寻找健康

寻找健康
免费阅读本书的内容, 请看 2011年3月26日部落的整本书. 此书非商业方式出版,不在商业书店售卖。想得到此书的朋友,请联络作者林廷辉博士 drlimhf@gmail.com 012-3615905

Makanan Sihat Sebagai Ubat (2011)

Makanan Sihat Sebagai Ubat (2011)
Ini adalah buku kesihatan saya. Kandungannya telah dimuatkan dalam blog ini pada 10 Sept 2010 sempena Hari Raya Puasa. Buku ini bukan diterbitkan untuk tujuan komersial dan tidak dipasarkan melalui kedai-kedai buku terkenal. Jika anda ingin memperolehi satu naskah, sila hubungi pengarang di drlimhf@gmail.com atau 012-3615905

Eating for Good Health (2010)

Eating for Good Health (2010)
3nd Edition 2010. The contents of this book are in this blog (subheadings in Blog Archive from October 2009 till January 2010) for free reading. This is a non-commercial book and is not available in major commercial book stores. If you wish to own a hard copy, kindly contact the author at: drlimhf@gmail.com or 012-3615905

Friday, September 10, 2010

BAB 2: KANSER BAPA MENTUA

Menjaga kesihatan rakyat Malaysia merupakan salah satu cabaran dalam mewujudkan masyarakat berdaya saing maju, saintifik dan progresif untuk pembangunan negara. Sebaliknya, pada masa kini, kita sering mendengar kawan, saudara-mara atau orang ternama menghidap kanser.

Perkataan ’kanser’ merupakan satu istilah yang menakutkan kepada mereka yang telah dikenal pasti menghidap kanser. Ia membawa kebimbangan dan kerisauan kepada para pesakit kanser dan ahli-ahli keluarga mereka. Ini kerana para pesakit lazimnya tidak dapat hidup lama. Kadang-kala, seseorang pesakit meninggal dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Persoalan yang timbul ialah adakah seorang itu akan mati awal kerana kanser. Adakah perubatan semasa seperti radioterapi dan kemoterapi merupakan jalan terakhir untuk memanjangkan usia seseorang pesakit kanser? Bab ini akan menerangkan kepada anda bagaimana keluarga saya menangani seorang pesakit kanser, iaitu bapa mentua saya, tanpa rawatan radioterapi atau kemoterapi. Bapa mentua saya masih hidup sehingga kini.

Bab 2.1: Mengapa Menghidap Kanser?
Bapa mentua saya merupakan seorang guru sekolah rendah sebelum bersara pada tahun 1990. Keluarganya tinggal di kuarters sekolah di Kg. Baru Padang Rengas, Perak sejak tahun 1957. Beliau memang dikenali sebagai seorang yang murah hati dan menghulurkan bantuan dalam bentuk kebendaan atau sokongan moral kepada mereka yang memerlukan. Beliau banyak memberi sumbangan terhadap pembangunan setempat melalui persatuan sosial dan badan kebajikan yang beliau sertai. Beliau merupakan seorang ahli parti politik Pertubuhan Cina Malaysia (MCA) yang mana menjadi salah satu parti komponen Barisan Nasional.

Sebagai setiausaha dalam Cawangan MCA Padang Rengas, beliau mewakili parti bagi menghadiri pelbagai aktiviti di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan nasional. Beliau membantu dalam menganjurkan pelbagai kegiatan tempatan, dari majlis perkahwinan hingga ke upacara pengebumian. Dengan penglibatan dan sumbangan yang diberikan, beliau telah dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 1984.

Semua agama menekankan setiap kebajikan akan dibalas dengan kebaikan. Manakala perbuatnan jahat akan dibalas dengan keburukan.

Mengapakah seorang yang baik hati boleh menghidap kanser? Ungkapan Cina yang menyatakan bahawa ”Penyakit datang melalui mulut” memang benar dalam kes ini.

Makanan-makanan yang sedap sebenarnya menjejaskan kesihatan bapa mentua saya secara perlahan-lahan. Bapa mentua saya ialah seorang yang suka makan pelbagai jenis daging. Beliau kurang selera sekiranya tidak dihidangkan daging pada makan tengah hari dan malam. Beliau memang suka makan semua makanan berdaging. Sayur-sayuran bukanlah makanan pilihannya. Buah-buahan hanya dimakan apabila dihidang. Orang yang suka mengambil pelbagai jenis makanan berdaging dan kurang makan sayur-sayuran serta buah-buahan memang berisiko tinggi untuk menghidap pelbagai jenis penyakit. Maka tidak hairanlah penyakit kanser telah memilih beliau sebagai mangsanya.

Bab 2.2: Kemerosotan Tahap Kesihatan
Kesihatan bapa mentua saya boleh dikatakan baik semasa beliau bersara daripada perkhidmatan pendidikan pada tahun 1990. Selepas bersara, beliau diupah menjadi seorang kerani di salah sebuah persatuan Cina di Taiping, Perak. Jawatan ini memerlukan beliau menghadiri pelbagai kegiatan yang dianjurkan oleh persatuannya atau mana-mana persatuan Cina di Taiping. Menerusi kegiatan inilah, beliau mengambil jumlah makanan yang banyak kerana masyarakat Cina mengutamakan hidangan makanan yang sedap.

Masalah kesihatannya bermula pada pertengahan tahun 1995. Pada mulanya, menjadi satu keperluan untuk beliau bangun beberapa kali pada tengah malam untuk membuang air kecil. Kawan-kawan persatuannya berpendapat bahawa fenomena ini merupakan satu kebiasaan bagi seseorang menghadapi masalah membuang air kecil apabila umurnya menghampiri 60. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa masalah membuang air kecil ini akan membawa masalah kesihatan yang lebih serius.

Pada awal tahun 1996, beban kerja di persatuan makin bertambah. Beliau perlu mengambil berat tentang sesuatu isu yang timbul dan menyelesaikannya supaya tidak berlaku percanggahan dan pertelingkahan di antara ahli-ahli dan permimpin-pemimpin persatuan. Beban kerja yang bertambah membawa tekanan kerja untuk beliau.

Bapa mentua saya mula hilang selera terhadap makanan. Badan beliau mula menjadi kurus. Rakan-rakan yang bertemu dengannya berpendapat beliau kurang tenaga dan mukanya kelihatan pucat dan lesu. Beliau tidak menyedari bahawa kanser sedang terbentuk di dalam badannya. Beliau tidak memandang berat tentang kemerosotan kesihatan. Apa yang dilakukannya ialah mendapat rawatan biasa dari klinik tempatan.

Kesihatan bapa mentua saya semakin merosot. Beliau tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk menjalankan tugas harian. Perjalanan ke bank yang terletak hanya 200 meter dari pejabat telah menjadi satu masalah baginya. Beliau terpaksa berhenti beberapa kali sebelum tiba ke pintu masuk bank. Beliau terpaksa menggunakan dua kali ganda masa untuk menjalankan sesuatu tugas berbanding dengan apa yang dilakukannya pada dua tahun yang lalu.

Dalam tempoh yang sama, masalah membuang air kecil menjadi semakin rumit. Setiap kali ke bilik air, beliau terpaksa menunggu selama 15 hingga 20 minit hanya untuk mengeluarkan beberapa titik kencing. Tidak lama selepas keluar dari bilik air, beliau teringin untuk ke bilik air lagi. Keadaan ini menjadi luar biasa. Sebelum ini, beliau menghadapi masalah dengan membuang air kecil pada sebelah malam. Kini, ia berlaku pada siang hari. Pada sebelah malam, kekerapan ingin membuang air kecil semakin bertambah. Setiap satu hingga dua jam, beliau terpaksa bangun untuk membuang air kecil. Walaupun hanya mengeluarkan beberapa titik air kencing, malam menjadi suatu yang membebankan dan merisaukan. Kekerapan membuang air kecil menjadi satu halangan dalam kehidupannya. Beliau setiasa berasa gelisah, siang dan malam. Keadaan ini sukar difahami oleh orang lain. Ahli-ahli keluarganya bersimpati dan memahami kesukaran dan kesusahan yang dihadapinya. Tambahan pula, beliau masih belum bersedia menerima hakikat ini. Beliau menghadapi masalah-masalah yang berikut:

• Kekerapan membuang air kecil, khasnya pada sebelah malam.
• Teragak-agak sebelum membuang air kecil.
• Aliran air yang sedikit.
• Sentiasa rasa ingin untuk membuang air kecil.
• Sistem pembuangan air yang lemah.
• Rasa masih ada air kencing dalam pundi kencing selepas membuang air kecil.

Apabila beliau tidak dapat lagi menanggung rasa seksa dan tahap kesihatannya yang semakin merosot, beliau menerima nasihat dan mendapatkan rawatan lanjutan di klinik. Doktor berkenaan memberitahu bahawa adalah biasa bagi seorang lelaki yang melebihi umur 50 tahun menghadapi masalah membuang air kecil yang berkaitan dengan usia yang semakin meningkat. Oleh yang demikian, ubat yang diberi hanya untuk mengatasi masalah membuang air kecil.

Selain mencuba ubat moden, beliau juga mengambil ubat tradisional Cina dan makanan tambahan moden dengan harapan masalah yang dihadapi dapat dikurangkan. Sungguhpun demikian, kesihatannya tidak menunjukkan tanda yang positif tetapi sebaliknya. Keputusan terakhir beliau ialah mendapatkan rawatan khas doktor pakar.

Bab 2.3: Rawatan dan Pembedahan
Bapa mentua saya tidak dapat tidur dengan nyenyak sebelum berjumpa dengan seorang doktor pakar di sebuah hospital swasta pada 23 Mei 1996. Semasa menjalani rawatan yang pertama, doktor memeriksa dan mendapati prostatnya keras. Prostat merupakan satu kelenjar lelaki yang bersaiz langsat (Lansium domesticum) dan terletak di bawah pundi kencing. Kencing yang dihasilkan di buah pinggang disimpan di dalam pundi kencing.

Tindakan segera dilakukan; sampel darah diambil untuk diuji. Walaupun keputusan darah cuma diketahui pada keesokan harinya, doktor meramalkan kemungkinan besar penyakit ini ialah kanser. Sungguhpun demikian, kami berdoa dengan harapan yang tinggi agar ramalan doktor tidak akan menjadi kenyataan.

Pada keesokan harinya, doktor pakar memberitahu kepada pesakit dan ahli-ahli keluarga hasil ujian darah yang menunjukkan bahawa kanser telah terbentuk. Keputusan PSA (ujian darah prostate-specific antigen) menjadi 613.8 mg/L berbanding dengan 4 mg/L bagi orang biasa. Ini bererti PSA bapa mentua saya 100 kali lebih tinggi berbanding dengan seorang yang tidak menghadapi masalah ini. Keputusan ini mengejutkan pesakit dan ahli-ahli keluarganya.

Pada tahun 1996, bapa mentua saya berumur 62 tahun. Tidak terfikir bahawa kanser akan dikaitkan dengan kehidupannya. Sukar bagi beliau menerima kenyataan ini. Beliau rasa takut, kehilangan hala tuju dan tidak tahu apa yang perlu dibuat. Memang sukar untuk menerima hakikat bahawa nyawa telah terancam kepada satu penyakit yang bernama kanser. ”Mengapa kanser memilih saya sebagai sasaran?” ”Apakah kesalahan yang saya telah lakukan?” “Mengapa Tuhan melayan saya begini?” “Mengapa nasib saya begitu malang?” Semua persoalan ini mulai mengganggu fikirannya, siang dan malam. Beliau tidak dapat tidur dengan tenang. Beliau terpaksa menerima hakikat ini dan sedar bahawa kita tidak mampu mengubah apa yang telah berlaku.

Pada masa yang sama, doktor pakar menasihati pesakit agar membuang bahagian prostat yang rosak melalui satu pembedahan.

Pembedahan itu merupakan satu prosedur yang dikenali sebagai “transurethral resection of the prostate” (TURP). Prosedur ini melibatkan pembuangan tisu yang menghalang uretra dan pundi kencing. Kemudian, rawatan diberikan untuk membersih pundi kencing itu. Oleh kerana sel-sel kanser telah tersebar ke bahagian skrotum, ia telah dibuang semasa pembedahan.

Selepas pembedahan, doktor pakar memberitahu, tumornya telah dikeluarkan tetapi ini tidak bermakna beliau telah sembuh. Ini kerana sel-sel kanser telah merebak ke bahagian lain di dalam badannya. Apa yang perlu dilakukan hanyalah dengan mengambil ubat moden bagi menghalang sel-sel kanser merebak. Kos perubatan ialah sebanyak RM400 sebulan dan ini akan memanjangkan tempoh hidupnya selama tiga tahun.

Bapa mentua saya hilang arah tuju setelah mendapat tahu beliau cuma dapat hidup bagi tempoh tiga tahun lagi. Adakah semua ini ditakdirkan? Tidak bolehkah kami lakukan sesuatu untuk mengubah nasib ini?
Ada kawan-kawan yang mencadangkan agar rawatan doktor moden dan doktor Cina tradisional dijalankan serentak untuk melawan kanser. Terdapat khabar bahawa kes-kes pesakit kanser dapat hidup lebih lama akibat mengambil pelbagai jenis ubat mujarab dan ada juga yang meninggal lebih awal dari yang dijangkakan.

Kini, keluarga kami perlu mencari jalan dan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengelakkan maut dan seterusnya memanjangkan umur pesakit kanser.

Perjuangan melawan kanser bermula dengan nasihat kami supaya bapa mentua meletakkan jawatan sebagai kerani dalam persatuan di Taiping. Sebagai alternatif, beliau dikehendaki berpindah ke Kuala Lumpur. Selepas berfikir sedalamnya kesan baik dan buruk, bapa mentua membuat keputusan yang munasabah. Beliau bersetuju dengan cadangan kami. Beliau memerlukan sokongan moral dan kasih sayang dari ahli keluarga untuk melawan kanser. Rumah saya ialah tempat yang sesuai kerana emak mentua sedang menjaga anak sulung kami.

Bab 2.4: Mencari Jalan Penyelesaian
Kami mula berbincang dengan kawan-kawan rapat mengenai perubatan kanser. Pada suatu pagi, seorang rakan sekerja menunjukkan satu risalah mengenai kanser dan perubatannya. Kehidupan kami mula berubah kerana risalah ini memberi harapan dan pedoman hidup yang amat diperlukan. Cara-cara perubatan bukanlah yang konvensional seperti pembedahan, radioterapi dan kemoterapi. Saya agak tertarik dengan perubatan alternatif ini. Jarang sekali kami mengetahui bahawa pesakit kanser dapat terus hidup dengan perubatan alternatif. Bagaimanakah keadaan ini boleh berlaku? Dalam risalah ini, Dr. Lai Chui-Nan (1995) menulis:

“Dalam penyelidikan saya, ditunjukkan bahawa sekiranya sel-sel kanser tumbuh dalam satu alam sekitar yang tinggi kalium, mereka akan berubah menjadi sel-sel yang biasa. Kanser boleh disembuhkan”.

Apabila saya membaca penulisan Dr. Lai, barulah saya memahami pengumpulan toksin di dalam tubuh badan yang menyebabkan kanser dan penyakit-penyakit yang lain. Oleh itu, cara yang paling berkesan untuk mengatasi penyakit ialah mengeluarkan toksin dari tubuh badan. Kaedah yang paling berkesan ialah mengambil makanan semula jadi yang kaya dengan kalium. Jenis makanan ini akan membantu dalam mengeluarkan toksin dan meningkatkan sistem daya ketahanan.

Laluan kepada jenis pengetahuan ini ialah ibarat seorang yang haus telah menjumpai air di kawasan padang gurun. Selepas menilai dengan teliti kesahihan maklumat ini, saya dapati penerangan ini menyakinkan. Pada masa yang sama, terdapat kes-kes pesakit kanser dapat mengatasi tumor dengan memakan sayur-sayuran seperti yang ditulis oleh Bieler (1965).

Saya menyampaikan maklumat ini tanpa sebarang tokok tambah kepada bapa mentua, emak mentua, anak sulung lelaki mereka dan anak perempuan mereka (isteri saya). Kesan-kesan perubatan konvensional dan perubahan tabiat pemakanan telah dibincangkan secara mendalam dan terperinci.

Bukanlah mudah untuk mencadangkan kepada orang lain supaya menukar tabiat pemakanan mereka. Lagi pun, saya sendiri masih belum mengubah tabiat pemakanan saya. Kami tidak mempunyai pemahaman yang baik dan jelas mengenai hubung kait makanan dan kanser. Sungguhpun demikian, kami mencapai kata sepakat bahawa satu peluang perlu diberi bagi menguji keberkesanan makanan semula jadi bagi tempoh tiga bulan.

Seminggu selepas pembedahan, bapa mentua saya memberitahu doktor pakar bahawa beliau memerlukan beberapa bulan untuk membuat keputusan sama ada ingin mengambil ubat moden atau tidak.

Perjalanan untuk mengubah tabiat pemakanan bermula dengan segera. Perkara pertama yang dilakukan bapa mentua saya ialah meletak jawatan sebagai kerani di Taiping. Keputusan kedua ialah beliau dikehendaki berpindah dari Taiping untuk hidup bersama-sama keluarga saya di Kuala Lumpur.

Kami bermula dengan makanan utama (pagi, tengah hari dan malam) dan mengikuti pendekatan diet makrobiotik yang diperkenalkan oleh Kushi (1993). Pendekatan ini sesuai bagi keluarga saya kerana ia melibatkan “penggunaan makanan tradisi seperti bijirin tulen, kekacang dan sayur-sayuran tempatan sebagai sumber utama tenaga makanan dan nutrisi. Ini ditambah lagi dengan diet yang mengandungi khasiat makanan soya... dan makanan yang kaya dengan galian dari lautan...Garam laut dan pemanis asli seperti sirap nasi dan malta barli memainkan peranan utama bagi menggantikan garam dan gula halus dalam penyediaan makanan moden” (Blauer in Kushi 1993).

Diet Makrobiotik Kushi (1993)
Bijirin tulen 50-60%
Sayur-sayuran (ditanam secara organic, jika boleh ) 20 to 30%
Kacang-kacang and sayuran laut 5-10%
Sup 5-10%

Saya masih ingat akan makan tengah hari yang pertama kali hanya terdiri daripada sayur-sayuran dihidangkan di rumah. Tiga jenis sayuran dimakan bersama-sama nasi beras perang. Tiada daging. Ketiga-tiga jenis sayur itu tidak sedap kerana tanpa minyak dan garam. Itulah makan tengah hari yang paling sukar untuk ditelan dalam hidup kami. Sebagai seorang yang suka makan daging, bapa mentua mengadu bahawa makanan yang dihidangkan adalah untuk lembu dan bukan untuk manusia. Kami memberitahu beliau bahawa perubahan tabiat pemakanan ini memerlukan masa. Kasih sayang daripada ahli keluarga adalah sumber inspirasi dan pendorong untuk beliau melawan kanser. Inilah cara untuk pemulihan daripada penyakit kanser. Kami tetap dengan pendirian kami dan terus mengamalkan kaedah pemakanan baru ini.

Pada tahun 1996, tidak terdapat banyak maklumat mengenai makanan organik dan untuk membeli makanan sihat adalah sukar sekali. Sumber beras perang adalah dari negeri Thai. Kebanyakan sayur-sayuran dibeli dari pasar yang ada di kawasan Selayang dan Kepong. Kami juga tidak mempunyai pengetahuan yang banyak bagaimana cara memasak sayur-sayuran agar zat-zat vitamin dan galian tidak musnah akibat dari cara memasak yang salah. Panduan umum kami ialah memasak dengan cara yang mudah, iaitu dengan sedikit perasa tanpa mencampurkan sebarang rempah. Sayur-sayuran biasanya direndam dalam air panas atau dikukuskan sebelum dihidangkan.

Amalan pemakanan sihat merupakan satu proses pembelajaran. Kami mencari lebih banyak maklumat mengenai makanan organik dan mempelbagaikan jenis makanan yang dihidangkan.

Oleh kerana sayur-sayuran yang dibeli dari pasar biasa mengandungi toksin kimia, kami memilih dan hanya membeli sayur-sayuran yang dipercayai tidak menggunakan bahan kimia semasa penanaman.

Selain itu, kami juga mengamalkan penanaman sayur-sayuran di kawasan lapang di belakang rumah. Oleh itu, kami mendapat bekalan sayuran segar seperti timun, kacang panjang, sawi dan kacang bendi dari masa ke masa. Kami mengamalkan cara penanaman organik, termasuk menyediakan baja sendiri. Baja kimia, racun serangga dan racun rumput-rampai tidak digunakan langsung.

Sayur-sayuran yang ditanam oleh sendiri adalah selamat, segar dan merupakan sumber klorofil untuk tubuh badan. Rasa sayur yang ditanam sendiri sedap, segar dan enak untuk dimakan.

Bab 2.5: Makanan Sihat Membawa Kesan
Dua bulan selepas pembedahan, bapa mentua saya mendapat rawatan daripada doktor pakar untuk menguji taraf PSAnya. Selepas tiga hari, doktor memberitahu bahawa PSA pesakit kanser telah turun ke tahap 18.9 mg/L. Lega betul hati kami! Inilah berita yang dinanti-nantikan. Tanggal 26 Julai 1996 ialah hari bersejarah bagi kami. Kami tidak lagi ragu-ragu tentang pemakanan sihat sebagai perubatan yang paling baik ke atas kanser. Pertukaran kepada pemakanan sihat ialah langkah penting bagi seseorang yang ingin hidup sihat.

Makanan tidak sihat: Semua jenis daging, telur dan barangan tenusu; Nasi putih, nasi wangi; Roti putih; Gula putih; Garam putih; Monosodium glutamate (MSG); Sos perisa biasa; Minyak biasa

Makanan sihat: Sayur-sayuran dan buah-buahan; Beras perang, bijirin; Roti ‘wholemeal’ (gandum); Gula dari bijirin tulen; Garam laut; Miso; Sos kacang soya organik; Minyak zaitun, minyak walnut


Kebanyakan kawan dan saudara mara was-was tentang pilihan amalan tabiat pemakanan kami. Bagaimanakah makanan vegetarian dapat mengembalikan kesihatan apabila perubatan moden seperti pembedahan, radioterapi dan kemoterapi tidak dapat mengatasi kanser? Makanan vegetarian sukar diterima oleh mereka. Pada mereka, doktor merupakan orang yang pakar dalam perubatan. Memang benar, kami memilih jalan yang lain.

Tanggal 29 Oktober 1996 merupakan hari untuk bapa mentua saya menjalani ujian darah. Harapan kami tinggi. Apabila keputusan ujian darah diumumkan oleh doktor pakar, paras PSAnya telah turun ke 10.63 mg/L. Keputusan ini bukan sahaja satu pencapaian selepas mengambil makanan vegetarian, bahkan dalam masa beberapa bulan yang lepas, bapa mentua saya telah berlatih Tai –Chi 18 Gerakan, iaitu sejenis Qi Gong yang popular di Malaysia. Qi Gong telah meningkatkan tenaga dalaman dan membantu seseorang pulih daripada sesuatu penyakit.

Menjelang awal tahun 1997, amalan pemakanan vegetarian telah membawa keputusan ujian darah yang membanggakan. Pada 3 Mac 1997, doktor pakar memberitahu bahawa PSA ujian darah bapa mentua saya kini turun ke paras 3.3 mg/L. Ini bermakna PSAnya telah pulih seperti orang biasa yang tidak menghidap kanser. Sel-sel kansernya kini dikawal dengan baik dengan mengamalkan makanan vegetarian. Proses pemulihan ini mengambil masa selama sembilan bulan.

Doktor pakar juga kagum dan terperanjat apabila mendapati pesakit ini mengalami penurunan paras PSA sedangkan beliau tidak menerima nasihat untuk mengambil ubat moden. Bagi seorang yang terlatih dalam perubatan moden, keadaan ini agak luar biasa.

Kami memberitahu doktor pakar bahawa pendekatan diet makrobiotik yang diamalkan berkesan mengawal sel-sel kanser. Beliau memang memahami bahawa mungkin terdapat cara alternatif yang dapat mengawal sel-sel kanser daripada merebak. Mulai hari itu, beliau tidak lagi menasihati bapa mentua saya supaya mengambil ubat moden untuk mengawal sel-sel kanser. Ujian-ujian darah seterusnya pada 13 Mei dan 12 Ogos 1997 juga telah menunjukkan sel-sel kanser terkawal kerana paras PSA ialah 3.1 mg/L.

Seorang editor dari sebuah majalah kesihatan berbahasa Cina telah mengetahui cara kami menangani kanser. Tidak ramai pesakit kanser memilih makanan semula jadi untuk pulih daripada kanser. Seorang wartawan dari majalah kesihatan itu datang berjumpa keluarga saya pada pertengahan tahun 1997. Mengenai pemulihan daripada kanser, bapa mentua saya telah meluahkan perasaannya,

“Nyawa saya diselamatkan oleh isteri, anak perempuan dan menantu saya. Tanpa sokongan moral, kasih sayang dan tindakan yang ikhlas, saya tidak akan dapat hidup dengan baik pada hari ini. Kami telah melawan kanser dengan satu jiwa dan hati. Ini yang memberi keyakinan kepada saya. Betapa mereka menghargai nyawa dan hubungan kekeluargaan telah memberi inspirasi kepada saya supaya tidak tunduk kepada kanser. Tanpa sokongan mereka, saya mungkin berputus asa dan menyerah kalah. Memandangkan mereka begitu yakin, teguh, tetap dan tabah hati dalam perubahan amalan pemakanan, tidak ada sebab dan alasan mengapa saya tidak dapat turut bersama. Saya tidak dapat menukar tabiat pemakanan secara bersendirian. Usaha yang berterusan kami telah berhasil. Saya tidak kecewakan mereka.”

Bab 2.6: Pelajari Quolin Qi Gong
Mulai bulan September 2002, bapa mentua saya turut bersama-sama pesakit-pesakit kanser yang lain berlatih Quolin Qi Gong, satu jenis latihan bernafas dan pergerakan khas untuk menangani kanser. Jenis Qi Gong ini memang terkenal di negeri China dan kini menjadi panduan kepada pesakit kanser di Malaysia. Tempat berlatih Qi Gong ialah kawasan air terjun di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia yang dianjurkan oleh cawangan persatuan Quolin Qi Gong di Kepong. Qi Gong membantu dalam pemulihan kanser kerana pesakit menyedut banyak oksigen dan dipercayai bahawa sel-sel kanser dapat dikawal dalam alam sekitar yang banyak oksigen.

Bagi bapa mentua saya, latihan Quolin Qi Gong telah memperkaya kehidupannya. Menyedut oksigen nampaknya telah menyihatkan badannya. Pesakit-pesakit mengadakan latihan selama dua hingga tiga jam setiap pagi. Apa yang penting ialah bapa mentua saya telah berkawan dengan rakan-rakan yang menghadapi nasib yang sama. Selepas latihan Qi Gong mereka berinteraksi antara satu sama lain. Interaksi sosial ini amat penting kerana pesakit-pesakit kanser adalah sensitif dan segan untuk berkongsi perasaan dengan orang biasa. Melalui interaksi antara pesakit-pesakit, tekanan dapat dilepaskan dan fikiran mereka lebih tenang. Semua ini membantu dalam mengurangkan perasaan rendah diri, ketakutan, pemikiran negatif, kesedihan dan kekecewaan.

Selepas berlatih Quolin Qi Gong, bapa mentua saya tidak rasa keseorangan. Beliau suka berlatih Qi Gong sementara emak mentua saya pula memberi panduan kepada pesakit kanser yang ingin belajar Qi Gong. Walaupun terdapat ahli-ahli yang meninggal selepas tahun 2002, ahli-ahli baru pula menyertai mereka. Mereka saling sokong-menyokong antara satu sama lain. Perjalanan untuk melawan kanser tidak lagi dilakukan seorang diri tetapi secara berkumpulan. Apakah pendangan bapa mentua tentang Qi Gong?

“Setelah berlatih Quolin Qi Gong, saya tidak lagi hidup dalam dunia sendiri yang kecil. Sebelum ini, saya sentiasa berfikir tentang pelbagai perkara yang negatif. Saya tertanya-tanya bilakah hari kiamat bagi diri saya. Semua ini kini menjadi sejarah. Selepas latihan Qi Gong, pesakit-pesakit kanser berinteraksi dan menjalin hubungan yang baik sesama sendiri. Kami terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan. Kami juga bertukar-tukar fikiran tentang corak kehidupan, kaedah rawatan doktor dan saling memberi sokongan dan keyakinan di antara satu sama lain. Ada yang mencadangkan herba tertentu untuk melawan kanser. Bagi mereka yang berminat, saya pula menggalakkan mereka supaya mengamalkan pemakanan sihat untuk menangani kanser.

Pesakit-pesakit kanser yang menerima rawatan pembedahan, radioterapi dan kemoterapi telah berkongsi pengalaman. Ini membolehkan saya memahami perasaan dalaman yang kadang-kala sukar difahami orang lain. Apabila seseorang pesakit sedang menjalankan rawatan radioterapi dan kemoterapi, kami memberi sokongan moral dan berdoa supaya beliau selamat serta semakin sembuh. Kami memberi motivasi dab dorongan kepada pesakit itu supaya berlawan kanser sampai saat terakhir dan jangan mudah berputus asa. Sokongan moral ini yang amat diperlukan oleh seseorang pesakit. Selepas setiap rawatan doktor, kami menggalakkan pesakit itu mengamalkan Qi Gong secepat mungkin.

Selepas setiap rawatan radioterapi atau kemoterapi, kebiasaannya pesakit akan menghadapi pelbagai kesan-kesan sampingan, termasuklah muntah, sukar untuk menelan makanan, demam, anemia, rambut gugur, gigi gugur, sakit perut, sukar buang air besar, sakit otot, penat, ulser mulut dan sakit kerongkong.

Di kalangan pesakit-pesakit kanser yang berlatih Qi Gong, saya terkecuali kerana tidak melalui rawatan radioterapi atau kemoterapi. Setengah-tengah pesakit kanser tidak percaya bahawa saya tidak pernah mengambil ubat kanser dan makanan tambahan. Bagi saya, makanan sihat merupakan ubat yang berkesan untuk melawan kanser. Punca utama menghidap penyakit kanser adalah makanan yang tidak sihat. Saya tidak perlu mencari, siang dan malam, ubat yang paling baik kerana makanan sihat adalah yang paling sesuai bagi diri saya.

Ramai pesakit berpendapat bahawa tanpa daging, seseorang tidak bertenaga untuk melawan sel-sel kanser. Saya menghormati pendapat mereka, dan tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung sensitiviti mereka. Saya tidak bersungguh-sungguh untuk meyakinkan mereka akan keberkesanan makanan sihat kerana setiap individu mempunyai pendapat yang berlainan. Sebenarnya, saya jarang bercerita tentang makanan sihat semasa perbincangan atau pergaulan selepas latihan Qi Gong, kecuali ditanya. Majoriti pesakit kanser masih percaya bahawa seseorang pesakit boleh makan apa sahaja dan tiada pantang-larang semasa makan. Terdapat juga pesakit kanser yang cuba meyakinkan saya supaya mengikut jejak mereka dari segi tabiat pemakanan. Pendirian dan amalan saya tetap teguh dan tidak berubah sehingga hari ini.”

Bab 2.7: Makanan Harian
Anda mungkin ingin tahu apakah yang dimakan oleh bapa mentua saya setiap hari. Jenis makanan harian bapa mentua saya seperti berikut.

Makanan harian pesakit kanser
Sarapan: Minuman campuran wheat germs, brewer’s yeast dan lecithin + roti gandum atau bubur oat atau mi
Tengah hari: Nasi atau bubur beras perang + ubi keledek + 2 jenis sayur masakan + 2 jenis ulam
Atau Nasi beras perang + sayuran hijau + kacang + sup sayuran hijau Atau Sup mi
Minum petang: Sup kacang hijau/Sup kacang merah/Sup ubi keledek/Roti gandum/Biskut
Pau sayur/Air barli
Makan malam: (1) Nasi beras perang, 2 jenis sayur masakan, tauhu, 2-3 jenis ulam, 1 sup miso + sayuran atau sup sayuran herba; (2) Nasi goreng beras perang, 1 jenis sayur masakan, 2-3 jenis ulam, sup kacang atau air tebu atau sup ubi keledek atau air bali; (3) Mi atau bihun goreng, 1 jenis sayur masakan, 2-3 jenis ulam, sup kacang atau air tebu; (4) Spageti, 2-3 jenis ulam salad, sup kacang atau air barli

Apabila kami mengamalkan tabiat pemakanan sihat, pada mulanya sayur-sayuran dan bahan-bahan dibeli dari pasar dan pasar raya biasa. Semasa proses ini kami belajar mendapatkan sumber makanan dari kedai-kedai organik. Kini, kebanyakan sumber makanan keluarga diperoleh dari kedai organik. Proses dan bagaimana kami bertukar ini diterangkan dalam Bab 5 nanti.

Bab 2.8: Hargai Kesihatan dan Nyawa
Sejak tahun 1996, bapa dan emak mentua saya mulai bersifat empati dan simpati terhadap semua hidupan dunia sejagat. Kami menyarankan mereka supaya mengelak daripada melibatkan diri dalam sebarang tindakan yang mungkin menjejaskan nyawa. Sekiranya kita menghargai nyawa, kita perlu menghormati nyawa yang lain. Mengelakkan daging daripada menu makanan ialah satu cara untuk menyelamatkan nyawa binatang.

Bagi keluarga saya pula, isteri, dua orang anak dan saya sendiri juga melepaskan ikan ke dalam sungai dari masa ke masa. Nyamuk yang ditangkap di dalam kelambu dilepaskan kemudian. Setiap malam kami bersembahyang dan memindahkan pahala yang dikumpul kepada semua pesakit kanser dan pesakit biasa di seluruh sudut alam sejagat.

Adakah benar ramalan doktor pakar bahawa bapa mentua saya akan meninggal dunia selewat-lewatnya pada pertengahan Jun 1999? Pesakit kanser ini hidup selama tiga tahun itu. Bagaimana pula selepas tempoh itu?

Adakah kanser bapa mentua saya dapat disembuhkan? Dalam tempoh jangka masa panjang, memang tiada ubat kanser. Kita hanya boleh membunuh sel-sel kanser dengan ubatan moden. Kita juga hanya boleh mengawal sel-sel kanser melalui pemakanan yang sihat atau perubatan alternatif.

Menjelang pertengahan tahun 2007, doktor pakar mendapati bahawa kanser bapa mentua saya telah kembali. Aras PSA beliau telah meningkat kepada 3,350 μg/l sebelum pembedahan ke atas tulang belakang beliau. Walaupun PSA beliau menurun ke aras 1,950 μg/l selepas pembedahan, beliau telah dianggap sebagai pesakit kanser ‘terminal’, iaitu orang yang akan meninggal dunia dalam jangka masa terdekat. Doktor pakar telah menasihatkan supaya ubat melawan kanser diambil untuk memanjangkan jangka hayat dalam tiga hingga enam bulan. Setelah pertimbangan dibuat, bapa mentua saya menolak untuk rawatan radioterapi dan ubat moden. Bagi beliau, makanan sihat merupakan ubat yang paling baik untuk mengawal kanser tanpa kesan sampingan. Menjelang hujung tahun 2007, beliau masih hidup tanpa rawatan ubat moden.

Pada tahun 2008, kesihatan beliau terus merosot. Beliau menghadapi masalah dalam membuang air kecil. Satu pembedahan dijalankan untuk melicinkan proses membuang air kencing pada bulan Julai 2008. Pada masa itu, PSA beliau telah meningkat tinggi hingga aras melebihi 4,000 μg/l. Pada Oktober 2008, masalah pembuangan kencing kembali dan dia telah dimasukkan ke hospital kerajaan untuk rawatan. Beliau berasa lemah badan dan tidak bersemangat.

Kami dapat menerima hakikat bahawa nyawa beliau tidak dapat dipanjangkan lagi. Kami mula berbincang mengenai hal-hal yang berkaitan dengan kematian dan membuat persediaan kerana beliau akan meninggal dunia pada bila-bila masa. Kami tidak mempunyai pantang larang dalam perbincangan mengenai soal hidup dan mati. Tambahan lagi, bapa mentua saya telah memilih dan melihat sendiri tempat pengembumiannya.

Kematian memang tidak menunggu masa. Pada 1 Januari 2009, bapa mentua saya telah meninggal dunia dengan aman di rumah. Proses beliau meninggal dunia boleh dijadikan rujukan kepada orang lain. Berikut adalah peristiwa-peristiwa yang berkaitan.

29 Disember 2008: Setelah pemeriksaan doktor dibuat, kami diberitahu bahawa bapa mentua saya akan meninggal dalam tempoh empat hari.
30 Disember 2008: Kesihatan beliau semakin merosot dan beliau tidak banyak mengambil makanan.
31 Disember 2008: Badan beliau mulai lemah dan mula kurang bercakap. Beliau cuma dapat minum sedikit minuman.
1 Januari 2009:
7.50 pagi: Beliau makan sedikit roti.
9.00 pagi: Beliau mengambil susu oat kerana kelaparan.
9.00 pagi–2 petang: Beliau minum satu sudu air setiap setengah jam. Beliau merungut bahawa bahagian belakang badan terlalu panas. Apabila kami cuba membalikkan badannya, kesakitan yang teruk berlaku.
2.30 petang: Beliau tidak dapat makan atau minum lagi. Beliau tidak banyak bercakap. Kedua-dua matanya tertutup.
4.30 petang: Kami menyedari bahawa beliau akan meninggal dunia tidak lama lagi. Bagi memudahkan proses itu, kami bersetuju untuk tidak menanggis di hadapan beliau. K ami mula membaca doa selamat untuk beliau. Semua ahli keluarga mengambil giliran mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau. Beliau telah memberikan saya hadiah yang terbaik dalam hidup saya—membenarkan anak perempuannya berkawan dan kemudian berkahwin dengan saya. Pada masa yang sama, kami memberitahu beliau bahawa anak bongsunya dalam perjalanan untuk bertemu dengannya. Beliau perlu menunggu sebelum meninggal dunia.
6.15 petang: Akhirnya, anak bongsunya telah tiba. Beliau membuka mata anda memandang anak bongsunya untuk beberapa saat dan kemudiannya metutup mata. Air mata mengalir dari matanya. Saya memberitahu beliau bahawa kini beliau boleh meninggalkan dunia ini dengan hati yang tenang dan senang.
6.30 petang: Nafasnya menjadi perlahan dan kemudiannya berhenti.

Ya, bapa mentua saya telah meninggal secara aman. Beliau telah mencatat sejarah kerana telah merawat kanser tanpa rawatan konvensional, iaitu melalui pemakanan sihat, sokongan emosi dan spiritual. Tanpa rawatan konvensyenal seperti radioterapi dan kemoterapi, beliau telah dapat hidup 10 tahun lebih lama dengan mengamalkan cara hidup yang sihat secara holistik. Dalam tempoh ini, beliau cuma mengalami sedikit penderitaan dan kesakitan. Riwayat hidup beliau mempunyai makna dan mesej tertentu, khasnya kepada mereka yang telah dikenalpasti menghidapi kanser. Jika seseorang pesakit kanser ingin hidup lebih lama dan mengurangkan penderitaan, pilihan makanan sihat perlu diberi keutamaan.


Bab 2.9: Perubahan Yang Menggembirakan
Keputusan kami untuk bertukar kepada pemakanan sihat telah membawa perubahan yang amat bermakna kepada keluarga kami. Kami dapat hidup dengan bahagia kerana jarang jatuh sakit. Kami sedar bahawa kami perlu menjaga kesihatan diri sendiri supaya dapat menikmati kehidupan yang berkualiti. Saya sendiri tidak perlu mengambil ubat kerana jarang menghidap penyakit sejak tahun 1997. Oleh itu, saya juga tidak perlu ambil cuti sakit yang sudah tentu mengganggu tugas rasmi di pejabat.

Dalam proses menghadapi kanser bapa mentua saya, kini saya lebih menghargai kata-kata Dean Ornish, pengasas dan presiden Preventive Medicine Research Institute, Clinical Professor of Medicine, University of California, San Francisco (Ornish 2001):

“Sejak 25 tahun yang lalu, saya dan rakan-rakan di Preventive Medicine Research Institute (institusi bukan berasaskan keuntungan) dengan kerjasama institusi-institusi lain menjalankan satu siri kajian saintifik dan percubaan klinikal secara random menunjukkan bahawa penyakit jantung koronari boleh dihentikan atau diterbalikkan hanya dengan melakukan perubahan menyeluruh dalam diet dan cara hidup seseorang. Perubahan cara hidup termasuklah pengambilan makanan rendah lemak dan berasaskan tumbuhan; teknik mengurus stres (termasuk yoga dan meditasi); senaman secara sederhana; berhenti merokok dan sokongan kumpulan psikososial.”

Pada keseluruhannya, saya bersyukur kepada semua pihak dalam kehidupan. Saya berasa bahagia kerana dapat hidup dengan aman dan harmoni. Pada diri saya, kita semua saling berkait, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kewujudan saya adalah kerana kewujudan anda. Didikan pemakanan sihat harus dititik-beratkan dalam bidang perubatan. Pembangunan insan adalah membentuk insan yang seimbang dan menyeluruh dari segi jasmani, emosi, kerohanian dan intelek. Untuk mencapai semua ini, syarat utama ialah rakyat Malaysia haruslah mempunyai kesihatan jasmani dan rohani yang memuaskan.

No comments:

Post a Comment