama beberapa jam akan menjadi lembut dan mudah untuk dimakan.
5.2: Protein Haiwan Kepada Protein Tumbuhan
Protein memainkan peranan yang penting untuk mengekalkan kesihatan kerana ia membina sel, melindungi sistem badan dan menguatkan sistem ketahanan badan. Protein boleh dikategorikan kepada dua jenis: protein menyeluruh dan protein yang tidak menyeluruh. Pelbagai jenis kacang dan protein di dalam binatang tergolong dalam kategori protein menyeluruh.
Kebanyakan orang suka makan daging, telur dan barangan tenusu untuk mendapat protein menyeluruh.
Persoalannya, pada zaman sains dan teknologi ini, adakah protein dari binatang baik untuk badan kita untuk jangka panjang?
Pada tahun 1996, keluarga saya telah membuat keputusan untuk tidak mengambil makanan dari kebanyakan daging yang dianggap berasid. Dari segi kandungan lemak pula, daging merupakan sumber protein yang mengandungi banyak asid lemak tepu dan kolesterol (Valsta et al. 2005).
Kami mendapati bahawa makanan dari daging binatang seperti ayam, lembu dan khinzir sebenarnya menjejaskan kesihatan. Pada zaman moden ini, makanan untuk binatang ternakan telah dicampur dengan pelbagai antibiotik dan ubat untuk mengelakkan penyakit. Bagi meningkatkan hasil daging dan susu lembu, hormon pertumbuhan diberikan kepada lembu ternakan. Pemakanan yang berasaskan daging juga merupakan penyebab utama kepada penyakit seperti sakit jantung, strok, darah tinggi, kanser, hypoglucemia dan pelbagai penyakit kronik (Kushi & Jack 2003).
Pada tahun 1998, kami juga tidak mengambil makanan yang berasaskan ikan. Alam sekitar kita, termasuk lautan, kini sudah tercemar. Penternakan ikan pula melibatkan penggunaan ubat, antibiotik dan hormon. Teknologi kini juga dapat menyimpan hasil tangkapan ikan untuk satu tempoh jangka masa yang lebih lama.
Pada tahun 2000, kami tidak lagi mengambil makanan yang berasaskan telur. Telur ialah sumber vitamin (Vitamin A, B2, B12), asid folik, dan galian (besi, zink dan fosfat), tetapi, telur mengandungi terlalu banyak kolesterol, yang boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular (Chia 2004). Bahagian kuning di dalam telur mengandungi banyak sodium dan kolesterol yang boleh membahayakan kesihatan kita.
Persoalannya, jika kita mengurang atau mengelakkan pengambilan protein dari binatang, di manakah kita boleh mendapat protein yang mencukupi untuk badan kita? Mungkin anda tidak menyedari bahawa sumber protein yang terbaik adalah dari sayur-sayuran yang berwarna-warni.
Jika kita mengambil sayur-sayuran mentah setiap hari, badan kita telah menerima protein yang diperlukan oleh badan kerana protein ini tidak akan hilang semasa memasak. Protein dari sayur-sayur segar ini dapat meningkatkan daya ingatan, tenaga dan daya persaingan kita (Lai 1995). Sumber tumbuh-tumbuhan lain yang mengandungi protein dan juga rendah lemak adalah seperti kekacang dan bijirin. Kekacang mengandungi tiga khasiat utama: protein, lemak tak tepu dan karbohidrat. Anda boleh mengetahui protein yang terdapat di dalam tumbuh-tumbuhan seperti yang disenaraikan di dalam Jadual 5.2. Pada masa yang sama, adalah baik bagi kita mengambil perhatian terhadap kenyataan American Heart Association (dipetik dalam Kushi & Jack 2003).
Anda tidak perlu mengambil produk berasaskan binatang untuk mendapat protein yang secukupnya di dalam makanan anda. Protein dari tumbuhan sahaja juga dapat membekalkan asid amino essential dan non-essential dengan secukupnya, sekiranya protein adalah pelbagai dan pengambilan kalori adalah tinggi untuk memenuhi keperluan tenaga. Bijirin tulen, legum, sayur-sayuran, dan kekeras mengandungi kedua-dua asid amino essential dan non-essential amin. Protein dari kacang soya juga terbukti mengandungi protein yang sama dengan protein dari binatang. Ia juga boleh menjadikan sumber protein tunggal.
5.3: Tinggalkan Susu dan Barangan Tenusu
Anak perempuan kami, Shin Jing, telah diberi produk serbuk susu selepas ia dilahirkan pada tahun 1995. Seperti kebanyakan orang, kami percaya bahawa bayi dan kanak-kanak memerlukan susu untuk membesar. Sejak Perang Dunia Kedua (1941–1945), keadaan sosio-ekonomi orang Asia telah bertambah maju. Kalau pada masa dulu, disebabkan kemiskinan, bayi membesar dengan susu ibu. Kini, ramai kaum ibu memberi susu lembu kepada bayi mereka selepas beberapa bulan dilahirkan.
Sejak keluarga kami mengambil makanan sihat, kami lebih mengetahui tentang kesan-kesan negatif yang disebabkan oleh susu dan barangan tenusu. Oleh yang demikian, pada tahun 2001, apabila anak bongsu kami Jit San dilahirkan, kami menggantikan susu dari binatang dengan susu hasil dari tumbuhan yang dibeli di kedai organik. Susu dari tumbuh-tumbuhan ini telah dapat mengekalkan kesihatan anak ini.
Apakah yang tidak kena dengan susu binatang dan produknya? Hakikatnya, susu lembu yang dihasilkan kini tidak sihat dan ia merupakan salah satu produk yang kontroversi. Dalam ilmu khasiat moden, susu lembu mengandungi kalsium yang tinggi tetapi, dari segi kandungan galian, susu lembu kurang iodin, zat besi, fosfat dan magnesium. Protein di dalam susu ini terdiri daripada kasein yang besar, keras, pekat dan sukar dihadam. Kasein dan lemak dalam susu binatang menyaluti makanan yang kita ambil. Penghadaman makanan hanya berlaku selepas kasein dan lemak dihadam terlebih dahulu (Jiang 1999). Keadaan ini membebankan perut kita untuk menghadam makanan.
Kasein adalah keras dan melekit. Oleh itu, apabila melekat kepada dinding organ-organ di dalam badan, organ menjadi lemah. Kesan keseluruhannya ialah masalah penghadaman, kembung perut, cirit-birit, sukar membuang air besar, muntah, bronkitis, lelah dan hidung tersumbat. Masalah-masalah kolon di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak dengan radang hidung dan telinga berkait rapat dengan pengambilan susu lembu dan barangan tenusu yang berkaitan (Jiang 1999).
Dalam jangka panjang, seandainya makanan tersimpan lebih lama di dalam perut, dan jika asid gastrik yang dihasilkan tidak mencukupi, organisme yang lain seperti Helicobacter polori akan wujud dan bertambah banyak. Akibatnya, ia boleh membawa kepada sakit dalam perut.
Di samping itu, pelbagai jenis barangan tenusu juga membawa kesan-kesan negatif selepas pemprosesan. Dalam proses pemanasan dan pempasteuran, walaupun kebanyakan kuman dibunuh, proses-proses ini juga mengubah atau merosakkan struktur enzim, vitamin, protein dan lemak. Pada masa yang sama, ubat serangga, aditif, hormon dan antibiotik berkekalan di dalam barangan makanan ini. Hormon tertentu (contohnya rbGH, rbST or BST) disuntik kepada lembu untuk meningkatkan penghasilan susu.
Sekiranya susu lembu tidak sihat, apakah yang sesuai digantikan untuk kanak-kanak yang sedang membesar? Antara pengganti susu lembu yang terbaik ialah jus karot, susu bijirin dan jus buah-buahan (Lai 1993). Susu dari tumbuh-tumbuhan kini mudah didapati dari kedai organik.
5.4: Tinggalkan MakananTinggi Kolesterol
Apabila keluarga saya tidak mengambil makanan protein dari binatang, telur, susu dan barangan tenusu, kami juga menjauhi diri daripada makanan yang berlemak dan tinggi kolesterol. Daging terkenal sebagai salah satu jenis makanan berlemak yang mengandungi asid lemak dan kolesterol yang boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular dan obesiti.
Lemak boleh didapati dari dua sumber: binatang dan tumbuhan. Lemak binatang, atau asid lemak tepu (SaFAs), ialah sumber utama kolesterol. Makanan ini membekalkan khasiat tetapi juga banyak mengandungi lemak. Semua jenis lemak binatang terdiri daripada asid lemak tepu yang banyak. Ini termasuklah daging lembu, daging kambing, daging khinzir dan barangan tenusu. Lebih kurang 95% daripada lemak dan minyak yang anda makan ialah campuran triglycerides. Apabila gula ditukarkan kepada asid lemak tepu, asid-asid ini juga mempunyai triglycerides. Bahagian kuning di dalam telur, lemak binatang dan minyak makanan dari bijirin banyak mengandungi triglycerides (Erasmus 1993).
Apabila anda mengambil jenis makanan berlemak, perut anda berasa kenyang untuk beberapa ketika. Ini disebabkan lemak sukar dihadam di dalam perut. SaFAs boleh berkumpul di dalam sel, organ dan arteri bersama-sama dengan protein, galian dan kolesterol. Akibatnya, masalah sukar membuang air besar berlaku. Apabila kotoran yang sepatutnya dikeluarkan daripada badan tetapi ia bertambah di dalam badan, ia akan menyebabkan penyakit pada masa depan.
Kolesterol yang berlebihan akan disimpan di dalam darah, bertambah di dalam lemak, hati, sistem badan yang membawa kepada pengerasan saluran darah dan menghalang pengaliran darah. Sekiranya kita mengambil banyak makanan berlemak, masalah hati berlemak boleh berlaku. Apabila banyak lemak dimakan, lemak ini boleh terus diangkut ke hati dan merosakkan hati. Ini boleh mengakibatkan hati berasid dan menjadi keras.
Kolesterol ialah sejenis khasiat yang diperlukan oleh badan. Kolesterol pada asasnya bukanlah tidak baik, tetapi, apa yang membimbangkan ialah makanan yang mengandungi terlalu banyak kolesterol, terutama kolesterol LDL yang ‘tidak baik’. Ia boleh terkumpul di dalam saluran darah dan menjadi satu ‘bom’ yang boleh meletup pada bila-bila masa. Pegumpulannya di dalam badan mengambil masa bertahun-tahun sebelum masalah kesihatan timbul.
Makanan yang tinggi kolesterol termasuklah telur, makanan laut (ikan dan kerang-kerangan), daging merah, dan barangan tenusu penuh lemak. Satu biji telur, ¼ paun (111 gm) hati atau ¼ paun mentega mengandungi lebih kurang 250 mg kolesterol (Erasmus 1993).
Oleh itu, walaupun telur kaya dengan sumber protein, kandungan kolesterol dalam telur adalah terlalu tinggi dan telur juga mengandungi hormon yang sukar dihadam.
Mendapan kolesterol, khasnya di dalam saluran darah, akan melambatkan proses pengaliran darah. Oleh itu, makanan rendah serat meningkatkan paras kolesterol di dalam darah. Kolesterol juga membuat platelet menjadi pekat dan meningkatkan risiko pembekuan darah. Semua ini mungkin membawa kepada sumbatan arteri dan kemudiannya berlakunya strok, sakit jantung, buta, dan pekak (Erasmus 1993).
Dalam sejarah penyelidikan perubatan, didapati hubungan antara paras kolesterol, pemakanan berasaskan lemak tepu dan penyakit jantung adalah cukup rapat. Sumber utama lemak tepu ini pula adalah dari produk binatang termasuklah daging lembu, daging khinzir, ayam, keju, mentega, susu, telur dan aiskrim (Robbins 2001).
5.5: Perbanyak Pengambilan Sayur-Sayuran dan Buah-Buahan
Dari segi tradisi, makanan berprotein ditumpukan pada sama ada ia menyeluruh atau tidak – mengandungi semua asid amino yang diperlukan. Oleh itu, protein dari binatang diberi tumpuan khas. Persepsi sebegini sudah pun berubah dan protein dari tumbuh-tumbuhan didapati mempunyai banyak kelebihan dari segi pemulihan penyakit, kurang mengandungi toksin, hormon dan racun serangga (Erasmus 1993).
Pengambilan makanan berasaskan tumbuhan ini mempunyai kesan pencegahan. Jenis makanan ini adalah antioksidan dan didapati boleh mencegah penyakit jantung. Sayur-sayuran membantu sistem tubuh menghapuskan unsur-unsur asid dan kelebihan zat lemak dalam saluran darah serta membantu mengeluarkan berbagai kotoran dan racun-racun dari tisu-tisu tubuh (Luqman 2008). Selain itu, asid folik yang terdapat di dalam sayur-sayuran hijau dapat mengurangkan paras homosistein dan juga boleh mencegah penyakit jantung. Kajian telah menunjukkan bahawa makanan Mediterranean dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, kadar kanser dan kadar kematian (Bilenko et al. 2005, Panagiotakos, et al. 2005).
Kami mengakui bahawa pengambilan makanan yang berasaskan sayur-sayuran semasa makan tengah hari dan makan malam memang sukar pada peringkat awal. Anda mungkin berasa amalan ini hampir mustahil kerana sudah biasa dengan ayam, daging, ikan atau udang. Begitu juga keluarga saya.
Kini, telah terdapat maklumat tentang kaitan antara makanan dan penyakit. Apabila kita mengambil lebih makanan berprotein, badan kita menjadi berasid dan penyakit akan berlaku secara perlahan-lahan. Untuk mengurangkan keasidan ini, cara yang paling baik ialah mengambil lebih sayur-sayuran segar dan buah-buahan, khususnya yang ditanam secara organik. Sayuran dan buah-buahan ialah makanan seimbang, kaya dengan vitamin B, kalsium, serat dan enzim.
Vitamin dan enzim ialah pemangkin yang penting dalam penghadaman dan penyerapan makanan. Enzim akan hilang semasa memasak kerana kepanasan merosakkan enzim. Bayam dan kobis hanya mengekalkan 1/40 daripada nilai makanan asal selepas dimasak (Lai 1993). Enzim membantu dalam penghadaman protein dan lemak dan ia juga berfungsi sebagai agen pembersih dalaman. Mereka yang mempunyai masalah kulit, jerawat dan kencing manis akan mengetahui kebaikan apabila mengambil lebih sayur-sayuran. Sayur-sayuran dan buah-buahan juga menyebabkan awet muda. Sebagai antioksidan, ia meningkatkan sistem ketahanan badan, menjauhi penyakit dan memulihkan sel-sel kanser.
Mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang masih segar adalah penting kerana vitamin C masih dikekalkan.
Sejak tahun 1996, keluarga saya mula menanam beberapa jenis sayur seperti pudina (Menta arvensis), selasih (Ocimum sp.), timun, kacang panjang, daun kari (Murray koenigii) dan kailan di halaman belakang rumah dan juga di dalam pasu bunga. Kini, kami tidak perlu lagi menanam sayur-sayuran kerana sayur-sayuran organik banyak terdapat di kedai-kedai organik dan juga di pasar raya di negara kita.
Antara sayur-sayuran yang dimakan oleh keluarga saya disenaraikan di dalam Jadual 5.3. Kami banyak mengambil buah-buahan tempatan (pisang, nanas, betik, belimbing, rambutan, jambu, durian, nangka, kelapa, mangga, manggis, duku) dan yang diimport (epal, oren, pear).
Ketika menjalankan kerja luar, saya juga membeli petai dari Orang Asli. Petai banyak tumbuh di dalam hutan asli yang tidak menggunakan baja kimia, racun serangga dan racun rumput-rumpai. Kami menyedari bahawa sayur-sayuran dan buah-buahan mengandungi khasiat dan sumber terbaik untuk vitamin, galian dan enzim. Jus buah-buahan mengandungi enzim, vitamin C dan A, asid (sitrik, tartarik dan malik) dan klorofil (Chia 2004). Ia senang dihadam dan memberi kesan pembersihan yang baik kepada darah dan sistem penghadaman (Bakhru 2001).
Umumnya, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang maksimum adalah baik untuk kesihatan. Walau bagaimanapun, terlalu banyak mengambil makanan ini juga boleh membawa kesan yang tidak diingini, khususnya kepada pengamal makanan vegetarian untuk satu jangka masa. Pada tahun 2001, saya terpaksa memakai pakaian tahan sejuk walaupun cuaca panas selama lima bulan kerana terlalu banyak mengambil buah-buahan. Tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah ini ialah dengan mengurangkan pengambilan buah-buahan. Selepas tiga bulan, kesan kesejukan hilang.
Selain itu, kita perlu berhati-hati dalam pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Dari masa ke masa dilaporkan terdapat petani yang menggunakan racun serangga yang terlalu banyak dalam proses penanaman. Dalam jangka masa panjang, jenis makanan ini boleh membawa kepada penyakit hati, kerosakan saraf, kecacatan bayi dan kanser. Persatuan Pengguna Pulau Pinang Malaysia mendapati 5 daripada 10 timun, terung, bendi, cili dan sayuran berdaun (kailan, sawi dan bayam) mengandungi racun serangga yang boleh membahayakan kesihatan. Sesetengah petani yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan racun serangga yang digunakan untuk kelapa sawit dalam tanaman sayur-sayuran untuk memastikan hasil tanaman segar, hijau, cantik dan bersinar (New Straits Times, 2 May 2007).
Tauge or tau mio(Pisum sativum): Enzim membantu dalam proses penghadaman; vitamin C memperkuat sistem ketahanan; asid amino penting untuk pertumbuhan sel; molybdenum membantu menyingkirkan pengawet sulfit di dalam badan.
Timun: Serat boleh mengawal paras kolesterol & memudahkan pembuangan air besar; kalium memudahkan pergerakan otot & mengawal tekanan darah; mangan membantu penghadaman & penyerapan khasiat.
Karot: Antioksidan vitamin A mengekalkan kesihatan kulit, paru-paru & usus, pertumbuhan sel; karotina menyihatkan mata; phytonutrient falcarinol memberi perlindungan dari kanser kolon; beta-karotina boleh ditukarkan kepada retimoic acid, yang merawat kanser.
Peria: Serat mengurangkan paras kolesterol, risiko penyakit jantung & kencing manis; tinggi vitamin A & C; vitamin E untuk awet muda dan membantu di dalam sistem pernafasan; vitamin K mengawal kalsium di dalam darah & pembekuan darah; kalium, magnesium & serat untuk mengawal tekanan darah.
Bayam: Tinggi dengan zat besi dan kalsium yang memberi kekuatan; vitamin K mengekalkan kesihatan tulang; vitamin A & C membantu dalam pembuangan kotoran dalam badan.
Labu: Vitamin A; Tinggi dalam karotenoid yang baik untuk penglihatan, melindungi dari buta mata dan mempunyai fungsi antikanser; kalium mengawal tekanan darah
5.6: Tekanan Sosial
Pada awal permulaan mengamalkan diet vegetarian, keluarga kami menghadapi pelbagai cabaran sosial. Pada tahun 1990-an, amalan makanan vegetarian sering dikaitkan dengan amalan agama. Kami pula mengamalkan vegetarian untuk kesihatan. Oleh itu, adalah sukar bagi ibu bapa, adik-beradik dan saudara mara saya untuk menerima hakikat bahawa kami tidak lagi mengambil sebarang jenis daging. Bagi mereka, daging merupakan sumber protein yang tidak boleh ditinggalkan.
Apabila keluarga saya balik ke Kemaman, Terengganu, untuk meraikan Tahun Baru Cina, ibu-bapa saya berpendapat bahawa anak-anak kami terlalu kurus dan mereka perlu mengambil daging untuk menambah berat badan. Tekanan sosial telah timbul. Pada awalnya, isteri saya terpaksa mengambil sedikit daging ayam untuk memenuhi hasrat orang tua. Isteri saya tidak mahu hubungan dengan ibu bapa saya tegang. Ia mengambil masa beberapa tahun untuk ibu bapa saya menerima hakikat bahawa kami memang tidak makan daging dan berhasrat mengekalkan amalan ini.
Kini, mereka boleh menerima hakikat dan tidak lagi menggalakkan kami mengambil daging. Mereka juga melihat bahawa ahli keluarga saya dapat mengekalkan kesihatan walaupun tidak mengambil makanan yang berasaskan daging, telur dan barangan tenusu. Anak-anak saya dapat membesar dengan normal dan mereka tidak perlu mengambil ubat-ubatan dalam kehidupan seharian.
Ada di antara saudara-mara dan rakan-rakan yang kurang senang apabila mengetahui saya tidak lagi mengambil daging. Pada mereka, badan saya terlalu kurus. Bagi mengekalkan hubungan sosial, saya tidak banyak memberi penerangan kecuali apabila ditanya. Pada saya, menjadi seorang vegetarian ialah isu peribadi. Kita semua perlu menghormati antara satu sama lain terutama amalan tabiat pemakanan.
Kini, ramai di kalangan rakan-rakan saya dapat menerima amalan pemakanan saya. Ketika saya terlibat dalam penilaian pensijilan hutan di Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Terengganu dan Sarawak, Jabatan Perhutanan telah menyediakan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk saya ketika waktu makan walaupun saya tidak membuat apa-apa permintaan.
5.7: Kurangkan Gula
Pada tahun 1996, keluarga saya telah menggantikan gula putih dengan gula perang, madu dan molases dalam penyediaan makanan. Gula putih yang halus dianggap gula yang tidak sihat. Gula halus boleh mengakibatkan kerosakan gigi, kurang keyakinan, hilang “mood”, syak wasangka dan kegagalan saraf (Lai 1993). Gula putih digunakan dalam pembuatan minuman ringan, aiskrim, coklat, gula-gula, biskut dan kek. Jika kita terlalu banyak mengambil makanan ini, berkemungkinan besar kita akan menghadapi masalah obesiti dan kencing manis semasa muda lagi. Kajian mendapati kandungan gula yang berlebihan boleh membawa masalah obesiti, batu ginjal, osteoporosis dan penyakit jantung (Robbins 2001). Kita perlu mengawal dalam pengambilan makanan jenis ini.
Umumnya, masyarakat Malaysia suka kepada makanan dan minuman yang manis. Menurut SM Mohamed Idris dari Persatuan Pengguna Pulau Pinang, gula yang kurang khasiat dikaitkan dengan lebih dari 60 penyakit seperti kanser, kencing manis, obesiti, penyakit jantung, osteoporosis, penyakit buah pinggang dan lelah (Yeoh & Hamdan 2009).
Apabila kita terlalu banyak mengambil gula halus, ia akan bertambah di dalam badan yang boleh mengakibatkan keasidan. Sistem badan terpaksa mengeluarkan kalsium daripada tulang untuk mengurangkan nilai keasidan pH, untuk menjadikannya kurang berasid. Sekiranya badan kita tidak mengandungi kalsium yang mencukupi, masalah tulang akan timbul dan bagi kanak-kanak, pembesaran mungkin terbantut. Salah satu masalah tulang ialah osteoporosis yang merupakan penyakit yang berlaku apabila tisu tulang menjadi nipis, kurang padat, ringan, rapuh dan mudah patah.
Pada masa yang sama, gula yang berlebihan akan menjadi lemak di dalam badan dan ia mengganggu penerimaan vitamin, galian dan khasiat yang lain. Apabila badan kita kekurangan vitamin, galian dan kalsium, kita menjadi kurang sabar dan cepat marah. Jika kita terus mengamal pengambilan gula yang berlebihan, masalah-masalah kesihatan seperti sakit gigi, kerosakan gigi, masalah sakit jantung dan kencing manis jenis kedua akan timbul. Ini boleh membawa kepada masalah-masalah yang lain seperti masalah ginjal, mata dan melambatkan penyembuhan luka.
Makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi juga boleh membawa masalah kardiovaskular. Ini disebabkan badan kita boleh mengubah gula yang berlebihan kepada asid lemak tepu. Jenis-jenis gula, termasuk gula halus dan sirap, adalah seperti (a) simple sugars: glukosa (dekstrosa), fruktosa (atau levulosa) dan galaktosa; (b) double sugars: sukrosa, maltosa (di dalam bir) dan laktosa (di dalam susu); (c) dekstrin dan dekstran, dan (d) sirap dari tebu, sorghum dan mapel. Produk yang mengandungi banyak gula tersembunyi termasuk minuman ringan, kek, biskut, kuih-muih, roti, makanan dalam tin, aiskrim, jem, jeli dan makanan manis (Erasmus 1993). Munurut Profesor Madya Dr Sharifah Kharidah Syed Muhammad, pensyarah di Jabatan Sains Makanan, Universiti Putra Malaysia, gula di dalam minuman ialah karbohidrat simple. Karbohidrat simple ini boleh diserap dengan cepat ke dalam darah dan meningkatkan paras gula di dalam darah (New Straits Times, 2 May 2007).
Pada tahun 2007, kami mendapati gula perang, madu dan molasses dianggap sebagai makanan yang tidak sihat dalam diet makrobiotik yang merupakan makanan yin. Oleh itu, mereka yang mengamalkan diet makrobiotik telah menggantikan jenis gula tersebut kepada gula dari beras (rice malt) atau barli (barley malt). Sebagai langkah-langkah tambahan untuk mengekalkan kesihatan pada tahun 2007, keluarga saya mengurangkan pengambilan gula perang.
5.8: Garam Buatan Kimia Kepada Garam Laut Semula Jadi
Kami juga menggantikan penggunaan garam halus kepada garam laut dalam penyediaan makanan seharian. Walaupun, garam biasa adalah lebih murah, kami memilih garam laut semula jadi demi mengekalkan kesihatan.
Jika badan mengandungi garam yang berlebihan, ginjal kita terpaksa bekerja keras untuk mengikisnya. Beban ini boleh membawa masalah ginjal dan seterusnya masalah-masalah lain seperti darah tinggi, kesukaran untuk tidur lena (insomnia) dan penyakit jantung.
Kita perlu mengambil sedikit garam di dalam makanan seharian. Jika makanan kita sudah mengandungi sedikit garam, kita tidak perlu menambah garam ke dalamnya. Ayam goreng, burger, ubi kentang goreng dan makanan segera mengandungi terlalu banyak garam untuk menjadikannya sedap dimakan.
Mengapakan garam putih dan garam halus boleh merosakkan kesihatan? Jenis garam ini biasanya diproses dari kolam garam kering atau kolam garam yang lama, bukannya dari air laut. Ia diproses di bawah suhu tinggi dan diputihkan dengan bahan kimia. Bahan kimia lain ditambah untuk memekatkannya dan menjadi garam halus. Dalam proses ini, magnesium telah hilang dan galian juga rosak dan apa yang tinggal ialah 99% sodium klorida yang berkemungkinan mengandungi kotoran tertentu. Selain itu, pengilang mungkin mencampurkan dengan bahan kimia yang lain sebelum memasarkan garam halus itu.
Masyarakat Malaysia cenderong mengambil makanan yang mengandungi garam dan lemak yang berlebihan seperti ikan masin dan sambal berminyak. Tabiat pemakanan ini boleh membawa kepada penyakit obesiti dan darah tinggi (New Sunday Times, 17 Ogos, 2008)
Sebenarnya badan kita cuma memerlukan sedikit garam di dalam makanan harian. Kandungan garam yang banyak di dalam badan membawa kepada masalah darah tinggi dan penyakit-penyakit lain. Penduduk di kawasan pedalaman Papua New Guinea tidak menambah garam ke dalam makanan mereka. Oleh itu, mereka tidak menghadapi masalah darah tinggi. Sebaliknya, di kawasan timur Kanada yang penduduknya suka mengambil ikan masin, ramai yang menghadapi masalah darah tinggi (Carroll 2000).
Jika kita ingin menambah sedikit garam di dalam makanan, sumber yang paling baik ialah garam laut semula jadi. Jenis garam ini dikumpul secara semula jadi dan pemprosesanya tidak menggunakan bahan kimia. Oleh itu, garam laut semula jadi banyak mengandungi sodium, kalium, magnesium, iodin, fosforus dan zink. Brittany, sebuah kampung di negara Peranchis terkenal dengan penghasilan garam laut semula jadi.
Keluarga saya juga mengelak mengambil makanan yang tinggi kandungan garam seperti ikan masin, telur masin dan sayur masin. Makanan ini mengandungi terlalu banyak garam putih, aditif dan bahan awetan yang boleh menjejaskan kesihatan. Antara penyakit yang berkaitan ialah kulit menjadi kering, masalah penglihatan, rambut menjadi putih, sakit ginjal dan badan, haus, kurus, suka makan, kurang tidur dan kurang tenaga (Kushi and Jack 2003).
5.9: MSG kepada Miso
Salah satu langkah lagi ke arah mengekalkan kesihatan keluarga kami ialah tidak mengambil makanan yang mengandungi Monosodium glutamat (MSG) atau lebih dikenali sebagai ‘Ajinomoto’. MSG biasanya ditambah kepada makanan supaya makanan bertambah sedap. Makanan yang dijual di kedai banyak menggunakan MSG untuk menarik perhatian pelanggan. Masalah yang timbul jika mengambil makanan yang mengandungi MSG berlebihan ialah kita mungkin menghadapi masalah sakit dan pening kepala, ketegangan otot, loya dan tidak bersemangat.
Kebaikan miso: Difermentasikan dari kacang soya, barli, gandum dan beras perang; Kaya dengan protein; Kaya denganVitamin B12; Kaya dengan enzim; Enzim membantu dalam mengikis kompaun radioaktif di dalam badan
Keluarga saya menggantikan MSG dengan miso semasa menyediakan sayur-sayuran dan sup. Miso diperbuat daripada beras perang, kacang soya, barli dan gandum. Ia mengandungi enzim, oleh itu tidak digunakan semasa memasak. Biasanya, miso dicampur dengan air suam dan ditambah kepada makanan yang telah dimasak. Apakah kelebihan miso? Ia mengandungi vitamin B12 yang tinggi, sumber penting kepada mereka yang mengamalkan makanan vegetarian. Kuman-kuman yang baik di dalam badan kita memerlukan vitamin B12 untuk berfungsi dengan baik. Penghasilan miso melibatkan proses fermentasi tanpa pempasteuran selama tiga tahun. Ciri-ciri makanan sihat ini disenaraikan di dalam Jadual 5.4. Jika membeli miso, kita perlu perhatikan kerana sesetengah miso mengandungi bahan alkohol yang tidak sesuai untuk orang tertentu, termasuk orang Islam.
5.10: Sos Buatan Kimia Kepada Sos Semula Jadi
Sos soya selalu digunakan dalam penyediaan makanan. Ia boleh dianggap sebagai bahan perisa magik yang menyedapkan rasa makanan. Terdapat dua cara dalam proses pembuatan sos soya, iaitu cara teknologi tinggi dan cara tradisional (Lim 2003).
Sos yang dihasilkan dengan teknologi tinggi dapat disiapkan dalam masa sehari dengan menggunakan bahan-bahan seperti protein sayuran hidrolisis (-HVP), alkohol, gula halus, garam halus, dan pewarna. Dalam proses pembuatan, lemak di dalam protein tumbuhan dibuang pada peringkat permulaan dan kemudian dicampur dengan bahan-bahan kimia lain untuk dijadikan sos. Pemprosesan ini melibatkan kos rendah dan memberi keuntungan yang banyak. Masalahnya ialah ia mungkin mengeluarkan produk karsinogen yang dikenali sebagai 3-MCPD, iaitu satu kumpulan pencemar kimia (kloroproparol). Di sesetengah negara, kadang-kala pekilang menggunakan sos soya yang melebihi paras 0.5mg/kg 3-MCPD yang ditetapkan untuk penggunaan pengguna. Pada tahun 2002, kerajaan Inggeris telah melarang import 33 jenis sos soya kerana paras 3-MCPD melebihi garis panduan yang ditetapkan. Sos-sos ini banyak dihasilkan di negeri China, Taiwan dan Vietnam.
Sebaliknya, pembuatan sos secara tradisional mengambil masa lebih dari satu tahun untuk menghasilkan sos secara semula jadi. Gandum musim sejuk dikeringkan dan dihancurkan sebelum dicampurkan dengan kacang soya (satu sumber protein menyeluruh). Kuman fermentasi dimasukkan dan dibiarkan di tempat basah selama satu hingga dua hari untuk proses fermentasi. Garam laut dan air bersih kemudiannya dicampur dan dimasukkan ke dalam tong kayu untuk fermentasi selanjutnya yang mengambil masa 8 hingga 10 bulan. Dalam proses ini, protein dan karbohidrat ditukarkan kepada glukosa, enzim dan asid berlemak. Apabila proses fermentasi sudah lengkap, sos ditapis untuk mengasingkan asid berlemak. Sos ini dimasukkan di dalam botol untuk dipasarkan kepada para pengguna.
5.11: Elakkan Pengambilan Makanan dan Minuman Ringan yang Mengandungi Bahan Kimia
Mengelakkan bahan-bahan kimia dalam makanan merupakan satu cabaran. Sebelum tahun 1996, keluarga kami menyimpan makanan di dalam tin di dapur untuk dimakan dari masa ke masa. Apabila kami mengetahui kesan-kesan negatif yang berhubung kait dengan makanan di dalam tin, kami mengelak mengambil makanan tersebut.
Kesan-kesan bahan kimia di dalam makanan harus diambil perhatian. Dianggarkan terdapat 3,000 aditif dan bahan awetan digunakan dalam pemprosesan makanan. Pelbagai makanan telah dicampur dengan pewarna untuk menjadikan mereka kelihatan ‘cantik’, ‘semula jadi’ dan ‘segar’ walaupun disimpan untuk satu jangka masa waktu.
Aditif Terpilih: Acacia gum; Alginic acid; Aluminium; Pewarna tiruan; Benzaldehid; Asid benzoic; Brominated vegetable oil; Protein sayuran hidrolisis; Bromat kalium
Bahan awetan terpilih: Sulfur dioksida & sulfit; Nitrat; Benzoates
Gula-gula, krim kopi, pengganti gula, makanan manisan banyak mengandungi bahan-bahan bukan semula jadi (CAP, tarikh tidak dicetak). Minuman ringan ialah air berkarbonat manis yang dicampur dengan perisa. Kebanyakan orang tidak mengetahui bahawa minuman ringan adalah berasid. Terdapat minuman ringan yang mengandungi asid fosforik. Ada juga minuman ringan yang mengandungi ekstrak tumbuhan seperti sarsaparila. Minuman ringan ini mungkin mengandungi kafein (Chia 2004). Pengambilan makanan dan minuman ini boleh memberi kesan negatif dan membawa penyakit dalam jangka masa panjang.
5.12: Guna Sedikit Minyak
Sejak tahun 1996, kami menggunakan sedikit minyak ketika memasak. Kami menggantikan minyak masak biasa dengan minyak Carotino (kandungannya antikanser) dan minyak zaitun (olive oil) ketika memasak dan penyediaan ulam-ulaman. Minyak Carotino diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan, bebas kolesterol, pewarna dan bahan awetan. Ia mungkin bukan minyak terbaik dan kami hanya menggunakan sedikit dalam masakan. Minyak zaitun ialah salah satu komponen penting di dalam diet Mediterranean, ia didapati dapat mengurangkan paras kolesterol LDL dan meningkatkan paras kolesterol HDL, dengan kesan perlindungan terhadap penyakit kardiovaskular (Bilenko et al. 2005).
Minyak diperbuat daripada dua sumber. Sumber pertama ialah minyak daripada tumbuhan yang diproses seperti minyak sayuran, minyak bijirin dan minyak susu tumbuhan. Sumber kedua ialah minyak daripada lemak binatang. Kedua-dua jenis minyak di atas adalah sukar dihadam. Dalam pemprosesan minyak pula, bahan awet, bahan peluntur kimia, bahan antioksidan dan penstabil ditambah. Dalam jangka masa panjang, makanan yang mengandungi minyak ini mengurangkan keberkesanan fungsi organ-organ badan kita.
Di samping itu, minyak halus atau minyak putih seperti gula putih halus dan tepung putih: kurang berprotein, kurang serat, tiada galian, tiada vitamin dan kurang kalori. Ia boleh menghilangkan vitamin dan galian yang disimpan di dalam badan. Semua ini membawa kepada masalah kesihatan dan kurang upaya dalam jangka panjang (Erasmus 1993). Penyakit jantung, kanser, masalah hati, masalah pundi hempedu, AIDS dan kurang daya ketahanan berkait rapat dengan makanan lebih minyak dan lemak (Kushi & Jack 2003).
Minyak biasa melemahkan fungsi hati kita. Oleh itu, adalah lebih baik untuk mengambil minyak sihat seperti minyak zaitun, bijan, bijirin bunga matahari, hemp, labu, dan walnut dalam penyediaan makanan.
5.13: Minum Air Bersih
Air sangat penting dalam pemakanan seharian kita. Sumber air untuk kegunaan harian, kebanyakannya dari sungai dan tasik. Pengaliran sumber air ini mungkin melalui kawasan pertanian dan kawasan perindustrian yang menyalurkan bahan-bahan kotoran ke dalam sungai dan tasik secara langsung atau tidak langsung. Untuk memastikan kebersihan air adalah selamat diminum, air biasanya dirawat dengan aluminium sulfat (membersihkan air), gas klorin (membunuh kuman), lime (meningkatkan pH kepada 7.0–7.5) dan sodium fluorida (menguatkan gigi) di loji pembersih. Kadang-kala, air paip mungkin berwarna selepas hujan lebat. Apa yang kami lakukan ialah memasang satu penapis air di luar rumah dan satu lagi di dapur untuk memastikan air adalah bersih.
5.14: Makan Untuk Kesihatan
Kini, keluarga saya menyedari bahawa makanan ialah ubat dan juga racun. Ia membawa kepada penyakit dan juga boleh membantu dalam rawatan.
Langkah pertama adalah penting untuk menjaga kesihatan kita. Ia boleh bermula dengan pertukaran daripada beras putih wangi kepada beras perang. Apabila anda menukarkan beras, lakukan dengan perlahan supaya ia boleh diterima oleh ahli-ahli keluarga. Misalnya, anda boleh bermula dengan 95% beras putih dan 5% beras perang pada minggu pertama. Pada minggu berikut, peratusan beras putih dikurangkan manakala peratusan beras perang ditambah. Dalam masa tiga bulan, lidah anda akan biasa dengan rasa beras perang. Langkah pertama juga boleh melibatkan pengurangan kuantiti ayam yang dimakan. Jika anda makan dua ketul ayam setiap kali makan, anda boleh kurangkan kepada satu ketul. Oleh itu, tukar kepada pemakanan sihat dengan cara sendiri yang menyenangkan hati. Tidak perlu memaksa diri untuk melakukan perubahan.
Kami mengamalkan pemakanan sihat di rumah. Apabila menghadiri kenduri, kami mengelakkan pengambilan makanan yang berasid. Semasa makan di luar, terpulanglah kepada individu untuk memilih makanan yang digemari. Dalam hal ini, pilihan saya ialah sayur-sayuran dan buah-buahan. Isteri saya menggemari mi kari dan sup tom yam. Anak-anak kami pula meminati mi sup atau mi goreng campuran sayuran.
Setelah keluarga saya memilih pemakanan sihat dalam kehidupan seharian, proses detoksifikasi toksin dari badan juga berlaku. Dengan itu, bermula satu cabaran baru dan proses detoksifikasi diterangkan dengan lebih lanjut di dalam bab yang berikut.
Friday, September 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment