寻找健康

寻找健康
免费阅读本书的内容, 请看 2011年3月26日部落的整本书. 此书非商业方式出版,不在商业书店售卖。想得到此书的朋友,请联络作者林廷辉博士 drlimhf@gmail.com 012-3615905

Makanan Sihat Sebagai Ubat (2011)

Makanan Sihat Sebagai Ubat (2011)
Ini adalah buku kesihatan saya. Kandungannya telah dimuatkan dalam blog ini pada 10 Sept 2010 sempena Hari Raya Puasa. Buku ini bukan diterbitkan untuk tujuan komersial dan tidak dipasarkan melalui kedai-kedai buku terkenal. Jika anda ingin memperolehi satu naskah, sila hubungi pengarang di drlimhf@gmail.com atau 012-3615905

Eating for Good Health (2010)

Eating for Good Health (2010)
3nd Edition 2010. The contents of this book are in this blog (subheadings in Blog Archive from October 2009 till January 2010) for free reading. This is a non-commercial book and is not available in major commercial book stores. If you wish to own a hard copy, kindly contact the author at: drlimhf@gmail.com or 012-3615905

Friday, September 10, 2010

BAB 6: DETOKS DAN TINDAK BALAS

Penulisan buku ini tidak lengkap tanpa menerangkan proses detoksifikasi dan tindak balas badan kita. Penerangan ini penting kerana tindak balas detoks berikutan amalan pemakanan sihat merupakan satu cabaran dalam proses pengembalian kesihatan kita. Ia biasanya dikenali sebagai krisis penyembuhan.

Setelah keluarga saya memulakan perjalanan kepada pemakanan sihat, toksin mula dikeluarkan dari badan. Badan yang sihat akan melalui proses detoksifikasi. Oleh kerana kami banyak mengambil makanan berasid sebelum 1996, tibalah masa untuk mengalami proses detoksifikasi.

6.1: Detoksifikasi
Istilah detoksifikasi kini sering didengar kerana ramai yang terlibat dalam perniagaan makanan tambahan juga menggunakan istilah ini.

Detoksifikasi boleh didefinisikan sebagai satu proses pembuangan toksin daripada kolon, hati, buah pinggang, pundi hempedu, paru-paru, kulit, limfa dan darah (Calbom et al. 2003). Biasanya, badan mengikis toksin yang diterima melalui makanan, air dan udara dengan empat proses metabolik yang berikut (Kushi & Jack 2003), iaitu lepasan pernafasan, perpeluhan, pembuangan air kecil dan pembuangan air besar.

6.2: Proses Detoksifikasi
Proses detoksifikasi boleh diterangkan dengan cara berikut. Badan berasid adalah seperti satu gelas air yang tercemar atau keruh. Sekiranya kita memasukkan air bersih dan sihat, air keruh itu akan menjadi bersih dan sihat. Semasa kita memasukkan air bersih, air keruh di dalam gelas akan dikeluarkan dari gelas itu. Air kotor yang dikeluarkan adalah toksin di dalam badan kita dan dibuang melalui organ-organ badan dalam bentuk seperti peluh, najis dan kahak. Dalam proses ini, apabila air menjadi semakin bersih dan jernih, pemulihan kesihatan telah bermula.

Dalam proses pemulihan ini, kita akan menghadapi pelbagai tanda ‘penyakit palsu’. Penyakit-penyakit palsu ini ialah hasil detoksifikasi yang mengeluarkan toksin dari badan seperti penerangan berikut.

“all these acute symptoms of ‘disease’ are in fact the result of an action by the body to re-establish equilibrium and positive health. As such they are corrective and eliminative and should not be suppressed. What is commonly called acute disease is really the result of nature’s efforts to eliminate waste matter or poisons from the body and to repair injured tissues. If this acute condition is not allowed to run its natural course, or is treated with suppressive methods and therefore not allowed to fulfil its intended function of elimination, then eventually chronic disease will result” (Trattler 2001).

“As toxins are released and parasites and candida (overgrowth of yeast) die off, waste products pour into the system. When they are released faster than the body can eliminate them, we can experience symptoms such as fever, chills, nausea, diarrhoea, cramps, headaches, skin eruptions, sleep disturbances, increased thirst, loss of appetite, fatigue, irritability, ear infection, head or chest cold and flu-like symptoms. …This elimination process is often referred to as the healing crisis.” (Calbom et al. 2003)

Pelbagai ‘penyakit palsu’ yang kita hadapi dalam proses detoksifikasi menunjukkan keadaan bahawa badan kita sedang membebaskan diri daripada pelbagai toksin melalui proses-proses berikut (Trattler 2001).

1. Cirit-birit dan muntah ialah percubaan badan untuk mengikis bahan toksin.
2. Demam menambahkan kadar metabolik dan pengaliran darah dan limfa. Ini mempercepat pembuangan toksin. Demam juga mewujudkan satu alam sekitar yang tidak sesuai untuk kuman dan virus.
3. Bengkak dan edema (atau pengumpulan cecair) ialah tindakan badan melawan masalah di sesuatu tempat.
4. Jangkitan, buasir dan jerawat berkait dengan proses pembersihan dalaman.
5. Mukus ialah satu jenis toksin yang dibuang dari badan.
6. Bersin dan batuk ialah percubaan badan untuk membuang toksin dan kotoran di dalam sistem pernafasan.
7. Berpeluh dapat mengeluarkan toksin melalui kulit.

Jika kita mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat, kita akan mengalami tanda-tanda detoksifikasi yang disebutkan. Tanda-tanda ini adalah berbeza-beza antara seseorang individu dengan individu yang lain bergantung pada jumlah bahan-bahan toksin yang terkumpul di dalam badan kita.

Kebiasaannya, sesuatu krisis penyembuhan mengambil masa satu hingga tiga hari dan sekiranya tenaga badan adalah rendah, penyembuhan boleh mengambil masa satu minggu atau lebih (Calbom et al. 2003). Jika anda mempunyai keyakinan yang cukup, terimalah tindak balas dan tanda-tanda detoksifikasi ini kerana tanda-tanda ini akan hilang dalam beberapa hari atau minggu. Tindak balas detoksifikasi ini akan menguatkan badan kita pada masa hadapan seperti kata-kata: “the swelling and inflammation (boil or abscess) is a wise response of the body, for they constitute a complete quarantine, a thick barricade of inflammatory tissue to prevent the enemy (microbes or poisons) from spreading further throughout the body” (Bieler 1965).

6.3: Tindak Balas Detoks
Kini terdapat lebih banyak penulisan tentang tindak balas detoksifikasi. Antara tindak balas atau ketidakselesaan badan (Diamond &Diamond 1985) adalah seperti berikut:

1. Sembap
2. Kesenakan atau flatulens
3. Sakit kepala
4. Sakit badan
5. Penat
6. Bimbang
7. Pembuangan najis longgar
8. Pembuangan lendir atau mukus

Semua tindak balas dan ketidakselesaan di atas menunjukkan badan sedang memulihkan kesihatan dan akan berlaku dari semasa ke semasa. Bayangkanlah betapa lama anda telah mengalami pengumpulan toksin di dalam badan. Mungkin selama 20, 30, 40, 50, 60 tahun atau lebih. Anda tidak boleh mengharapkan tindak balas detoks tamat dalam satu hari, satu minggu, satu bulan atau satu tahun. Jika toksin di dalam badan terlalu banyak, maka tindak balas detoks akan mengambil masa yang lama. Anggaplah ini sebagai ketidakselesaan sementara dalam proses detoks dan permulaan proses pemulihan kesihatan (Diamond & Diamond 1985).

Jika anda mengalami tindak balas detoks ini, jangan tinggalkan amalan makan sihat dan kembali kepada tabiat pemakanan lama yang tidak sihat. Sekiranya ketidakselesaan ini berterusan, anda boleh dapatkan nasihat dari pakar perubatan.

6.4: Tindak Balas Detoks Bapa Mentua
Seperti yang diterangkan dalam Bab 2, bapa mentua saya menghidap kanser prostat pada tahun 1996 semasa beliau berumur 62 tahun. Semenjak itu, kedua-dua ibu bapa mentua saya tinggal bersama keluarga saya. Bertukar kepada amalan tabiat pemakanan yang sihat telah memanjangkan usianya sehingga beliau meninggal pada awal tahun 2009. Dalam proses detoksifikasi, tindak balas utama beliau termasuklah: deman, hidung berair, batuk dari masa ke masa (1996-2003), demam, batuk, lemah badan, sakit kaki, sakit dada dari masa ke masa (2004-2006), lemah badan, sakit kaki, sakit badan, sakit tulang belakang (2007-2009).

Demam, hidung berair dan batuk telah menemani kehidupan bapa mentua saya sejak kecil lagi. Antara 1996 dan 2003, beliau mengambil ubat demam dan ubat batuk kerana ingin pulih dalam masa singkat.

Pada tahun 2003, saya memberitahu beliau cara yang paling baik untuk menghadapi demam dan batuk ialah berehat. Setelah mendengar nasihat saya, bapa mentua saya telah bersedia untuk menghadapi demam dan batuk secara semula jadi. Beliau berehat saja dan pulih dalam masa beberapa hari.

Pada Februari 2005, bapa mentua saya menghadapi masalah sakit dada. Beliau cuba meminum satu gelas jus herba hasil hancuran daun lidah jin/pecah biling (Strobilanthes crispus) setiap hari. Jenis tumbuhan herba ini ditanam oleh beliau sendiri di halaman belakang rumah. Selepas beberapa hari, kesakitan dadanya telah hilang. Dengan itu juga, beliau telah membatalkan janji temu dengan doktor pakar.

Pada sebelah pagi 7 Januari 2007, selepas bersarapan dan sembahyang, bapa mentua saya bersedia ke FRIM untuk latihan Quolin Qi Gong. Sebelum meninggalkan rumah, beliau berasa pening kepala, mula berpeluh sejuk dan lemah badan. Beliau terpaksa berehat di rumah selama lima hari.

Pada hari kelima, 11 Januari 2007, beliau mengambil bahagian dalam penggambaran program TV yang dianjurkan oleh sebuah syarikat swasta. Syarikat itu dibayar oleh CIMB dengan kerjasama Sime Darby Berhad untuk menyediakan siri program bertajuk ”Seeds”, iaitu salah satu siri program TV yang berkaitan dengan pertanian organik. Salah satu bahagian menerangkan bagaimana makanan sihat telah mengembalikan kesihatan bapa mentua saya. Siri program tersebut telah ditayangkan di NTV7 pada 5-5.30 petang, 27 Mei 2007.

Pada Februari 2007, bapa mentua saya mengalami kesakitan kaki kanan. Kali ini kesakitan adalah teruk sekali sehingga beliau terpaksa berjalan dengan perlahan. Akibatnya, beliau terpaksa mengambil ubat untuk beberapa bulan pada tahun 2007, sebelum dan selepas pembedahan tulang belakang.

Dalam proses mengamalkan makanan sihat, kami tidak menolak kemudahan dan rawatan yang diberi oleh doktor. Selepas pembedahan itu, ubat sakit yang diberi oleh doktor pula jarang dimakan. Kami percaya bahawa kemudahan kesihatan moden hanya diterima sekiranya perlu.

6.5: Tindak Balas Detoks Emak Mentua
Emak mentua saya menghadapi masalah “angin di dalam perut” sebelum kami bertukar kepada pemakanan sihat pada tahun 1996. Masalah ini bermula pada tahun 1981 semasa beliau berumur 44 tahun. Beliau bersabar ketika masalah ini timbul. Kadang-kala, apabila beliau tidak dapat tidur nyenyak kerana masalah “angin di dalam perut” dan beliau mengambil ubat yang diberi oleh doktor. Antara tahun 1990 dan 1996, kadang- kala masalah ini menjadi teruk. Dalam keadaan tersebut, beliau terpaksa diwadkan di hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan. Setelah bertukar kepada pemakanan sihat pada tahun 1996, masalah ini tidak hilang.

Pada pertengahan 1996, kami terpaksa menghantar beliau ke sebuah hospital swasta pada tengah malam kerana beliau tidak dapat menahan kesakitan yang disebabkan oleh “angin di dalam perut”. Keesokannya, setelah diperiksa dan ubat dimakan, beliau telah sembuh dan balik ke rumah. Rawatan dan ubat yang diberi dalam masa 24 jam ini memakan belanja sebanyak RM1,500. Antara tahun 1997 dan 2002, disebabkan masalah “angin di dalam perut”, beliau terpaksa dimasukkan ke wad hospital beberapa kali. Masalah kesihatan ini sembuh buat sementara waktu.

Menjelang penghujung tahun 2002, emak mentua saya membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan seluruh badan. Dalam proses ini, beliau diberitahu doktor bahawa terdapat batu karang di dalam badannya. Beliau cuba memecahkan batu karang itu dengan cara semula jadi. Walau bagaimanapun, agak terlewat bagi emak mentua saya yang berumur 65 tahun untuk menggunakan cara ini untuk mengeluarkan batu karangnya kerana pemeriksaan sinaran-X menunjukkan batu karang berwarna hitam masih berada di dalam badannya.

Resipi mengeluarkan batu karang secara semula jadi (Lai 1997):
1. Meminum jus epal (lima biji epal sehari) selama enam hari dan dalam tempoh ini makanan adalah seperti biasa.
2. Pada hari keenam, tidak makan apa-apa lepas makan tengah hari.
3. Ini diikuti dengan minuman air garam Epsom pada pukul 6.00 petang dan 8.00 malam pada hari keenam.
4. Minyak zaitun (setengah gelas) dicampur dengan jus lemon (dari tiga biji lemon) diminum pada pukul 10.00 malam hari yang sama.
5. Pada keesokan harinya (hari ketujuh), batu karang dikeluarkan secara semula jadi.


Menurut doktor pakar di hospital swasta, batu karang inilah yang menyebabkan masalah “angin di dalam perut”nya. Memandangkan tiada cara yang lain untuk mengeluarkan batu karang tersebut, satu pembedahan telah dilakukan untuk membuang hempedu iaitu tempat batu karang membentuk. Kos pembedahan dan rawatan tiga hari di hospital melibatkan RM 6000.

Seminggu selepas pembedahan, emak mentua saya mengalami sakit perut yang teruk. Sekali lagi, beliau dimasukkan ke wad di hospital yang sama untuk pemeriksaan dan rawatan lanjutan. Pada sebelah petang hari kedua, beliau rasa ingin muntah. Pada masa itu, seekor cacing yang panjangnya 15 cm dengan diameter 1 mm telah keluar dari mulutnya. Ini mengejutkan beliau. Begitu juga kami. Sakit perutnya berhenti.

Pada Mac 2004, cabaran untuk menghadapi masalah “angin di dalam perut” timbul lagi. Apa yang berbeza pada kali ini ialah emak mentua saya lebih bersedia untuk mengadapi masalah ini. Beliau membuat keputusan tidak akan mengambil apa-apa jenis ubat dan menganggapnya sebagai tindak balas detoks. Beliau berehat di rumah, menjaga makanan seharian dan bersabar menghadapi ketidakselesaan perut selama empat hari. Selepas empat hari, “angin di dalam perut”nya telah hilang. Ini sesuatu yang memeranjatkan beliau. Dengan keadaan mental yang kuat dan penuh keyakinan, masalah “angin di dalam perut” hilang begitu sahaja.

6.6: Tindak Balas Detoks Diri
Bertukar kepada makanan sihat telah dapat mengatasi satu masalah lama saya, iaitu gatal dubur. Semasa saya belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (1976-1980), saya telah menghadapi masalah ini dan mengganggu semasa saya tidur di waktu malam. Antara tahun 1979 dan 1996, saya terpaksa bergantung kepada ubat moden dan tradisional untuk meringankan kegatalan ini. Apabila keluarga saya bertukar kepada pemakanan sihat pada pertengahan tahun 1996, dalam masa tiga bulan, kegatalan itu lenyap begitu sahaja. Sungguh menakjubkan.

Selepas keluarga saya bertukar kepada pemakanan sihat pada tahun 1996, saya mulai mengalami tindak balas detoks yang lain. Pada mulanya, demam, hidung berair dan batuk berlaku. Saya berpegang kepada nasihat Diamond & Diamond (1985), iaitu “This is not a cold”. Keputusan saya ialah tidak mendapat rawatan doktor kecuali perlu. Apabila saya berasa demam dan batuk, saya berehat sahaja. Antara 1996 dan 1999, semua tindak balas detoks ini ditangani secara semulabjadi, tanpa mengambil apa-apa ubat moden atau tradisional.

Pada tahun 2000, tindak balas utama detoks saya ialah terbentuknya buasir luaran (iaitu hemorrhoids). Mereka yang pernah mempunyai buasir mengetahui betapa sukar hidupnya. Anda tidak dapat berjalan, berdiri, duduk dan tidur dengan selesa. Keputusan saya ialah mengambil cuti tahunan dan terus berehat di rumah. Pada masa itu, saya tidak mempunyai keyakinan yang cukup untuk menerima buasir sebagai satu tindak balas detoks. Isteri saya menggalakan saya mendapat rawatan doktor. Cadangan doktor ialah menjalankan pembedahan untuk membuang buasir itu. Ini melibatkan kos beberapa ribu ringgit jika pembedahan diadakan di hospital swasta. Saya tidak bersedia untuk pembedahan ini.

Pada masa yang sama, saya minum air dan makan ubi kayu kerana diberitahu oleh rakan sekerja bahawa masalah buasir boleh diringankan. Rakan sekerja saya juga menasihatkan saya supaya makan dua biji ubat tradisional Cina untuk mengatasi masalah ini. Selepas ubat Cina diambil, buasir saya pecah pada keesokannya dan buasir telah sembuh dan kesakitan juga hilang.

Ini tidak bermakna masalah buasir tidak berulang. Pada 15 Januari 2007, satu lagi buasir kecil terbentuk di sebelah tempat buasir lama. Pada kali ini, buasir ini tidak membawa kesakitan dan sembuh dalam masa dua hari. Saya tidak ambil cuti atau makan apa-apa ubat dan ia tidak membawa apa-apa gangguan dalam kegiatan harian. Saya memandu kereta untuk menjalankan kerja luar di Pahang pada 17-19 Januari 2007.

Pada September 2003, semasa saya masuk ke pejabat untuk bekerja, saya mendapati tangan kanan saya tidak dapat diangkat melebihi ketinggian bahu bagi tujuan menyesuaikan suhu pendingin hawa. Saya terpaksa menggunakan tangan kiri untuk tujuan yang sama. Keadaan ini berkekalan selama beberapa hari. Adakah ini tanda-tanda orang yang meningkat umur? Dari majalah kesihatan, saya mengetahui bahawa apabila seseorang menghampiri umur 50, adalah biasa baginya mengalami sakit bahu dan tangan. Bacaan bahan-bahan perubatan semula jadi pula mencatatkan bahawa ini merupakan satu jenis tindak balas detoks. Oleh kerana saya memang yakin kepada amalan pemakanan sihat dan menerima sakit bahu itu sebagai satu tindak balas detoks, saya biarkan masalah sakit tangan dan bahu itu begitu sahaja. Selepas tiga bulan bersabar, tangan kanan saya telah sembuh dan boleh menekan butang untuk mengawal suhu pendingin hawa seperti biasa.

Sejarah sakit tangan ini telah berulang. Pada Februari 2007, tangan kiri saya pula tidak dapat diangkat melepasi ketinggian bahu. Keadan ini adalah seperti apa yang berlaku pada tangan kanan saya pada tahun 2003. Oleh kerana saya telah mempunyai pengalaman menghadapi masalah ini, kesakitan ringan apabila mengangkat tangan dibiarkan begitu sahaja. Semasa menjalankan kerja luar di Gerik, seorang rakan telah memperkenalkan tukang urut tradisional Melayu bagi melonggarkan bahagian bahu yang tegang. Pesanan tukang urut ialah keperluan untuk menggerakkan tangan dan mengangkat tangan walaupun terasa sakit. Cara ini nampaknya berkesan. Menjelang Ogos 2007, saya dapat mengangkat tangan kiri melebihi bahu. Ketidakselesaan yang berlaku antara Februari dan Ogos 2007 telah hilang. Tangan kiri saya kini dapat berfungsi seperti biasa.

Pada bulan November 2009, kaki kanan saya pula merasat sakit.Tetapi kesakitan ini hanya dialami selama 8 hari. Sungguhpun demikian, kesakitan ini tidak mengganggu kehidupan harian saya. Sepanjang tempoh 8 hari tersebut, tiada rawatan digunakan untuk memulihkan kesakitan yang telah saya alami.

6.7: Tindak Balas Detoks Isteri
Pada peringkat permulaan proses detoks, demam, hidung berair dan batuk ialah tindak balas yang biasa untuk isteri saya. Beliau seorang yang kurang sabar apabila menghadapi tindak balas detoks ini. Antara tahun 1996 dan 1999, reaksi utama beliau terhadap tindak balas detoks ini ialah mengambil ubat dari farmasi untuk menghilangkan demam ini secepat mungkin. Apabila perubatan diri tidak berkesan, beliau mendapatkan rawatan dan seterusnya makan ubat yang diberi oleh doktor.

Isteri saya menyedari bahawa cara ini bukan penyelesaian yang menyeluruh terhadap masalah kesihatannya. Mulai tahun 2002, beliau membuat keputusan untuk menghadapi kesan tindak balas detoks secara semula jadi. Apabila tanda-tanda ini muncul, beliau berehat dan jika keadaan ini menjadi teruk, beliau pergi ke klinik untuk mendapatkan kebenaran untuk berehat dan mengabaikan ubat yang diberikan. Semasa berehat, beliau banyak minum air dan jus buah-buahan. Dalam masa dua hari, beliau telah sembuh. Semasa bekerja kembali, beliau tidak menunjukkan apa-apa tanda seperti lemah badan atau pening kepala.

Antara tahun 2002 dan 2008, isteri saya menghadapi satu tindak balas detoks yang agak unik, iaitu sedu. Pada biasanya, sedu ini berlaku selepas makan malam. Apabila saya mengurut bahu dan bahagian belakang badannya, terasa gas keluar dari mulut. Urutan ini penting untuk membolehkan beliau tidur dengan nyenyak. Kadang-kala, semasa semua ahli keluarga sedang tidur pada waktu tengah malam, beliau duduk berhampiran tingkap dan bernafas seperti biasa untuk membenarkan gas keluar dari badannya. Mulai tahun 2006, masalah sedu mulai berkurangan.

Gatal kulit tangan merupakan satu lagi tindak balas detoks yang membawa ketidakselesaan kepada isteri saya. Semenjak dilahirkan, masalah kegatalan kulit tangan dan jari telah wujud. Sebelum 1996, rawatan dan ubat doktor telah menemani hidupnya. Minyak untuk memberhentikan gatal digunakan dari masa ke masa. Selepas 1996, selepas diberitahu bahawa gatal dubur juga telah hilang dalam masa tiga bulan berikutan amalan pemakanan sihat, beliau mengambil keputusan untuk memberhentikan pengambilan ubat. Masalahnya, gatal kulit berkekalan dari masa ke masa. Pada 2002, saya menemani beliau ke kolam air panas di Selayang untuk mendapatkan rawatan semula jadi. Selepas tangan direndam dalam air panas yang bersulfur ini, kegatalan berkurangan, walaupun kesannya bersifat sementara. Mulai tahun 2004, isteri saya menggunakan span luffa untuk memberus bahagian tangan dan jari yang gatal. Amalan ini memberi kesan yang menggalakkan. Menjelang tahun 2009, isteri saya jarang lagi menyebut tentang masalah kegatalan pada kulit tangan.


6.8: Tindak Balas Detoks Anak
Anak perempuan kami, Shin Jing, dilahirkan pada tahun 1995. Pada masa itu, kami masih belum bertukar cara pemakanan. Sudah tentu anak perempuan ini kurang sihat kerana ibunya mengamalkan makanan tidak sihat sejak kecil lagi sehingga masa mengandung. Semasa proses pembesaran, anak ini diberikan makanan seperti telur, daging dan susu tepung seperti yang diamalkan oleh kebanyakan ibu pada masa kini. Sudah tentu, toksin telah berkumpul di dalam badannya. Apabila anak ini berumur lima tahun pada tahun 2000, dengan pujukan dan kasih sayang dari ahli-ahli keluarga, beliau mulai menerima cara pemakanan yang sihat.

Sebelum tahun 2002, apabila anak perempuan ini mengalami demam panas, beliau telah dibawa untuk mendapatkan rawatan doktor dan seterusnya pelbagai jenis ubat untuk mengurangkan kepanasan, antibiotik, dan ubat batuk digunakan. Setelah ubat diambil, beliau kelihatan penat dan lemah selepas setiap rawatan. Selepas beberapa bulan, demam panas kembali dan pengambilan ubat diteruskan.

Pada tahun 2002, kami membuat keputusan untuk mengubah cara menghadapi demam panas beliau. Pada Disember 2002, semasa cuti sekolah, anak kami mengalami demam panas, kami menerangkan kepadanya bahawa demam panas sebenarnya adalah baik kepada sistem ketahanan badan seseorang jika dijaga dengan baik. Oleh itu, apabila demam panas berlaku, kita tidak semestinya berjumpa doktor dan mengambil ubat. Kita boleh menggunakan cara semula jadi menghadapinya.

Anak perempuan kami menerima keputusan kami dan sanggup bekerjasama dalam cara pemulihan baru ini. Kami membeli sebuah jangkasuhu untuk memantau suhu badannya pada setiap satu jam. Penggunaan jangkasuhu ini penting bagi memastikan suhu badannya tidak meningkat sehingga aras 40 ° C. Jika suhu badan berkekalan selama satu jam pada aras 40 ° C kami perlu menghantar beliau ke hospital untuk mendapat rawatan doktor pakar.

Oleh kerana demam panas anak kami berlaku pada musim cuti sekolah, isteri saya mempunyai masa lapang untuk menjaganya. Isteri saya memang berusaha dalam mengamalkan pendekatan ini dengan menyediakan jus buah-buahan dan air minuman suam disediakan. Anak perlu minum salah satu jenis air atau jus setiap satu jam. Dalam masa dua hari, demam panas anak kami berjaya dikurangkan dan kesihatan beliau sembuh kembali.

Antara tahun 2003 dan 2008, anak perempuan kami mengalami demam panas antara satu hingga lima kali setahun. Pada kebiasaanya, ia mengambil masa satu hingga lima hari untuk sembuh secara semula jadi kecuali pada penghujung tahun 2003 di mana beliau mengambil masa selama 22 hari untuk semuh.

Demam panas anak kami pada April 2003 memberi cabaran baru. Komuniti dunia risau tentang berlakunya SARS pada masa itu. Selepas tiga hari, suhu badan anak kami masih tidak stabil dan kadang-kala meningkat sehingga ke aras 40.3° C. Perlukah kami menghantarnya ke hospital? Kami menelefon Lapis Lazuli Light Society Malaysia, satu badan bukan kerajaan yang menggalakkan rawatan semula jadi, untuk mendapatkan nasihat dan keyakinan. Kami juga merujuk buku-buku yang berkaitan.

Kami juga menerangkan kepada anak kami mengenai keadaan demam panasnya, pengalaman lepas dan sebab tidak menghantarnya ke klinik buat sementara waktu. Beliau juga diingatkan bahawa makanan tidak sihat yang diterima di sekolah boleh menjejaskan kesihatan. Sukar bagi beliau faham semua ini tetapi beliau mengikut saja keputusan kami. Beliau cuma bimbang kerana demam panas tidak membolehkan beliau menghadiri pembelajaran di sekolah. Kami menerangkan bahawa kesihatan adalah lebih penting dalam kehidupan sekiranya beliau ingin maju dalam pelajaran dalam jangka panjang. Menjelang hari keenam, beliau telah sembuh dari demam panas.

Menangani demam kanak-kanak ialah satu cabaran besar sekiranya anda tidak mempunyai pengetahuan, pemahaman dan pengalaman dan keyakinan yang cukup. Cabaran paling kritikal bagi demam panas anak kami berlaku antara 18 November hingga 9 Disember 2003. Tindak balas detoksnya adalah serius sekali. Anak kami bukan sahaja mengalami demam panas dan batuk, malahan bibirnya menjadi kering, kulitnya menggelupas dan bintik putih muncul. Di samping itu, bintik-bintik merah juga muncul di dada dan perutnya yang juga membawa kesakitan ringan dari masa ke masa. Mujur, kami sudah mempunyai pengalaman yang cukup untuk menghadapi cabaran ini. Dalam tempoh ini, suhu badannya berada dalam lingkungan 37 ke 40.2 ° C.

Kami merujuk penulisan hasil pengalaman orang lain yang menggunakan cara semula jadi untuk menghadapi demam panas. Kami mendapati bahawa demam panas ini boleh berlanjutan sehingga sebulan atau lebih. Apabila seseorang kanak-kanak sembuh dari demam panas, kanak-kanak itu akan kelihatan sihat dan tidak menunjukkan tanda penat atau lemah. Yang menarik ialah apabila anak perempuan kami sembuh dari demam panas ini, matanya kelihatan terang dan sihat seperti yang diterangkan berdasarkan pengalaman orang lain. Tiada orang menyangka bahawa beliau baru sembuh dari demam panas selama 22 hari apabila keluarga saya menghadiri satu kegiatan rasmi di Genting Highlands pada 10 Disember 2003.

Pengalaman kami dalam menangani demam panas telah meyakinkan kami tentang cara semula jadi. Anak perempuan kami telah menghidap demam panas pada 2004 (tiga kali, tiga-lima hari setiap kali), 2005 (tiga kali, tiga-empat hari setiap hari), 2006 (dua kali, empat hari setiap hari), 2007 (satu kali, dua hari), 2008 (satu kali, tiga hari), 2009 (satu kali, tiga hari), dan 2010 (satu kali tiga hari) dan rawatan cara semula jadi diamalkan untuk menyembuhkannya. Dalam semua keadaan, demam panas datang dan pergi secara semula jadi. Kini, anak perempuan kami dianggap lebih sihat berbanding dengan masa lepas.

Menangani demam panas anak lelaki kami adalah lebih mudah. Beliau dilahirkan pada 2001, dikandung dan dilahirkan setelah isteri saya bertukar kepada pemakanan sihat semenjak tahun 1996. Berat badan semasa kelahiran bayi vegetarian ini ialah empat kg berbanding dengan berat purata bayi lain tiga kg semasa kelahiran. Proses melahirkan anak ini juga tidak memakan masa yang panjang, cuma dua setengah jam kesakitan sebelum bayi dilahirkan.

Semenjak dilahirkan, anak lelaki kami tidak mengambil daging, telur dan barangan tenusu secara langsung. Ini menjadikan beliau sentiasa sihat. Sejak dilahirkan, beliau cuma mendapat rawatan doktor sebanyak sekali dan beliau juga jarang diserang demam panas. Kekerapan demam beliau ialah sekali pada tahun 2002 (selama dua hari), sekali dalam tahun 2003 (satu hari), tiga kali pada tahun 2005 (dua–tiga hari setiap kali), dua kali pada tahun 2006 (satu–dua hari setiap kali), tiga kali pada tahun 2007 (dua-empat hari setiap kali), dua kali pada tahun 2008 (tiga-empat hari setiap kali), sekali pada tahun 2009 (tiga hari) dan sekali pada tahun 2010 (enam hari).

Pada 16–19 Februari 2007, anak lelaki kami mengalami demam panas. Pada hari kedua (17 Februari), beliau mengikut kami balik ke Kampung Air Jernih (Kemaman, Terengganu), iaitu kampung asal saya yang terletak 330 km dari Kuala Lumpur) untuk meraikan Tahun Baru Cina bersama orang tua saya. Oleh kerana anak lelaki saya lambat sembuh, hal ini telah merisaukan ibu-bapa dan adik-beradik saya. Sukar bagi mereka menerima cara saya dan isteri merawat demam panas anak kesayangan kami. Pada mereka, apabila seorang kanak-kanak demam panas, rawatan doktor adalah perlu.

Kami tidak terlalu mengendahkan nasihat itu tetapi menjaga suhu dan makanan anak kami. Kami mengurut badan beliau untuk memudahkan beliau tidur. Untuk memulihkan kesihatannya, kami balik ke Kuala Lumpur pada 19 Februari, satu hari lebih awal daripada perancangan kami. Sebelum kami meninggalkan kampung asal, kami memberitahu mereka bahawa anak kami akan menerima rawatan doktor jika diperlukan. Dalam proses pemulihan, suhu badan anak kami berada dalam lingkungan 37–40.5 ° C. Seperti masa lalu, beliau sembuh secara semula jadi.

Apakah pelajaran yang kami telah terima?
1. Jika seorang ibu telah mengamalkan pemakanan sihat sebelum mengandung, anaknya akan menjadi lebih sihat.
2. Jika anak dibesarkan dengan makanan sihat, mereka jarang jatuh sakit.
3. Semasa kanak-kanak membesar, mereka akan hadapi demam panas dari masa ke masa. Ini ialah proses semula jadi. Oleh itu, kita boleh menanganinya secara semula jadi. Pengetahuan ini merupakan sesuatu yang baru bagi keluarga saya.
4. Apabila anak demam panas, ini berkaitan dengan proses pembesaran dan juga tindak balas detoks.
5. Penting untuk memahami tindak balas detoks. Oleh itu, jika mempunyai keyakinan yang cukup, rawatan daripada doktor tidak diperlukan.
6. Dapatkan nasihat orang yang berpengalaman sekiranya kita ingin mengamalkan cara pemulihan/penyembuhan semula jadi.
7. Jika demam panas ditangani secara semula jadi, suhu badan seorang kanak-kanak akan naik turun untuk beberapa hari dan mengambil masa untuk sembuh.
8. Dalam proses pemulihan, kita harus memberikan badan minuman seperti jus buah-buahan dan air minuman semula jadi (seperti air rebus teh bunga chrysanthemum, air kelapa dan air barli) yang dapat mengurangkan suhu badan.
9. Mengurut dan menggosok badan, kaki dan tapak kaki apabila suhu badan adalah tinggi. Cara-cara tambahan ini amat berkesan kerana kanak-kanak dapat tidur dengan cepat selepas urutan dan gosokan. Apabila beliau berehat dengan baik, tenaga semula jadi kembali untuk pulih dari demam panas.
10. Semasa mengamalkan rawatan semula jadi, ibu-bapa harus bersedia berkorban masa dan tenaga untuk menjaga anak yang demam panas/tidak sihat.
11. Sekiranya kurang keyakinan tentang rawatan semula jadi, adalah lebih baik berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang sesuai.

6.9: Detoks Untuk Kesihatan
Detoks merupakan satu proses yang penting dalam sistem badan untuk memelihara kesihatan individu. Kesibukan kerja dan cara hidup yang moden membuatkan sesetengah individu cenderong mengambil makanan yang kurang serat, sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet harian mereka. Ini menyebabkan makanan yang ditelan mengambil masa yang lebih lama (80 hingga 120 jam) untuk dicerna berbanding dengan orang yang mengambil makanan sihat (8 hingga 12 jam). Ini bermakna kotoran yang dikeluarkan semasa membuang air besar adalah sisa makanan yang diambil tiga hari sebelumnya. Sisa yang terkumpul dalam badan kita akan menghasilkan toksin dan membawa kepada masalah acidosis yang menjejaskan kesihatan kita.

Apabila kita mengamalkan pemakanan yang sihat, kita sedang menuju ke arah pengembalian kesihatan dan dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat, baik dari segi jasmani atau rohani. Dalam proses ini, kita akan menghadapi pelbagai cabaran yang berkaitan dengan tindak balas detoks. Ketidakselesaan yang berlanjutan tidak akan berkekalan. Keyakinan dalam menangani tindak balas detoks adalah penting.

Proses detoks ialah satu proses sepanjang hayat. Proses ini tidak akan berhenti selagi terdapat toksin di dalam tubuh badan kita. Dalam proses detoks, kita akan merasai penderitaan sebelum menikmati kebahagian (Calbom et al. 2003). Jika anda telah banyak mengambil makanan tidak sihat pada masa lepas, bersedia dan bersabarlah untuk menerima tindak balas detoks selepas bertukar kepada makanan sihat. Walau bagaimanapun, jika anda kurang berkeyakinan, anda boleh mendapatkan rawatan doktor buat sementara waktu.

Dalam proses detoks, perubahan yang semakin jelas ialah pengurangan berat badan. Berat badan saya turun dari 78kg (1996) kepada 58 kg (2006) dan kini telah menjadi stabil. Berat badan isteri saya pula berkurangan dari 50 kg (1996) kepada 44 kg (2007) dan juga tidak banyak beribah selepas itu. Selepas toksin dikeluarkan dari badan, badan kita menjadi lebih ringan. Kita mungkin kelihatan kurus tetapi kita sedang menuju ke arah mengembalikan kesihatan.

Marilah kita bertukar kepada pemakanan sihat dan seterusnya menghadapi tindak balas detoks dengan penuh keyakinan dan kesabaran. Kesabaran dan usaha kita dalam menghadapi tindak balas detoks akan mengembalikan kesihatan.

3 comments:

  1. thanks for information..... its give me one thousand to change my diet.... finally i found it..thanks a lot for sharing you experience.. i think my body not good right now... unconfortable, weihgt, weak.... i try from now i will change all about what i eat....

    ReplyDelete
  2. Tq Dr, saya banyak tambah ilmu di sini. Yang penting, kena sentiasa jaga makan kan :)

    ReplyDelete
  3. Bio Ultra 3 Suhu Tabletop RM899 - rm1299 (ada 6 Model Pilihan)
    Bio Ultra 3 Suhu Floor Stand RM1499
    Bio Ultra 2 Suhu Floor Stand RM1299

    ~ Size tangki yang besar (unlimited - auto refill) ☺
    ~ Built in 4 Filter Made in Korea
    ~ Semua filter Kami ada Cert Halal
    ~ Warranty 12 & 18 Bulan
    ~ Hasilkan Air Mineral Alkali
    ~ Sambungan terus kepaip
    ~ Tangki auto refill
    ~ Safety child lock untuk air panas

    Bio Ultra Gold Master Fiber Outdoor dgn 7 Penapisan (RM799)

    ~ Cover dari gentian fiber tahan lasak
    ~ Fungsi manual backwash dan rinse
    ~ Waranti 10 tahun

    Penghantaran & Pemasangan & servis Berkala Seluruh Malaysia disediakan
    Whatsapp / Call 0178895990
    http://bio.wasap.my

    Gambar & Maklumat Lain boleh view Blog kami dibawah
    http://penapis-air-bioultra.blogspot.com

    ReplyDelete